Thursday, August 1, 2013

INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM

1.0  Pendahuluan
Sistem pendidikan Islam telah muncul di Kepulauan Melayu semenjak perkembangan Islam di wilayah ini. Ia bermula seiring dengan penerimaan Islam di kalangan orang Melayu. Fenomena ini sejajar dengan apa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w, iaitu Baginda menyarankan agar seseorang yang menerima Islam mempelajari semua prinsip Islam dan bukan sekadar menganut agama Islam itu semata-mata.
Pendidikan tidak hanya memberi tunjuk ajar kepada masyarakat, bahkan ia merupakan satu proses bagi sesebuah negara menanam dan memupuk kesedaran untuk generasi muda mendapatkan kepandaian dan kemahiran dalam segenap lapangan hidup. Di samping itu juga, pendidikan memberi kesedaran tentang tugas dan tanggungjawab mereka dalam menyampaikan dakwah Islam dan pelbagai bidang ilmu pengetahuan  kepada generasi akan datang serta memberangsangkan mereka dengan idealisme-idealisme kehidupan.
Secara umumnya, pendidikan menurut kaca mata Islam merupakan satu latihan ‘aqli, jasmani dan rohani dengan matlamat melahirkan manusia, lelaki dan perempuan yang memiliki ilmu, akidah, akhlak dan daya cipta serta sanggup melaksanakan tugas mereka sebagai insan yang baik dan warganegara yang berguna berpandukan ajaran wahyu. Inilah sebenarnya pengertian dan tujuan pendidikan yang diperjuangkan oleh para rasul dan para pendidik terkemuka dunia Islam pada setiap zaman.

2.0  Falsafah Dan Konsep Pendidikan Islam
2.1 Falsafah Pendidikan Islam
Islam sebagai akidah dan sistem hidup yang sempurna, sesuai dengan semua tempat, peringkat dan zaman, telah menggariskan falsafah pendidikannya yang tersendiri.
Ini dijelaskan oleh Mohd. Kamal Hassan menerusi tulisannya yang menyatakan bahawa falsafah pendidikan menekankan pendidikan seumur hidup, pembangunan seluruh potensi manusia secara bersepadu mencakupi aspek rohani, jasmani dan mental bertujuan untuk menyampaikan dua fungsi utama manusia, iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah S.W.T. Manusia ditugaskan untuk memakmurkan seluruh alam berdasarkan kesepaduan dan kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Hakikat ini serasi dengan objektif penciptaan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah di bumi ini. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Dzaariyaat, ayat 56 yang bermaksud:

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku”.
Pendekatan kaedah Islam dalam menjalankan proses pendidikan merupakan satu bentuk penawar terhadap sifat kemanusiaan itu sendiri secara menyeluruh, tanpa mengabaikan sebarang aspek kehidupan mereka.

2.2 Konsep Pendidikan Islam

Konsep pendidikan Islam adalah melibatkan perbincangan mengenai dua aspek, iaitu aspek teras Islam dan aspek hubungan ilmu teras Islam dengan realiti kehidupan. Aspek teras Islam menekankan tentang fahaman akidah kepada Allah S.W.T, fahaman syariat dan didikan akhlak. Manakala aspek hubungan ilmu teras Islam dengan realiti kehidupan pula memberikan pelbagai cara dan kaedah berkaitan hubungan dengan pergolakan hidup manusia.
Konsep ini memerlukan pembahagian ilmu dengan penamaan sebagai fardu ‘ain dan fardu kifayah. Pembahagian ini juga menyifatkan seseorang itu perlu memahami dengan mendalam tentang aspek teras secara pasti dan berupaya merealisasikan pemahamannya dalam aktiviti kehidupan seharian seperti ekonomi, perubatan, politik dan seumpamanya.
Namun, kejayaan mengatasi kepakaran dalam disiplin tertentu sewajarnya berkemampuan untuk mengatur kehidupan umat Islam dan menepati konsep teras pendidikan.
Dalam proses pendidikan, kaedah pengajaran adalah antara rukun terpenting kerana dianggap sebagai jambatan yang menghubungkan antara guru dan murid dalam menyampaikan ilmu, fikiran dan kemahiran. Kaedah yang baik dapat menghilangkan rasa jemu ketika belajar. Kepentingan kaedah ini sememangnya diberi penekanan oleh ahli-ahli pendidikan Islam pada zaman silam.
Ibn Khaldun, ketika membicarakan mengenai hal ini dalam kitab al-‘Ibar wa Diwan al-Mubtada’ wa al-Khabar, pernah menyatakan:
“Kita perhatikan ramai guru yang terdapat pada zaman kita tidak mengetahui kaedah pengajaran dan faedahnya. Di peringkat awal lagi, mereka memulakan dengan masalah-masalah yang sukar dan meminta para pelajarnya untuk memahaminya.”
Justeru, sifat-sifat yang perlu dimiliki oleh diri pendidik menurut Islam ialah zuhud dan memberi pelajaran dengan tujuan mencari keredhaan Allah S.W.T, mengambil berat akan soal kebersihan diri, keikhlasan, menjaga kehebatan dan kehormatan diri, memiliki sifat keibubapaan, memahami tabiat murid, kemampuan dalam keilmuwan serta memahami dan menghayati tujuan pendidikan Islam.

3.0  Adab Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran
Apabila seseorang individu itu menuntut ilmu atau memberi ilmu, dia tidak hanya berurusan dengan dirinya sahaja. Sebaliknya, dia turut berurusan dengan gurunya dan juga muridnya. Malahan, guru juga perlu berurusan dengan ibu bapa muridnya.

Dalam berurusan dengan pihak-pihak tersebut, terdapat beberapa adab yang perlu diperhatikan. Antaranya ialah:
a)      Menghormati Pihak Lain
Sebagai murid yang menuntut ilmu, mereka hendaklah menghormati dan memuliakan guru kerana guru tersebut telah memberinya ilmu pengetahuan. Malah, keberkatan ilmu yang diperolehi tertakluk kepada penghormatan murid kepada gurunya. Menghormati guru juga bermaksud seseorang murid tidak bersikap sombong dengan ilmu yang dimiliki. Murid juga hendaklah menghormati ibu bapa kerana kewujudan ibu bapalah yang menyebabkan murid itu dapat melihat dunia ini.

Pada masa yang sama, guru hendaklah menghormati muridnya, walaupun muridnya itu masih di peringkat kanak-kanak. Guru juga perlu menghormati ibu bapa muridnya.
Begitu juga dengan ibu bapa, mereka hendaklah menghormati guru kepada anaknya. Ini kerana guru tersebut telah mencurahkan ilmu kepada anak mereka.

b)     Menjalin Hubungan Baik
Murid perlu menjalinkan hubungan baik dengan ibu bapa dan guru. Begitu juga guru perlu menjalin hubungan baik dengan murid dan ibu bapa. Ibu bapa juga perlu menjalin hubungan baik dengan anaknya dan guru kepada anaknya. Misalnya, mereka boleh saling ziarah-menziarahi antara satu sama lain. Hubungan baik ini penting supaya wujud sangka baik antara ketiga-tiga pihak. Hubungan baik juga boleh memudahkan urusan pembelajaran murid terbabit. Walau bagaimanapun, hubungan baik ini perlu selari dengan lunas-lunas Islam dan tidak melampaui batas.

c)      Mempunyai Rasa Belas Kasihan
Guru hendaklah mempunyai rasa belas kasihan kepada muridnya. Perasaan ini secara tidak langsung akan mendorong guru untuk memperlakukan muridnya seperti mereka memperlakukan terhadap anak mereka sendiri. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku ini bagimu adalah seumpama seorang ayah bagi anaknya”.

d)     Bertanya Dengan Hormat
Dalam mempelajari sesuatu ilmu, tidak semua murid boleh memahami sesuatu penjelasan guru dengan cepat. Bagi murid yang lambat memahami sesuatu, mereka akan bertanya kepada guru. Malahan, Allah S.W.T telah berfirman dalam ayat 43, surah al-Nahl yang bermaksud:
“Bertanyalah kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.”
Ayat ini jelas menyebut tentang suruhan bertanya kepada orang yang lebih tahu.
Namun, pentanyaan itu perlu diajukan dengan hormat. Murid juga tidak sewajarnya bertanya sesuatu soalan semata-mata ingin menguji pengetahuan gurunya. Bagi pihak gurunya pula, setiap soalan yang dikemukakan oleh murid perlu dijawab dengan baik.

4.0 Institusi Pendidikan Dan Pengajian

4.1 Peringkat Awal Islam

Tahap ini merangkumi pendidikan pada zaman Rasulullah s.a.w (610-632M) dan para Khulafa al-Rasyidin (632-661M).

        i.            Dar al-Arqam

Rumah merupakan pusat pendidikan awal yang diperkenalkan ketika Islam mula-mula berkembang di Mekah. Rasulullah s.a.w memilih rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam yang terletak di atas bukit Safa sebagai tempat pertemuan dan pengajaran kepada para sahabat. Bilangan kaum Muslimin yang hadir pada peringkat awal adalah terlalu kecil, tetapi makin bertambah sehingga berjumlah 38 orang yang terdiri daripada golongan bangsawan Quraisy, pedagang dan hamba sahaya.
Di Dar al-Arqam, Rasulullah s.a.w menyampaikan wahyu yang telah diterimanya kepada kaum Muslimin. Baginda juga membimbing mereka menghafal, menghayati dan mengamalkan ayat-ayat suci yang diturunkan kepadanya.

      ii.            Masjid

Fungsi masjid selain tempat ibadat ialah sebagai tempat penyebaran dakwah dan ilmu Islam, tempat menyelesaikan masalah individu dan masyarakat, tempat menerima duta-duta asing, tempat pertemuan pemimpin-pemimpin Islam, tempat bersidang, dan madrasah bagi kanak-kanak mempelajari ilmu agama dan fardu ain.
Selepas berhijrah ke Madinah, pendidikan Islam mula berpusat di masjid-masjid bermula dengan Masjid Quba’ dan Masjid Nabawi yang merupakan masjid pertama yang dibina dan dijadikan oleh Rasulullah s.a.w sebagai institusi pendidikan. Di dalam masjid, baginda mengajar dan memberi khutbah dalam bentuk halaqah, di mana para sahabat duduk mengelilingi baginda untuk mendengar dan bersoaljawab berkaitan urusan agama dan kehidupan sehari-harian.
Semakin luas wilayah-wilayah yang menerima cahaya Islam, semakin meningkat bilangan masjid yang didirikan. Di antara masjid yang dijadikan pusat penyebaran ilmu dan pengetahuan ialah Masjid Nabawi, Masjidil Haram, Masjid Kufah, Masjid Basrah dan banyak lagi.

    iii.            Al-Suffah

Al-Suffah merupakan ruang atau bangunan surau yang bersambung dengan masjid. Al-Suffah boleh dilihat sebagai sebuah sekolah kerana kegiatan pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara teratur dan sistematik. Contohnya Masjid Nabawi yang mempunyai suffah yang digunakan sebagai majlis ilmu.

     iv.            Kuttab

Ia ditubuhkan oleh orang Arab sebelum kedatangan Islam lagi dan bertujuan memberi pendidikan kepada kanak-kanak di peringkat rendah. Sungguhpun begitu, institusi tersebut tidak mendapat perhatian daripada masyarakat Arab kerana sebelum kedatangan Islam, hanya 17 orang Quraisy yang tahu membaca dan menulis.
Kemahiran-kemahiran asas seperti membaca dan menulis dilakukan oleh kebanyakan guru-guru yang mengajar secara sukarela. Selain itu, Rasulullah s.a.w juga pernah memerintahkan tawanan perang Badar yang berkebolehan supaya mengajar 10 orang kanak-kanak Islam sehingga mereka tahu membaca dan menulis sebagai syarat untuk menebus diri daripada tawanan perang Badar al-Kubra.

4.2 Peringkat Kedua

Peringkat ini merangkumi zaman kerajaan Umaiyyah (662-750M) dan kerajaan ‘Abbasiyyah (751-1258M). Pada zaman ini, institusi pendidikan yang awal seperti masjid dan kuttab terus dikembangkan hasil dorongan dan galakan daripada para khalifah yang memerintah. Selain itu, institusi pendidikan tinggi dan lanjutan mula diperkenalkan sehingga melahirkan ramai golongan sarjana dan cerdik pandai Islam dalam pelbagai jurusan ilmu.

4.3 Manazil Ulama Dan Istana

Terdapat beberapa rumah ulama yang digunakan sebagai tempat pertemuan untuk majlis-majlis ilmu seperti rumah Ibnu Sina, Muhammad Ibnu Tahir Bahrom dan Abu Sulayman.
Di samping itu istana khalifah turut dijadikan tempat perkembangan ilmu. Sebagai contoh Khalifah Muawiyah bin Abi Sufian telah mengundang para ulama dan cerdik pandai untuk membincangkan sejarah peperangan, sejarah raja-raja Parsi, sejarah bangsa Arab dan sistem pemerintahan negara.

 

5.0 Peranan, Hak  Dan Tanggungjawab

Tanggungjawab menjayakan sektor pendidikan tidak hanya terletak di bahu pelajar dan guru semata-mata. Namun, tanggungungjawab ini seharusnya turut digalas oleh keluarga, masyarakat, ulama dan juga pemerintah.
5.1  Peranan, Hak  Dan Tanggungjawab Individu
Seseorang individu berhak mendapat pendidikan dengan bebas di negara mereka tanpa boleh dinafikan oleh mana mana pihak. Ia juga mempunyai peranan dan tanggungjawab terhadap pembelajarannya dan hendaklah tidak mensia-siakan peluang yang diberikan dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga ke tahap yang lebih tinggi.
5.2  Peranan, Hak  Dan Tanggungjawab Keluarga
Sesebuah keluarga yang mempunyai anak seharusnya memberi didikan awal kepada anak-anak bagi tujuan mendedahkan anak-anak ke dunia pendidikan. Pendidikan awal itu bermula di rumah. Keluarga hendaklah mengajar asas-asas ilmu seperti membaca, menulis dan mengira kepada anak-anak.
Para ibu bapa hendaklah menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang baik apabila mencapai umur persekolahan. Di samping itu keluarga perlu menyediakan dana pendidikan kepada anak-anak mereka untuk pengajian tinggi anak-anak. Keluarga juga bertanggungjawab untuk mengawasi pendidikan anak-anak dari semasa ke semasa.
5.3  Peranan, Hak  Dan Tanggungjawab Masyarakat
Masyarakat juga berperanan dalam memastikan pendidikan yang terbaik untuk anggota masyarakatnya. Peranan ini adalah dalam bentuk sokongan moral dan material kepada para pelajar khususnya dan masyarakat amnya sebagai contoh membantu keluarga miskin untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna.
5.4  Peranan, Hak  Dan Tanggungjawab Ulama Dan Ilmuwan
Para ilmuwan mempunyai peranan dalam membantu dunia pendidikan. Mereka hendaklah menyebarkan ilmu mereka untuk agenda pembangunan anggota masyarakatnya. Mereka juga boleh menganjurkan perbincangan-perbincangan ilmiah di kalangan mereka. Perbincangan tersebut pula boleh dimanfaatkan oleh anggota masyarakatnya sama ada pelajar dan ibu bapa mahupun guru.

Para ilmuwan dan ulama ini sewajarnya diberikan bayaran atau ganjaran sebagai penghargaan di atas usaha mereka mendidik anak bangsa. Lebih-lebih lagi aspek material yang berbentuk wang ringgit merupakan satu keperluan yang mendesak dalam kehidupan masa kini. Namun, mencurahkan ilmu dengan mengharapkan ganjaran wang ringgit semata-mata seharusnya tidak timbul dalam diri individu yang bergelar pendidik. Malahan, jika dibandingkan nilai ilmu yang dicurahkan oleh mereka dengan wang ringgit sekalipun adalah tidak setaraf. Sebagaimana maksud firman Allah SWT:
Katakanlah (wahai Nabi Muhammad): Apakah sama orang yang mempunyai ilmu dengan orang yang tidak mempunyai ilmu?”
5.5  Peranan, Hak  Dan Tanggungjawab Pemerintah
Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah yang mentadbir sesebuah negara untuk menyediakan peluang pendidikan kepada semua warganegaranya dari peringkat rendah sehinggalah ke peringkat tinggi. Pemerintah sesebuah negara perlu menubuhkan lebih banyak institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi menampung keperluan pelajar-pelajar peringkat menengah untuk melanjutkan pengajian mereka. Institusi-institusi tersebut pula hendaklah dilengkapi dengan prasarana yang mencukupi dan lengkap.
Pihak pemerintah hendaklah memastikan bahawa setiap warga penduduknya mendapat peluang pendidikan yang sepatutnya agar tidak ada mana-mana penduduk yang keciciran dalam pelajaran. Penubuhan-penubuhan kolej komuniti sebagai contoh dijangka dapat mengatasi masalah keciciran dalam pelajaran di kalangan pelajar peringkat menengah. Begitu juga penubuhan institusi-institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) juga membantu negara dalam memastikan setiap warga mendapat pendidikan yang sewajarnya. Justeru, pihak pemerintah hendaklah membantu institusi ini dari semasa ke semasa dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.
Pemerintah juga hendaklah menyediakan dana untuk membiayai pendidikan rakyatnya terutama bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah. Di samping menyediakan peluang pengajian yang diperlukan oleh rakyat, pemerintah juga bertanggungjawab menggariskan dasar pendidikan yang jelas dan seimbang dengan mengambil kira aspek rohani, jasmani, emosi dan intelek untuk melahirkan generasi yang mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk terus membangunkan keluarga, masyarakat dan negara sebagai seorang hamba Allah dan khalifah yang bertakwa di atas muka bumi ini.

6.0 Kesimpulan

Falsafah Pendidikan Islam adalah mempunyai falsafah dan matlamat yang unggul dan tersendiri. Ia tidak terhenti sekadar menyampaikan maklumat semata-mata tetapi ia perlu diseiringkan dengan arahan yang betul dan pemantauan yang berterusan.

Oleh: Ustazah Lina Malini bt Mat Nafi.  Sumber: Buku Islam dan Isu Kontemporari, halaman 123-129

No comments:

Post a Comment