Thursday, August 1, 2013

PEROSAK PAHALA #4: MENDUSTAKAN QADHA DAN QADAR

Ketahuilah wahai saudaraku, bahawa keimanan seseorang hamba tidak akan sempurna sehinggalah dia beriman dengan qadha dan qadar Allah yang baik dan juga yang buruk; dan dia tahu dengan yakin bahawa apa yang telah menimpanya bukan tersilap menimpanya dan apa yang ditetapkan terhindar daripada terkena kepadanya pula tidak mungkin sama sekali akan menimpanya. Pena-pena di Luh Mahfuz telah pun diangkat dan dakwat pada kitab Luh Mahfuz itu sendiri pun telah kering. Sedangkan ilmu Allah tentang segala-galanya itu Maha Sempurna sebelum ianya terjadi lagi dan malah sebelum penciptaan alam ini sendiri.
Sesiapa yang mendustakan perkara ini, maka gugurlah pahala amal kebaikannya dan jadilah dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi sekali pun dia telah menginfaqkan emas sepenuh bumi ini.
Sabda Nabi SAW:
ثَلَاثَةٌ لَا يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنْهُمْ صَرْفًا وَلَا عَدْلًا: عَاقٌّ، وَمَنَّانٌ، وَمُكَذِّبٌ بِالْقَدَرِ.
Maksudnya: “Tiga golongan yang tidak akan diterima oleh Allah apa jua amalannya yang fardu mahupun yang sunat: Anak yang derhaka, orang yang suka mengungkit-ungkit budinya dan orang yang mendustakan al-qadar (qadha dan qadar Allah). [H.R Ibnu Abi ‘Asim dan al-Tabarani. Rujuk al-Silsilah as-Sahihah oleh al-Albani: 1785]
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Zaid bin Thabit, Ubai bin Ka‘ab, Abdullah bin Mas‘ud dan Huzaifah bin al-Yaman radhiyallahu ‘anhum bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:
لَوْ أَنَّ اللهَ عَذَّبَ أَهْلَ سَمَاوَاتِهِ وَأَهْلَ أَرْضِهِ عَذَّبَهُمْ وَهُوَ غَيْرُ ظَالِمٍ لَهُمْ، وَلَوْ رَحِمَهُمْ كَانَتْ رَحْمَتُهُ خَيْرًا لَهُمْ مِنْ أَعْمَالِهِمْ، وَلَوْ أَنْفَقْتَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا فِي سَبِيلِ اللهِ مَا قَبِلَهُ اللهُ مِنْكَ حَتَّى تُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ، وَتَعْلَمَ أَنَّ مَا أَصَابَكَ لَمْ يَكُنْ لِيُخْطِئَكَ، وَأَنَّ مَا أَخْطَأَكَ لَمْ يَكُنْ لِيُصِيبَكَ، وَلَوْ مُتَّ عَلَى غَيْرِ هَذَا لَدَخَلْتَ النَّارَ.
Maksudnya: “Seandainya Allah menurunkan azab ke atas semua penduduk langit dan penduduk bumi sekali pun, sebenarnya Dia mengazab mereka tanpa sedikit pun berlaku zalim terhadap mereka. Dan seandainya Dia merahmati mereka, sudah tentulah rahmat-Nya itu adalah lebih baik bagi mereka daripada amalan-amalan mereka. Seandainya kamu membelanjakan emas sebesar bukit Uhud di jalan Allah sekalipun, nescaya Allah tidak akan menerimanya daripada kamu sehinggalah kamu beriman kepada qadha dan qadar, dan kamu mengerti bahawa apa yang menimpa kamu tidak mungkin terlepas daripada menimpa kamu dan apa yang ditetapkan terhindar daripada menimpa kamu tidak mungkin sama sekali untuk berlaku ke atas kamu. Seandainya kamu mati di atas keyakinan yang selain ini nescaya kamu akan masuk ke dalam neraka.”[HR Ibnu Majah, Abu Daud, Ahmad, lt-Tabarani, Ibnu Hibban dan Ibnu Abi ‘Asim: Sahih]
Setelah berlakunya kes-kes pendustaan terhadap qadha dan qadar Allah pada penghujung zaman sahabat radhiyallahu ‘anhum, para tabi‘in dengan tergesa-gesa pergi bertemu dengan para sahabat untuk meminta fatwa dan pendapat tentang fenomena yang baru muncul dalam kalangan mereka ini [1].
Kata putusnya adalah jelas melalui sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab r.a.
Kisah tersebut telah diriwayatkan oleh Yahya bin Ma‘mar rahimahullah. Beliau berkata: “Orang yang pertama mengucapkan sesuatu yang meragui qadha dan qadar di kota Basrah ialah Ma‘bad al-Juhani. Sewaktu itu saya dan Hamid bin Abdul Rahman al-Himyari sedang bertolak untuk naik haji atau umrah. Kami berkata: Kalaulah kita bertemu dengan mana-mana sahabat Rasulullah, kita akan menyoalnya tentang apa yang sedang diperkatakan oleh golongan tersebut tentang qadha dan qadar. Apabila kami terserempak dengan Abdullah bin Umar bin al-Khattab yang sedang masuk ke dalam masjid, kami pun berjalan mengiringi beliau, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kirinya[2]. Saya mengandaikan bahawa sahabat saya itu menyerahkan perbincangan kepada saya lalu saya pun berkata: “Wahai Abu Abdul Rahman[3] sesungguhnya telah muncul di tempat kami golongan yang membaca al-Quran dan memiliki ilmu.” Kemudian dia (Hamid bin Abdul rahman al-Himyari) pula menyebut tentang mereka, “iaitu mereka mendakwa bahawa qadha dan qadar itu tidak ada, dan segala sesuatu hanya baru berlaku[4]”.
Abdullah bin Umar r.a pun berkata: “Kalau engkau bertemu dengan mereka, katakanlah kepada mereka bahawasanya aku berlepas diri daripada mereka dan mereka juga berlepas diri daripadaku. Demi Allah yang dengan-Nya Abdullah bin Umar bersumpah, kalaulah seorang daripada mereka memiliki emas sebesar bukit Uhud lalu dia menginfaqkan kesemuanya, nescaya Allah tidak akan menerimanya sehinggalah dia beriman dengan qadha dan qadar.” Kemudian beliau berkata lagi: “Telah berkata kepadaku bapaku Umar bin al-Khattab: … .” dan beliau telah menyebut hadis Jibril yang panjang tentang Islam, iman, ihsan dan tanda-tanda hampir kiamat.”  [HR Muslim]




[1] Ini adalah satu contoh yang jelas daripada para tabi‘in rahimahumullah yang menunjukkan bahawa manhaj salaf as-soleh digunapakai dalam menentukan hujah sesuatu hukum, kerana mereka (para tabi‘in) sendiri telah merujuk kepada para sahabat apabila munculnya bid‘ah tersebut (iaitu bid‘ah dalam perkara akidah) agar mereka dapat mematahkannya dengan hujah yang jelas.
[2] Beginilah adab yang sepatutnya terhadap para ulama.
[3] Gelaran bagi Abdullah bin Umar r.a. -P
[4] Tidak didahului oleh qadha dan qadar, dan juga tidak diketahui oleh Tuhan melainkan setelah ianya berlaku.

No comments:

Post a Comment