Wednesday, July 24, 2013

ASMA' BINTI ASAD BIN AL-FURAT~ ULAMA WANITA YANG THABAT MENGHADAPI TRIBULASI

Asma’ binti Asad bin Al-Furat Al-Qairawaniyyah merupakan puteri kepada qadhi wilayah Qairawan yang begitu terkenal di benua Afrika. Ayahanda beliau merupakan murid kepada dua orang tokoh ulama yang masyhur iaitu Imam Abu Yusuf dan Imam Malik bin Anas.

Hasil didikan bapanya yang merupakan seorang ulama terkenal, Asma’ dibesarkan di dalam suasana yang penuh keilmuan. Sebagai anak tunggal kepada Al-Qadhi Asad bin Al-Furat (142H – 213H), beliau telah dididik dengan penuh perhatian, sehingga beliau bukan sahaja memiliki akhlak dan budi pekerti yang mulia, tetapi turut mewarisi ilmu dan kebijaksanaan. Asma’ sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di rumah bapanya. Malah beliau juga turut melibatkan diri bersoal jawab, berbincang dan berbahas sehingga dikenali sebagai seorang wanita yang faqih. Beliau masyhur dalam menyampaikan hadis dan menguasai ilmu fekah menurut mazhab Abu Hanifah.
Setelah lapan tahun menjawat jawatan sebagai qadhi di Qairawan, Gabenor Tunisia ketika itu yang bernama Ziyadatullah bin Ibrahim telah membuat keputusan untuk melantik bapanya sebagai panglima tentera Islam bagi membuka Pulau Sicily. Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan Asma’ ketika itu. Namun demi jihad yang suci menegakkan Islam di bumi Allah, beliau telah merelakan perpisahan tersebut. Dengan penuh tabah dan bersemangat juang, beliau telah mengiringi bapanya sehingga ke Kota Sousse untuk bertolak ke medan jihad memimpin armada tentera Islam yang akhirnya belayar dengan penuh izzah menuju ke Pulau Sicily.
Pada bulan Rabi‘ul Awwal tahun 212H, Panglima Asad bin Al-Furat telah berjaya memimpin bala tentera Islam memasuki Pulau Sicily sehingga menempa kemenangan yang masyhur dalam lipatan sejarah Islam. Beliau walau bagaimanapun telah meninggal dunia pada tahun 213H setelah jatuh sakit sewaktu sedang mengepung Kota Syracuse, ibu kota Kerajaan Rom di Pulau Sicily. Diriwayatkan bahawa di saat-saat terakhir menemui syahid, beliau menggenggam erat panji-panji Islam di tangan kirinya, sedangkan pedang pula terhunus di tangan kanannya sambil membacakan ayat Allah:
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللهِ وَالْفَتْحُ
Yang bermaksud: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan…”  [Surah Al-Nasr, ayat 1]
Setelah bapanya meninggal dunia, Asma’ dengan begitu tabah meneruskan kehidupan dalam suasana keilmuan. Beliau mendirikan rumahtangga dengan salah seorang murid bapanya iaitu Muhammad bin Abi Al-Jawwad yang telah mengambil alih jawatan bapanya sebagai qadhi di Qairawan. Suaminya kemudian telah diangkat sebagai ketua ulama Hanafi di benua Afrika pada tahun 225H. Setelah suaminya berhenti daripada memegang jawatan sebagai qadhi, ketika itulah beliau berhadapan dengan satu lagi ujian dan dugaan dalam menegakkan kebenaran. Suaminya telah dituduh pecah amanah menyelewengkan harta wadiah oleh penggantinya sehingga dijatuhkan hukuman penjara.
Sewaktu suaminya berada di dalam tahanan, Asma’ dengan begitu berani telah pergi menemui qadhi tersebut untuk mengadakan rundingan. Beliau diberikan janji akan dilepaskan suaminya dengan syarat membuat pengakuan tentang harta yang diselewengkan serta membayar ganti ruginya.
Namun suami beliau iaitu Muhammad bin al-Jawwad terus mempertahankan diri dan tetap mengaku tidak bersalah di atas segala pertuduhan yang dibuat. Lantaran itu, beliau terus ditahan dan tidak dibebaskan.
Selepas beberapa ketika, dengan penyusunan takdir yang penuh hikmah daripada Allah S.W.T, qadhi yang menuduhnya itu telah dipecat dan suami Asma’ telah dikembalikan semula ke jawatannya yang asal. Lantaran memiliki jiwa yang besar dan keperibadian yang mulia, beliau tidak pernah bertindak untuk membalas dendam terhadap kezaliman yang telah dilakukan ke atasnya.
Sebagai seorang ulama wanita yang terkenal  sabar dan tabah mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi kehidupan yang sesuai dengan tahap keilmuannya, Asma’ binti Asad bin Al-Furat terus disanjung tinggi oleh segenap lapisan masyarakat di zamannya. Beliau meninggal dunia sekitar tahun 250H.

Begitulah besarnya sumbangan seorang ulama wanita yang bukan sahaja menjadi rujukan dalam bidang keilmuan, tetapi juga menjadi inspirasi dan kekuatan kepada bapa, suami dan ahli keluarga dalam meneruskan perjuangan demi agama tercinta di saat badai melanda. 

No comments:

Post a Comment