1.0 Pendahuluan
Hubungan sesama insan adalah penting dalam Islam. Islam amat
menekankan perihal pentingnya hidup bermasyarakat. Masyarakat yang harmoni dan
bersatu padu adalah asas kepada negara yang aman damai. Nilai-nilai seperti
kejiranan, kerjasama, belas kasihan, bersopan santun, merendah diri, tolong
menolong dan lain-lain adalah amalan yang seharusnya diamalkan oleh bukan
sahaja umat Islam tetapi juga harus dicontohi oleh kaum bukan Islam.
2.0 Keperluan Bermasyarakat
Pembentukan
masyarakat merupakan satu keperluan bagi manusia. Ini kerana Allah mencipta
manusia dalam bentuk yang tidak dapat meneruskan kehidupan tanpa makanan;
jasmani dan rohani. Manusia terdiri daripada dua komponen; iaitu jasad dan roh.
Kedua-dua komponen ini masing-masing memerlukan kebutuhannya yang tersendiri
yang tidak mampu disempurnakan kecuali melalui proses hidup bersama atau
bermasyarakat.
Jasad memerlukan makanan yang berbentuk material yang terdiri
daripada makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain. Kemampuan
seorang individu dalam proses menyediakan makanan sahaja pun sudah agak
terbatas. Bagi menyediakan sepinggan nasi sahaja memerlukan gabungan daripada
beberapa golongan seperti petani, nelayan dan lain-lain. Jadi mereka perlu
bantu-membantu.
Di samping itu mereka juga perlu mempertahankan diri daripada
serangan musuh. Mereka memerlukan tempat perlindungan, kenderaan dan pelbagai
alat kelengkapan atau senjata. Manusia sangat memerlukan hasil sumbangan orang
lain untuk menyediakan rumah, pakaian dan alat senjata. Manusia tidak mampu
untuk menyediakan semua ini secara bersendirian. Oleh itu mereka saling
memerlukan antara satu sama lain.
Selain itu manusia juga perlu hidup berpasangan. Keperluan hidup
berpasangan bukan hanya setakat memenuhi keperluan seksual sahaja, tetapi juga
untuk meneruskan kesinambungan generasi manusia. Sebab itu agama dan fitrah
manusia tidak merestui hubungan sejenis; sama ada sesama lelaki (homoseksual)
atau sesama perempuan (lesbian).
Manakala roh pula memerlukan manusia hidup beragama, berilmu
pengetahuan dan penghayatan pelbagai nilai positif seperti berkasih sayang,
tolong-menolong, hormat-menghormati dan lain-lain yang hanya boleh diperolehi
melalui proses hidup bersama atau bermasyarakat. Sebab itu manusia dikatakan
bermasyarakat disebabkan tabiatnya sendiri. Jadi manusia perlu hidup
bermasyarakat. Tanpa hidup bermasyarakat, seorang insan tidak mampu memenuhi
keperluan asasinya.
Sifat manusia yang sebegini rupa menyebabkan mereka perlu kepada
masyarakat. Manusia perlu kepada pemimpin yang mengurus, mengatur serta
mengawal keperluan dan urusan mereka. Manusia perlukan undang-undang dan
peraturan bagi mengawal kegiatan mereka. Mereka memerlukan masyarakat untuk
hidup aman dan bahagia serta selamat. Oleh itu sifat manusia secara semula jadi
memerlukan masyarakat.
3.0 Definisi Masyarakat
Perkataan masyarakat bererti “Kumpulan manusia yang hidup bersama
di satu tempat dengan aturan dan cara tertentu”. Aturan dan cara tertentu tidak
akan dapat direalisasikan tanpa pemimpin dan rakyat. Ini kerana aturan perlu
diwujud dan dikuatkuasakan. Oleh itu perkataan masyarakat hampir sama ertinya
dengan negara “Suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah
oleh kerajaan”. Walau bagaimanapun perkataan masyarakat lebih umum daripada
perkataan negara. Ini kerana masyarakat digunakan untuk kelompok-kelompok
tertentu seperti masyarakat kampung, masyarakat bandar, masyarakat Melayu,
masyarakat Arab dan lain-lain.
Dalam erti yang luas masyarakat dimaksudkan dengan keseluruhan
hubungan dalam hidup bersama dengan tidak dibatasi oleh lingkungan bangsa dan
lain-lain. Dalam erti yang sempit masyarakat dimaksudkan dengan manusia yang
dibatasi oleh aspek-aspek tertentu seumpama territorial, bangsa,
golongan dan sebagainya.
Faham masyarakat sekurang-kurangnya mempunyai kaitan dengan tiga
faktor berikut:
a.
Kelompok
manusia.
b.
Tinggal di
kawasan-kawasan tertentu.
c.
Mempunyai peraturan
yang mengatur yang diistilahkan sebagai kebudayaan, adat istiadat, hukum dan
undang-undang.
Kombinasi daripada tiga faktor di atas membentuk apa yang dinamakan
sebagai masyarakat. Inti pengertian masyarakat ialah pergaulan hidup. Ini
kerana manusia ialah makhluk berjiwa masyarakat. Pergaulan hidup diatur dan
dikendalikan oleh apa yang diistilahkan sebagai “kebudayaan” masyarakat
tertentu. Kebudayaanlah yang menunjukkan jalan ke arah mana pergaulan hidup
harus dibawa. Tetapi tafsiran kebudayaan
seperti ini tidak sesuai dengan kebudayaan Islam. Ini kerana kebudayaan Islam
berteraskan wahyu, bukan hasil pemikiran manusia semata-mata.
Justeru itu, masyarakat dan kebudayaan mempunyai hubungan yang
erat. Tanpa masyarakat, kebudayaan tidak mungkin akan lahir.
Kebudayaan pula mempunyai dua aspek:
a.
Kebudayaan material,
iaitu kebudayaan yang bersifat kebendaan, misalnya rumah, gedung, alat-alat
senjata, mesin-mesin dan lain-lain lagi.
b.
Kebudayaan immaterial,
iaitu kebudayaan yang bersifat kerohanian, misalnya kepercayaan, kesusilaan,
adat istiadat, bahasa, ilmu pengetahuan dan lain-lain.
Manusia dalam menjalani kehidupan sentiasa berkumpul dan memainkan
peranan dalam kumpulan di mana sahaja kawasan di dunia ini. Mereka menciptakan
pelbagai hal untuk mencapai kesempurnaan hidup dan kehidupan.
Ibn Khaldun mempunyai teori besar (grand theory) tentang
masyarakat. Antaranya ialah teori yang menegaskan masyarakat sebagai suatu
organisma yang bersifat hidup, mempunyai potensi untuk berubah dan berkembang
maju seandainya perancangan pembangunan yang rapi dan tersusun dapat dilakukan.
Para pengkaji dan pengamat kemasyarakatan berbeza pendapat tentang
pengertian “masyarakat” dilihat daripada penjelasan mereka. Sesetengah mereka
berpendapat bahawa masyarakat tidak lebih penting daripada individu. Kelompok
inilah yang menggalakkan kecenderungan keindividuan. Kelompok lain mengatakan
masyarakat adalah segala-galanya, yang mendahului individu dan berdiri sendiri.
Kelompok inilah yang berusaha menghapuskan keindividuan.
Namun pendapat
yang paling umum dan lazim tentang masyarakat mengatakan bahawa masyarakat
adalah kumpulan individu yang saling membantu sesuai dengan aturan yang berlaku
di kalangan mereka untuk mencapai matlamat tertentu. Pengertian inilah yang
digunakan oleh ilmu sosial moden. Pendapat Malik bin Nabi didapati mirip dengan
pengertian ini. Masyarakat menurut Malik bin Nabi ialah:
“Himpunan
manusia yang tumbuh dan berkembang bermula dari satu titik yang diistilahkan
sebagai ‘kelahiran’ yang merupakan awal peristiwa yang merakam pelbagai bentuk
kehidupan berkongsi, sebagaimana ia merakam titik bertolak bagi setiap gerakan
perubahan yang berlaku dalam kehidupan. Bentuk ini menjelma dalam aturan serta
hubungan yang mengikat antara individu-individu dalam kelompok tertentu.”
Daripada pengertian ini dapat diperhatikan, perlu ada suatu
pemikiran, idea dan nilai yang menjadi titik temu bagi individu-individu
tersebut sebagai tempat bertolak atau kelahiran sebuah masyarakat. Tanpa adanya
ikatan ini maka hubungan ini tidak bererti dan masyarakat itu akan gagal
menjaga kepentingan individu dan mewujudkan keharmonian kelompok. Oleh itu
Malik bin Nabi berpendapat tidaklah tepat atau kurang hati-hati untuk
mengatakan orang-orang primitif sebagai suatu masyarakat.
Beliau juga berpendapat bahawa “gerakan” merupakan satu syarat
untuk memajukan masyarakat. Gerakan tersebut tidak ada kecuali dengan adanya
hubungan yang erat dan mengikat dalam masyarakat. Jika gagal mengadakan
percampuran yang erat maka berhenti pulalah gerak-maju masyarakat. Selanjutnya
usaha “melahirkan masyarakat” tidak berjaya kecuali dengan cara mengubahnya
menjadi kelompok manusia yang mengamalkan cara hidup bercampur dan mempunyai
hubungan sosial yang positif.
Masyarakat atau himpunan manusia mana pun tidak sempurna melainkan
dengan adanya gagasan dan pemikiran yang mengikat dan mendorongnya berusaha
untuk sampai kepada matlamat tertentu. Ini jugalah yang menjadikan masyarakat
primitif yang berselerak dan berpecah-pecah menjadi satu masyarakat yang teratur
dan berusaha berganding bahu untuk sampai kepada cita-citanya.
Masyarakat bermula dengan individu sebagai unit sosial. Oleh itu
menurut Malik bin Nabi, usaha pertama untuk mengubah masyarakat adalah mengubah
individu dari keindividuannya menjadi seorang ‘personel’. Ini bererti perlu sekali
mengubah sifat-sifat keprimitifannya dengan kesediaan dan kecenderungan hidup
berkelompok yang akan mengikatnya dengan masyarakat.
4.0 Definisi Masyarakat Islam
Konsep masyarakat Islam berhubung secara langsung dengan persoalan
budaya. Maksudnya segala atur cara dan peraturan keislaman menjadi budaya dan
amalan hidup harian yang dihayati oleh setiap anggota masyarakat.
Islam adalah satu undang-undang atau peraturan yang lengkap yang
diturunkan oleh Allah kepada para rasul dan nabi untuk mengatur segala peri
kehidupan lahir batin manusia. Peraturan tersebut sama ada mengenai dirinya
sebagai orang perseorangan ataupun yang berhubungan dengan pencipta (al-Khaliq)
dan yang berhubungan dengan makhluk.
Islam merupakan satu sistem hidup yang rapi dan sempurna yang
meliputi seluruh cabang hidup. Segalanya
boleh dikembalikan kepada tiga sistem hubungan yang asasi:
a.
Hubungan
manusia dengan Allah.
b.
Hubungan
manusia sesama manusia.
c.
Hubungan
manusia dengan alam.
4.1 Hubungan Manusia Dengan Allah
Manusia adalah
sebaik-baik makhluk yang telah diciptakan oleh Allah S.W.T, kejadian yang
dirancang untuk kebahagiaan dunia. Oleh itu Allah telah menjadikan manusia
dengan tujuan untuk menghambakan diri kepada-Nya seperti yang diterangkan di
dalam al-Qur’an, Surah al-Dzariyat, ayat 56 yang bermaksud:
“Dan
(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka berhamba
abdi kepada-Ku.”
Oleh itu nyatalah bahawa hubungan manusia dengan Allah merupakan
hubungan hamba dengan Tuhannya. Manusia sebagai hamba telah diperintahkan oleh
Allah supaya melakukan ibadat dalam bentuk ‘menyuruh melakukan kebaikan dan
menegah daripada melakukan kejahatan’. Segala amalan manusia yang berbentuk
demikian dianggap sebagai ibadat kepada Allah untuk diberi balasan apabila dia
dikembalikan kepada-Nya.
4.2 Hubungan Manusia Sesama Manusia
Manusia dijadikan oleh Allah daripada asal keturunan yang satu
iaitu daripada Adam a.s. Daripada Adam dijadikan pasangan hidupnya Hawa. Maka
daripada kedua-duanya lahir manusia dan terus membiak memenuhi alam hingga hari
ini. Sepasang manusia, iaitu Adam dan Hawa pada mulanya merupakan umat yang
mempunyai agama dan bahasa yang sama. Tidak ada apa-apa perbezaan antara
mereka. Tetapi setelah manusia membiak dan berpecah-pecah bertaburan di muka
bumi ini secara tabiinya mereka berpecah kepada beberapa bentuk dan rupa
bangsa, umat dan suku kaum. Perbezaan ini berlaku pula pada bahasa, pakaian dan
cara kehidupan. Keadaan iklim di berbagai-bagai daerah telah mempengaruhi warna
kulit mereka, bentuk rupa dan saiz atau besar kecil tubuh badan manusia.
Perbezaan juga berlaku kepada cara berfikir dan bertindak yang telah mengubah
pandangan hidup dan agama yang melahirkan kebudayaan dan budaya agama.
Oleh yang demikian
hubungan seseorang manusia dengan manusia yang lain bukan sahaja daripada segi
bahawa mereka hamba Allah, tetapi mereka sebenarnya adalah sebagai sebuah
keluarga yang berasal daripada jiwa yang satu. Ini bererti tiap-tiap manusia
itu wajib menganggap manusia yang lain tidak kira bangsa, tempat dan warna
kulit adalah mempunyai hak yang sama daripada segi kemanusiaan dan kebebasan.
Allah berfirman (al-Hujurat: 13) yang bermaksud:
“Wahai
sekalian manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku
puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang
lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa
di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan
kamu).”
Menurut pendapat ulama, maksud
“supaya kamu berkenal-kenalan” dalam ayat di atas bermaksud berhubung mesra di
antara sesama manusia dalam serba lapangan kehidupan sama ada berbentuk
peribadi atau masyarakat.
Jadi, kedatangan
Islam memperbaiki akidah dengan memastikan keesaan Allah dalam erti yang luas
serta memperbaiki keadaan masyarakat dengan menghapus segala bentuk kezaliman
termasuk perbezaan darjat manusia. Islam telah menetapkan bahawa manusia adalah
khalifah di muka bumi ini.
Masyarakat yang
dibentuk sesuai dengan prinsip-prinsip ini akan menjadi sebuah masyarakat yang
mempunyai tujuan yang jelas, di mana semua kegiatan kemasyarakatan serta
tindakan pemimpin dan rakyat adalah bermatlamatkan untuk mencapai keredaan
Allah.
4.3 Hubungan Manusia Dengan Alam Sejagat
Allah telah
menjadikan alam ini penuh dengan hidup-hidupan dan tumbuh-tumbuhan, udara yang
nyaman, air yang bersih, cahaya yang menyegarkan dan dijadikan siang dan malam
silih berganti. Semua itu adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia. Manusia dalam
hubungan ini merupakan makhluk yang telah diamanahkan oleh Allah sebagai
khalifah di alam ini. Di tangan manusia terletak kemakmuran alam dan segala
penghuninya.
Manusia dijadikan
dalam dunia ini sebagai khalifah yang diamanahkan oleh Allah untuk menguasai
alam ini dengan sebaik-baiknya. Segala kemakmuran dan kerosakan yang berlaku di
alam ini akan dipersoalkan oleh Allah. Oleh itu manusia sentiasa diingatkan
dalam al-Qur’an supaya tidak melakukan sebarang kemusnahan di alam ini seperti
firman Allah (al-Baqarah: 11) yang bermaksud "Janganlah kamu membuat
bencana dan kerosakan di muka bumi".
Jika berlaku
kerosakan di alam ini, ia adalah akibat daripada sikap manusia yang tidak
memegang amanah Allah dengan sebaik-baiknya. Kadang kala dalam perancangan,
manusia mencipta kemakmuran dengan mengutamakan kemakmuran manusia sahaja tanpa
mempersoal dan memperhitungkan kesempurnaan kemakmuran makhluk-makhluk lain.
Akibatnya ia boleh mendatangkan kemusnahan terhadap sistem alam yang akhirnya
akan memusnahkan kehidupan manusia itu sendiri kerana manusia juga merupakan
sebahagian daripada alam yang terlibat dengan sistem itu.
Dengan itu masyarakat Islam ialah kalangan manusia yang mendiami
mana-mana daerah atau tempat yang menjadikan Islam sebagai akidah, pengatur dan
penyusun kehidupan rohani dan jasmani. Mereka juga menjadikan Islam sebagai
asas dalam setiap ciptaan dan rekaan dalam usaha mereka untuk mencapai
kesempurnaan dalam pelbagai aspek atau lapangan kehidupan bermasyarakat.
Dengan kata lain
masyarakat Islam ialah masyarakat yang mengenakan pengaruh keislaman ke atas
segala bidang kehidupannya. Hasil pengaruh serta dayacipta keislaman inilah
yang difahamkan sebagai kebudayaan Islam. Dengan ini tertolaklah suatu pendapat
yang sering diketengahkan oleh sarjana-sarjana Barat yang mengatakan bahawa
Islam juga merupakan suatu agama kebudayaan yang dilahirkan oleh proses
perjalanan manusia dalam mencapai kesempurnaan hidup mereka.
5.0 ASAS
PEMBENTUKAN MASYARAKAT ISLAM
Masyarakat Islam terbentuk daripada tiga perkara asas iaitu ikatan iman, ikatan syariah dan ikatan akhlak.[1]
5.1
Ikatan Iman
Dalam apa keadaan
dan suasana, segala sistem yang digariskan oleh manusia, sama ada ekonomi,
politik, pendidikan mahupun sosial tidak dapat lari daripada soal pokok (iman).
Iman adalah dasar hidup manusia. Hidup tanpa iman adalah hidup yang tidak
mempunyai apa-apa nilai.
Dengan kata lain
setiap pembinaan yang berhubung dengan kehidupan manusia itu mesti berdasarkan keimanan.
Ini kerana Islamlah satu-satunya agama yang benar, lengkap dan mencakupi
keseluruhan sistem hidup manusia. Ia adalah agama Allah sendiri yang Maha Mengetahui
lagi Maha Bijaksana yang menjadikan seluruh makhluk alam ini.
Oleh itu masyarakat Islam adalah sebuah masyarakat yang dianggotai
oleh orang-orang yang diikat dengan ikatan iman. Orang yang beriman adalah
mereka yang percaya kepada Allah Yang Maha Esa, menerima segala ajaran yang
dibawa oleh Rasulullah S.A.W. sebagai sistem yang berdasarkan nilai iman dan
takwa.
Asas inilah yang menyatukan seluruh umat manusia di dunia ini.
Mereka lahir daripada jenis yang sama, keturunan yang sama dan agama yang sama
yang diwarisi daripada Nabi Adam A.S. Mereka semua adalah hamba Allah dan
mereka bersaudara dan berkasih sayang. Persaudaraan yang diikat dengan asas
keimanan akan membentuk suatu hubungan yang kukuh antara umat Islam. Ia
melahirkan perasaan dan semangat bantu membantu dan tolong menolong antara satu
sama lain. Hubungan kasih sayang yang berteraskan iman pula laksana satu jasad;
apabila salah satu anggotanya sakit, maka seluruh jasad turut merasai sakit dan
demam serta berjaga malam.
5.2 Ikatan Syariah
Allah yang
mencipta sekalian makhluk, mentadbir dan mengurus serta mengawasinya. Allah
memberikan kepada manusia akal yang
keupayaannya terbatas. Jadi manusia perlu kepada petunjuk dan syariat Ilahi
demi menjalani hidup yang sempurna dan mendapat kesejahteraan dunia dan akhirat.
Oleh itu semua insan perlu tunduk dan patuh kepada undang-undang Allah. Mereka
perlu hidup berperaturan dan mengikut ketetapan yang telah ditentukan oleh
Allah demi menjamin kestabilan alam keseluruhannya.
Syariat Islam
adalah syariat Allah S.W.T. atau undang-undang Allah yang diturunkan bagi
mengatur urusan kehidupan manusia seharian, sama ada yang berkaitan dengan
hubungan manusia dengan Allah mahupun manusia sesama manusia dan hubungan
manusia dengan makhluk lain. Tujuan syariat yang utama adalah untuk memelihara
agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda daripada sebarang bentuk
kemudaratan.
Apabila manusia
berpegang kepada peraturan Allah maka tertegaklah sebuah masyarakat yang kuat
dan bersatu padu kerana semuanya mempunyak hak, tatacara hidup, tujuan dan
matlamat yang sama.
5.3 Ikatan Akhlak
Nilai-nilai akhlak
merupakan asas utama untuk melahirkan masyarakat yang bertamadun. Di antara
misi kedatangan Rasulullah S.A.W. ialah untuk menyempurnakan akhlak manusia.
Baginda adalah contoh yang paling unggul dalam akhlak. Seluruh tingkah laku
Rasulullah adalah menjadi ikutan para sahabatnya dan kaum muslimin. Apabila
akhlak yang terpuji itu diamalkan oleh setiap individu muslim sama ada sebagai
suami atau isteri, ibu bapa atau anak, pemimpin atau rakyat dan lain-lain,
secara tidak langsung telah mempamerkan suatu sikap dan tindak tanduk yang sama
di antara satu sama lain dalam sesebuah masyarakat. Keseragaman dalam sikap dan
tindakan melambangkan wujud kesefahaman dalam fikiran akan membentuk sebuah
masyarakat yang bersatu padu dan kukuh jalinannya.
6.0 TANGGUNGJAWAB DALAM MASYARAKAT
Islam mempunyai
pendekatan tersendiri berhubung dengan tanggungjawab individu. Al-Qur’an dan
as-Sunnah telah menggariskan aturan mengenai tugas dan tanggungjawab individu.
Antaranya ialah: [2]
i.
Tanggungjawab
untuk berjihad, terutama apabila berlaku keadaan yang mengancam keselamatan
diri, kebebasan mengamalkan agama, sama ada agama Islam sendiri mahupun bukan
Islam yang bernaung di bawah negara Islam. Allah berfirman dalam Surah al-Hajj,
ayat 39-40 bererti :
Diizinkan
berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh),
kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah adalah Maha Berkuasa
untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari
kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka
diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan Kami ialah Allah".
Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan
setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta
gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan
juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak
padanya; dan Allah pasti akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama
Islam). Sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa.
ii. Larangan
daripada menimbulkan ancaman peperangan atau penindasan dan larangan daripada
menggugat perpaduan dan kesatuan umat. Ini berdasarkan maksud hadis berikut:
“Barang siapa yang memecahbelahkan umatku, penggallah lehernya” (Riwayat
al-Nasa’i), “Jika ketika anda bersatu di bawah seorang lelaki, kemudian terdapat
cubaan dari seseorang untuk memecah belahkan keutuhan atau menggugat kesatuan
kamu, maka bunuhlah dia” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
iii. Tugas untuk
menegur dan memerhatikan kegiatan kerajaan serta mengkritik polisi pemerintahan
dan perundangan, jika terdapat keadaan yang menggambarkan bahawa sesuatu
perkara telah dikendalikan secara salah. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w
yang bermaksud:
“Jihad yang paling afdal ialah menyatakan kebenaran kepada
pemerintahan yang zalim.” (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).
Dari sini dapat
difahami bahawa individu berkewajipan untuk memberi kesedaran dan menganjurkan
kebaikan kepada masyarakat keseluruhannya. Mereka hendaklah sentiasa berusaha
melahirkan idea baru yang boleh merubah dan membantu membangunkan umat. Dari
sini lahirlah kepentingan kepada kebebasan untuk melahirkan pendapat.
Batasannya jangan sampai mencemarkan ajaran Islam atau merupakan hasutan untuk
menentang kerajaan yang sah dan jangan melanggar kehormatan awam.
7.0 MASYARAKAT
MAJMUK
Mengenai kedudukan
orang bukan Islam, beberapa asas telah diletakkan oleh Rasulullah s.a.w ketika
berurusan dengan warganegara yang bukan beragama Islam. Kemudian telah
diteruskan penghayatannya oleh para khulafa’ yang menerajui pemerintahan
Islam selepasnya.
Sikap menghormati
akidah orang lain sekalipun ia berbeza dengan akidah Islam dan sikap tasamuh
dalam pergaulan serta sikap mementingkan keadilan seperti yang dituntut oleh
ajaran Islam telah menyebabkan agama Islam dan penganutnya dihormati dan
disanjung.
Islam telah memperuntukkan hak-hak tertentu untuk orang-orang bukan
Islam yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Mereka diistilahkan sebagai
golongan dhimmi, iaitu orang-orang yang dijamin oleh Islam untuk
mendapat perlindungan dan pembelaan dari serangan musuh. Dengan ini maka jiwa,
harta dan maruah mereka adalah dihormati dan dilindungi secara adil dan saksama.
Masyarakat Islam
tidak boleh campur tangan dalam akidah, ibadat, adat, kebudayaan dan peraturan
hidup orang-orang bukan Islam. Mereka diberi autonomi dalam soal tersebut. Mereka
mempunyai kebebasan dalam bidang kepercayaan dan bebas untuk melakukan peribadatan
dengan cara yang mereka sukai. Mereka juga diberi kesempatan untuk mempraktikkan
kegiatan-kegiatan sosio-ekonomi dalam batas-batas yang tidak mengganggu
ketertiban umum dan tidak berlawanan dengan sendi-sendi akhlak yang telah
ditetapkan.
Hal ini kerana
masyarakat Islam adalah masyarakat yang menjunjung tinggi prinsip keadilan dan
memperjuangkan keadilan untuk seluruh warganya tanpa memandang kepercayaan,
bangsa dan sebagainya. Pada pandangan Islam, keadilan adalah hak semua manusia,
baik musuh atau kawan. Al-Qur’an tidak membenarkan permusuhan dan kebencian
mengalahkan keadilan, bahkan Islam menganggap bahawa keadilan terhadap musuh
itu adalah lebih dekat kepada takwa.
8.0 KESIMPULAN
Perkataan
masyarakat bermaksud kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dan
mempunyai peraturan tertentu. Masyarakat lebih umum daripada negara yang
bermaksud masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh
kerajaan dengan suatu undang-undang yang berdaulat. Manusia perlu hidup
bermasyarakat kerana keperluan jasmani dan rohani atau dunia dan akhiratnya
tidak mampu diusahakannya seorang diri. Hidup bermasyarakat dalam Islam
bermaksud hidup dalam satu organisasi yang berpaksikan Islam sebagai suatu cara
hidup. Survival seorang insan sebagai individu muslim mu‘min
tidak akan mantap tanpa masyarakat Islam. Ini kerana hanya masyarakat Islam
sahaja yang boleh menjamin jalinan erat antara hubungan manusia dengan Allah,
hubungan manusia dengan sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam
sekitar.
Oleh: Ustazah Fatimah bt Ali, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)
Sumber: Buku Islam dan Isu Kontemporari, halaman 113-122.
[1]
Mahussain bin Mohd Zain (2002), “Konsep Sosial Dalam Islam”, dlm. Azhar
Muhammad et al. Pengantar Institusi-institusi Islam, Pusat
Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai,
h. 13.
[2]
Abdul Monir Yaacob dan Wan Roslili Abd. Majid (penyunting) (2002), Kriteria
Negara Berteraskan Prinsip Islam, IKIM, Kuala Lumpur , h. 82-83.
Casinos near IATA Casino and Hotel
ReplyDeleteThe Casino 밀양 출장안마 and 광주광역 출장안마 Hotel offers 2,500 slot machines, 21 table 군산 출장안마 games, an 영천 출장샵 arcade, and a poker room. Casinos Near IATA Casino and Hotel in Harrisburg, 전라북도 출장안마