Monday, July 22, 2013

KESAN SOLAT YANG SEMPURNA TERHADAP DIRI MUSLIMAH

Sepertimana yang diketahui umum, solat terdiri daripada pergerakan anggota, bacaan zikir, Al-Quran dan munajat. Sehubungan itu, solat yang dituntut oleh Islam ialah solat yang cukup rukun dan syaratnya, dipelihara waktunya, diteliti sunat-sunatnya, serta difahami dan ditadabburkan pengertian bacaannya. Walaupun dari sudut hukum fiqah, solat yang ditunaikan dengan memenuhi rukun dan syaratnya sudahpun dikira sah, namun dari sudut pahala dan penerimaan di sisi Allah s.w.t, ianya masih belum pasti sempurna. 

Penerimaan solat seseorang bukan hanya ditentukan oleh pergerakan anggota dan bacaan yang zahir semata-mata. Apa yang sama penting untuk dijaga ialah roh solat itu sendiri bermula daripada niat, keikhlasan, serta khusyuknya hati dan anggota. Unsur-unsur rohani inilah yang banyak memberi kesan terhadap peribadi dan kehidupan seorang muslim mahupun muslimah.

Dalam himpunan ayat-ayat al-Quran, Surah al-Mukminun ayat 1 hingga 9 telah ditegaskan enam ciri orang-orang beriman yang mendapat kemenangan. Allah s.w.t memulakannya dengan golongan mukmin yang khusyuk di dalam solat sebagai ciri yang pertama, serta mengakhirinya dengan menyebut tentang mukmin yang memelihara solatnya.

Justeru itu sebagaimana kita wajib mempelajari ilmu fiqah untuk menunaikan solat yang sah, maka begitu juga kita tidak boleh memisahkannya daripada penghayatan ilmu untuk menunaikan solat yang khusyuk. 

Antara perkara yang amat membantu untuk mencapai kesempurnaan solat ialah menghadirkan hati, khusyuk anggota, memahami bacaan yang dibaca di dalam solat sebaik mungkin, memusatkan fikiran terhadap keagungan dan kebesaran Allah s.w.t, merasai kekerdilan diri berhadapan dengan Allah Yang Maha Besar, berasa malu di atas dosa-dosa yang dilakukan sambil mengharapkan keampunan-Nya, serta bersedia melawan lintasan-lintasan hati yang mengganggu kekhusyukan di dalam solat yang didirikan.


Objektif Disyariatkan Solat

Allah s.w.t mewajibkan kita selaku hamba-Nya untuk mengkhususkan lima waktu setiap hari untuk bertawajjuh menghadapkan hati dan seluruh jiwa raga kita kepada-Nya. Kita dituntut supaya memisahkan diri seketika daripada semua tarikan duniawi untuk menghubungkan hati secara total kepada Allah. Di situlah letaknya bekalan rohani yang amat diperlukan oleh jiwa dan hati nurani kita bagi meneruskan kehidupan sebagai hamba-Nya.

Walaupun asal pada ibadat ialah semata-mata melaksanakan perintah Allah, menzahirkan pengabdian kepada-Nya tanpa menerangkan sebab dan musababnya, namun ini tidak bermakna bahawa kita tidak perlu mencungkil rahsia, hikmah dan kebaikannya di dunia mahupun di akhirat setakat yang mampu dijangkau oleh akal serta dipandu oleh wahyu. 

Tujuan utama menunaikan solat ialah untuk mengingati Allah s.w.t sebagaimana yang telah ditegaskan di dalam firman Allah s.w.t :
“..Dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.” (Taahaa: 14)

Justeru itu, antara maqasid atau objektif khusus daripada solat fardhu ialah menzahirkan pengabdian diri kita kepada Allah s.w.t selaku Pencipta dan Pemberi rezeki yang tidak putus-putus kepada makhluk-Nya. 

Untuk mencapai tujuan solat yang disebutkan, di sinilah letaknya kepentingan solat yang sempurna memancarkan kekhusyukan dengan menghadirkan hati dan fikiran hamba agar tidak lalai daripada mengingati Allah s.w.t.


Kesan solat yang sempurna terhadap diri seorang muslimah

Kesan mendirikan solat yang sempurna adalah umum bagi golongan lelaki mahupun perempuan. Namun penulis merasakan ada keperluan untuk mengkhususkannya di sini buat para muslimah untuk difikirkan bersama. Selaku insan yang berjiwa halus dan mudah berubah perasaan dan emosinya - tidak kira sebagai seorang isteri, ibu, anak, saudara, sahabat, pendakwah mahupun pekerja - sudah tentu solat yang sempurna merupakan satu pangkalan yang utama dan satu perhentian yang amat penting untuk menghimpun kekuatan iman seorang muslimah agar dapat memancarkan cahaya ketenangan di celah kesibukan dunia yang mencabar ini.

            Berikut adalah beberapa kesan penting bagi solat yang seharusnya menjadi satu titik muhasabah untuk kita para muslimah. Semoga dengan memikirkannya, kita akan terus memperbaiki kualiti solat kita agar diizinkan oleh Allah s.w.t untuk merasai kesan-kesan yang indah daripada solat yang sempurna.
1.      Solat yang sempurna akan membentuk peribadi muslimah yang lebih tenang, berfikiran positif, berjiwa bersih dan pemurah. Ia akan lebih tabah menanggung beban kehidupan, tidak gelisah apabila ditimpa kesusahan, dan tidak leka apabila dilimpahi kesenangan. Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Al-Ma’arij, ayat 19 hingga 23 yang bermaksud:
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.” 

Antara sebab terbitnya ketenangan seusai mendirikan solat juga adalah lantaran mendapat pengampunan dosa melalui solat yang sempurna. Dosa-dosa yang terhapus melalui solat yang ditunaikan ialah dosa-dosa kecil, manakala dosa yang besar masih tetap memerlukan kepada taubat yang bersungguh-sungguh. Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Hud, ayat 114 yang bermaksud:
“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam; sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan..”

2.      Solat yang sempurna melatih muslimah memperbanyakkan zikir, doa dan mengingati Allah s.w.t, agar dapat terus mengingati-Nya ketika berada di luar solat. Namun hal ini amat bergantung kepada sejauh mana seorang muslimah mampu memahami zikir-zikir, ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang dibacakan di dalam solatnya serta merasai dengan sebenar-benarnya akan keagungan Allah s.w.t yang dihadapkan wajahnya ketika menunaikan solat.

3.      Rentetan daripada ingatan yang berterusan kepada Allah s.w.t, solat tersebut akan mampu menghalang seorang muslimah daripada melakukan kerosakan dan kemungkaran sehingga melahirkan masyarakat yang sejahtera. Imam Al-Haramain menyebut: “Penerusan dalam melaksanakan ibadah akan melatih para hamba untuk terus melakukan ketaatan, sedangkan memperbaharui janji dengan mengingati Allah pula mencegah daripada perkara yang keji dan mungkar.”
 
Di sini penulis ingin menyentuh satu aspek kemungkaran yang sangat biasa berlaku di kalangan wanita seusai menunaikan solat iaitu dalam hal menutup aurat. Terdapat sebahagian muslimah yang hanya menutup aurat untuk menunaikan solat. Namun sejurus selepas menunaikannya, langsung diketepikan bersamanya pakaian yang menutup aurat seolah-olah tidak sesuai lagi untuk dipakai ketika menjalani proses kehidupan. Justeru itu, adalah amat perlu untuk disentuh hati mereka dan diterangkan kembali konsep ibadah dan pengabdian diri kita yang sebenar kepada Allah s.w.t. Allah bukan semata-mata Tuhan yang memiliki hati kita di dalam sembahyang, tetapi Dia jugalah Tuhan yang menentukan cara hidup makhluk secara keseluruhan. Sebagaimana kita dituntut untuk mematuhi perintah Allah di dalam solat agar ianya sah dan diterima, maka begitulah kita seharusnya mematuhi perintah Allah s.w.t di luar solat agar seluruh hidup kita diterima sebagai satu pengabdian di sisi-Nya. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa muslimah yang tetap menunaikan solat walaupun tidak menutup auratnya sebagaimana yang dituntut adalah lebih baik daripada yang langsung tidak menunaikan solat, kerana lambat laun solat yang dikerjakan secara istiqamah itu diharapkan dapat mengetuk pintu hatinya untuk menutup aurat dan melaksanakan suruhan-suruhan Allah yang lain dengan lebih baik. Semoga Allah s.w.t mengurniakan hidayah-Nya kepada kita semua.

4.      Antara kesan solat yang sempurna juga ialah seorang muslimah akan terlatih untuk menjadi seorang yang menjaga waktu dan tersusun urusannya. Ia tidak leka dalam kesibukan tugas rumahtangga, kerjaya mahupun dakwah sehingga melupakan atau menangguh-nangguhkan temu janjinya dengan Allah s.w.t yang sudah ditentukan masanya. Ia juga sentiasa ingat akan balasan yang bakal menimpa golongan yang melalaikan solat di akhirat kelak. Allah s.w.t berfirman di dalam Surah al-Ma’un ayat 4 hingga 5 yang bermaksud:
“Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang; (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”

5.      Seandainya seorang muslimah menunaikan solat secara berjemaah pula, ia akan turut merasai kesan solat berjemaah yang melahirkan umat yang bersatu dan berkasih sayang, tolong-menolong di atas jalan kebaikan, berhimpun mendengar pesanan kebaikan di masjid-masjid dan belajar mentaati pemimpin melalui solat berjemaah.

6.      Antara kesan solat yang sempurna juga ialah para muslimah akan mengambil berat tentang pelaksanaan solat di dalam keluarga dan masyarakat. Anak-anak akan diajar untuk menunaikan solat, akan terus dididik untuk mementingkan solat, akan didoakan agar menjadi generasi rabbani yang mendirikan solat. 

Sesungguhnya kesan solat yang sempurna terhadap seorang muslimah tidak kira di posisi mana ia berada sebenarnya mampu untuk melahirkan masyarakat yang rabbani, sejahtera dan harmoni. Justeru itu, dengan melihat kepada suasana masyarakat secara umum pada hari ini, adalah amat wajar sekali bagi kita para muslimah untuk melipatgandakan  usaha bagi mencapai kualiti solat yang sempurna. Wallahu a’lam.


Senarai Rujukan:
Abdul Rahman Hassan Habannakah al-Maidani, (1995), Ibtila’ al-Iradah bi al-Iman wa al-Islam wa al-Ibadah, Dar al-Qalam, Beirut.
Haidar Qaffah, (1991), Al-Muslimah al-‘Asriyyah: Ila Aina?, Dar al-Basyeer, Jordan.
Muhammad Ali al-Hashimi, (2002), Syakhsiyyah al-Mar’ah al-Muslimah, Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut.
Muhammad Said bin Ahmad bin Mas’ud al-Yubi, (1430H), Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah, Dar Ibn al-Jauzi, Dammam.
Yusuf Al-Qaradhawi, (2009), Al-Ibadah fi al-Islam, Maktabah Wahbah, Kaherah.

No comments:

Post a Comment