Friday, July 19, 2013

JENIS-JENIS MASLAHAH


Kedatangan syariat Islam adalah untuk memberikan maslahah dan menolak mafsadah. Terdapat pelbagai jenis maslahah, jika dilihat daripada sudut yang berbeza. Jenis-jenis maslahah itu adalah seperti berikut:-

Pertama: Jika dilihat dari sudut sama ada syarak mengambil kira dan mengiktirafnya  sebagai maslahah atau tidak pula, maslahah terbahagi kepada tiga bahagian:-
i-Maslahah Mu’tabarah- iaitu maslahah yang diiktiraf oleh syarak, dan syarak pula telah menetapkan hukum-hakam untuk mencapainya. 
ii-Maslahah Mulghah- iaitu maslahah yang tidak diiktiraf oleh syarak dan ia juga tidak menganggapnya sebagai maslahah, kerana ia boleh meluputkan maslahah lain yang lebih besar daripadanya. Contoh bagi maslahah mulghah ialah menyerah diri kepada musuh tanpa perang.
iii-Maslahah Mursalah- iaitu maslahah yang tidak ada dalil daripada syarak sama ada mengiktirafnya sebagai maslahah ataupun tidak.


Kedua: Jika dilihat dari sudut kepada siapa maslahah itu kembali, maslahah terbahagi kepada dua bahagian:-
i-Maslahah Kulliyyah- iaitu maslahah yang keuntungannya itu kembali kepada keseluruhan ummah ataupun kepada sebahagian besar ummah dan masyarakat. Contohnya menjaga negara daripada pencerobohan musuh, menjaga perpaduan ummah, menjaga hadis-hadis nabawi daripada pemalsuan dan sebagainya. 
ii-Maslahah Juz’iyyah- iaitu maslahah yang keuntungannya kembali kepada orang perseorangan ataupun sebahagian kecil masyarakat. Contohnya pensyariatan syuf’ah, gadaian, keharusan menjadi doktor, bersukan dan sebagainya.


Ketiga: Maslahah jika dilihat pada sudut keperluan kepadanya, terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu:-
i-Maslahah Qat’iyyah- iaitu maslahah yang diyakini sepenuhnya bahawa ia diiktiraf oleh syarak. Contohnya maslahah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan juga harta.
ii-Maslahah Zanniyyah- iaitu maslahah yang mana datang pensyariatannya dengan dalil zanniy atau yang difikirkan oleh akal bahawa ia diiktiraf oleh syarak. Contohnya maslahah kenapa hakim tidak boleh menjatuhkan hukuman ketika marah.
iii-Maslahah Wahmiyyah- iaitu maslahah yang pada permulaannya nampak mendatangkan kebaikan, tetapi setelah diteliti, ia sebenarnya mendatangkan keburukan yang lebih besar atau menghilangkan maslahah lain yang lebih besar daripadanya. Contohnya ialah tidak mengenakan hukuman qisas kepada pembunuh, pelaku maksiat dan penagih dadah untuk menghilangkan masalah-masalah dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment