Monday, July 22, 2013

MUSLIMAH DAN PERSEDIAAN MENYAMBUT AIDIL FITRI




Golongan wanita, khususnya para ibu selalunya amat prihatin tentang persediaan menyambut Syawal sekalipun ketika Ramadhan masih belum bermula. Tugas menyediakan baju raya, kuih raya, menghias rumah untuk menyambut Aidil Fitri, semuanya berlegar-legar dalam pemikiran si ibu dan menjadi antara topik hangat perbualan para ibu di rumah mahupun di tempat-tempat kerja. 

Para ibu selaku suri dan pengurus rumah tangga muslim memang dianjurkan untuk menyusun waktu dan merancang kewangan dengan baik dalam membuat persediaan menyambut Aidil Fitri. Ini adalah kerana persediaan yang terancang akan dapat mengelakkan gangguan terhadap seisi keluarga untuk mengambil manfaat yang maksimum daripada pengisian tarbiah sepanjang Ramadhan. Harus diingatkan bahawa fokus utama yang perlu dirancang ialah terhadap Ramadhan itu sendiri, agar pengisian tarbiahnya mampu memberi kesan yang mendalam dan berkekalan.
 
Terdapat beberapa aspek persediaan menyambut Syawal yang perlu dititik beratkan oleh para muslimah. Antaranya ialah yang melibatkan perancangan kewangan yang baik agar bulan Ramadhan boleh dijadikan sebagai bulan memberi dan bersedekah, bukannya bulan untuk membeli-belah. Rasulullah s.a.w sendiri sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Abbas r.a merupakan seorang insan yang paling pemurah dan dermawan, namun baginda menjadi lebih pemurah lagi pada bulan Ramadhan. (H.R al-Bukhari dan Muslim)

Begitu juga dengan penyusunan waktu bagi melakukan persiapan menyediakan kelengkapan hari raya untuk seisi keluarga. Para muslimah pastinya perlu berusaha agar tidak banyak mengambil masa di waktu siang mahupun malam Ramadhan yang penuh barakah untuk menyiapkan kelengkapan Aidil Fitri sehingga tidak sempat untuk memperbanyakkan ibadah seperti solat terawih dan bertadarus atau membaca al-Quran. Sehubungan itu, sesetengah ilmuwan mencadangkan agar sekiranya mampu, pakaian hari raya anak-anak dapat disediakan sebelum masuknya bulan Ramadhan lagi. Ini adalah untuk mengelakkan para ibu daripada menghabiskan begitu banyak masa sepanjang bulan Ramadhan untuk melakukan persiapan menyambut hari raya. 

Dalam masyarakat kita, bulan Syawal adalah sinonim dengan bulan hari raya. Walaupun hari raya Aidil Fitri hanya jatuh pada 1 Syawal sahaja, namun menjadi adat dalam masyarakat di Malaysia mengadakan majlis-majlis rumah terbuka sempena Aidil Fitri sepanjang tempoh sebulan di bulan Syawal. 

Di sinilah pentingnya untuk para muslimah menghayati roh Aidil Fitri dan Syawal sebagaimana yang mahu diterapkan oleh Islam ke dalam diri individu, keluarga dan masyarakat. Sambutan hari raya Aidil Fitri pada 1 Syawal mahupun pada majlis-majlis rumah terbuka yang diadakan selepasnya perlu dirancang agar melambangkan kemenangan atau meraikan kejayaan dengan penuh rasa syukur setelah sebulan melalui proses tarbiah di bulan Ramadhan. Justeru itu, banyak perkara yang perlu dipelihara agar majlis-majlis yang diadakan diberkati oleh Allah, sesuai dengan tarbiah Ramadhan yang baru dilalui. 

Sekiranya diperhatikan, antara suasana yang banyak berlaku dalam menyambut Syawal di dalam keluarga-keluarga umat Islam ialah pembaziran yang melampau, pakaian-pakaian wanita yang mendedahkan aurat serta pergaulan bebas, bersalam-salaman antara yang bukan mahram. Generasi muda juga ada yang dibiarkan berpelesiran tanpa batas dengan alasan menyambut hari raya bersama rakan-rakan, atau menyambut 1 Syawal di hadapan kaca televisyen atau melayari internet yang menayangkan hiburan yang tidak syar’ie tanpa menghidupkan budaya ziarah-menziarahi. 

Oleh itu, para muslimah selaku suri dan ibu hendaklah merancang dari awal bentuk sambutan Aidil Fitri nanti bagi memastikan bahawa perkara-perkara yang disebutkan ini dapat dielakkan di dalam keluarga agar terus diberkati oleh Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment