Friday, July 19, 2013

MAQASID SYARIAH


Perhatian: Kesemua entri mengenai Maqasid Syariah telah diambil daripada tulisan al-Fadhil Ustaz Tuan Mohd Sapuan bin Tuan Ismail. Sila ke www.tasekpauh@blogspot.com untuk penjelasan lanjut.

Pendahuluan
Mengenali Maqasid Syariah merupakan satu perkara yang amat berharga bagi seorang muslim yang menyayangi agamanya. Orang yang mengenali Maqasid Syariah akan terpegun dengan keindahan agamanya dan kesempurnaannya. Mengenalinya juga merupakan syarat penting untuk berijtihad. Seorang ulamak tidak mampu mengeluarkan hukum yang tepat jika hanya memahami terjemahan nas-nas al-Quran dan Hadis, tetapi tidak memahami Maqasid Syariah. Bahkan memahami Maqasid Syariah adalah antara asas yang terpenting dalam memahami nas-nas syarak dan mengeluarkan hukum.
Kalimah “maqasid” adalah kata jamak kepada kalimah “maqsad”, yang berasal dari kata dasar “qasada”. Ia bererti tujuan, kehendak, matlamat, adil dan tidak melampau. Manakala Maqasid Syariah pula ialah tujuan sebenar yang ingin dihasilkan bagi ketetapan hukum syarak, iaitu untuk kemaslahatan (kebaikan) manusia. Dengan kata lain, ia bererti hikmah atau nilai-nilai baik yang tersirat atau natijah baik yang ingin dicapai dengan pensyariatan hukum melalui nas-nas al-Quran dan Hadis. Terdapat beberapa kalimah lain yang juga digunakan untuk menunjukkan makna maqasid, antaranya ialah “al-illah”, “al-munasabah” dan “al-hikmah”. Namun kalimah “al-hikmah” adalah lebih banyak digunakan untuk menunjukkan erti maqasid. Oleh kerana itu mungkin kita boleh terjemahkan Maqasid Syariah sebagai “Hikmat Pensyariatan” atau “Tujuan Pensyariatan”.

Dalil-Dalil Wujudnya Maqasid Syariah
Penetapan hukum-hukum syariah adalah untuk kemaslahatan manusia, sama ada lambat atau cepat. Kemaslahatan yang lambat ialah kemaslahatan ukhrawi iaitu dengan mendapat syurga yang kekal abadi dan dilepaskan daripada neraka dan azabnya. Kemaslahatan yang cepat pula ialah kemaslahatan duniawi. Sehubungan itu hukum-hukum syarak adalah alat untuk mencapai tujuan tersebut.
Tidak ada satu pun daripada keseluruhan hukum-hukum syarak yang mana pensyariatannya adalah sia-sia (tanpa tujuan). Di mana sahaja adanya hukum syarak, maka di situ wujudlah kemaslahatan yang ingin dicapai atau kemudharatan yang ingin ditolak dan dijauhi atau kedua-duanya sekali. Mencapai kebaikan atau kemaslahatan dan menolak keburukan atau kemudharatan adalah maqasid (tujuan) bagi setiap hukum syarak. Dalil-dalil bagi kenyataan ini ialah berdasarkan istiqra’ (kaji selidik) terhadap nas-nas syarak.  Sesiapa yang mengkaji ayat-ayat suci al-Qur’an dan hadis-hadis Nabawi, sudah tentu dia akan dapati bahawa di mana sahaja ada perintah (suruhan), maka di situ wujudnya maslahah dan di mana sahaja ada larangan, maka di situ wujudnya mafsadah. Sebagai contoh kita lihat ayat-ayat suci di bawah:
i-        Dalam bab solat, Allah S.W.T berfirman: Sesungguhnya solat itu boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. (Surah al-Ankabut: 45)
ii-      Dalam bab puasa, Allah S.W.T berfirman: Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu (sentiasa) bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 183)
iii-    Dalan bab qisas, Allah S.W.T berfirman: Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) kehidupan bagi kamu. (Surah al-Baqarah: 179)
iv-    Dalam bab keizinan berperang,  Allah S.W.T berfirman: Telah diizinkan (berperang) bagi orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telahpun dizalimi. (Surah al-Haj: 39)
v-      Dalam bab taqwa, Allah S.W.T berfirman: Dan bertaqwalah kepada Allah, semoga kamu (sentiasa) berjaya. (Surah al-Baqarah: 189)
Ini adalah sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Qur’anul Karim yang menunjukkan bahawa adanya Maqasid Syariah. Kerana inilah Syeikhul Maqasid Imam as-Syatibi menyatakan bahawa kita tidak mampu membilang setiap maqasid daripada setiap perincian hukum daripada al-Qur’an dan as-Sunnah, kerana setiap hukum ada maqasidnya tersendiri.
Antara dalil secara umum yang menunjukkan adanya Maqasid Syariah ialah Firman Allah S.W.T:
Dan tidak Kami utuskanmu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Surah al-Anbiya’: 107).
            Perkataan “rahmat” itu mengandungi maksud memelihara dan menghasilkan maslahah-maslahah dan menolak mafsadah-mafsadah (keburukan).
Logik akal juga menunjukkan wujudnya Maqasid Syariah. Ini kerana syariah adalah undang-undang ketetapan Allah S.W.T. Kalaulah akal kita tidak dapat menerima sesuatu undang-undang ciptaan manusia jika ia dibuat tanpa sebarang tujuan (maqasid), maka lebih-lebih lagilah akal kita tidak dapat menerima syariat Allah Yang Maha Bijaksana ini kosong daripada sebarang tujuan. Maka jelaslah bahawa syariat Allah S.W.T datang penuh sarat dengan maqasid iaitu menarik kemaslahatan dan menolak keburukan (mafsadah).

Pokok Perbincangan Ilmu Maqasid Syariah
Ilmu Maqasid Syariah ialah ilmu yang membincangkan tentang tujuan-tujuan (maqasid-maqasid) yang diambil kira oleh syariah dalam menetapkan hukum-hakam. Oleh kerana itu, perbincangan yang penting dalam ilmu Maqasid Syariah ialah maslahah dan mafsadah, dan kaitan kedua-duanya dengan penentuan hukum-hakam.

Mengenal Maslahah Dan Mafsadah Pada Pandangan Syarak
Telahpun jelas bahawa kedatangan Syariat Islam adalah untuk memberikan  maslahah dan menolak mafsadah. Secara mudahnya maslahah ialah segala kebaikan dan mafsadah pula ialah segala keburukan.
Maslahah dan mafsadah itu bukanlah ditentukan oleh akal manusia, tetapi ditentukan oleh syariah. Ini kerana pandangan akal manusia berbeza-beza. Mungkin sesuatu perkara dianggap maslahah oleh sebahagian manusia kerana ia memberikan kebaikan kepada mereka, tetapi dianggap mafsadah oleh sebahagian yang lain, kerana mendatangkan keburukan kepada mereka. Terdapat juga maslahah yang dianggap sebagai mafsadah kerana dorongan hawa nafsu, dan begitulah sebaliknya. Oleh kerana itu akal dan juga keinginan nafsu manusia tidak boleh menjadi kayu ukur untuk menentukan maslahah dan juga mafsadah. Hanya syariah sahaja yang boleh menetukan maslahah dan juga mafsadah kepada manusia kerana ia datang daripada Tuhan Pencipta mereka.
Maslahah pada pandangan syariah ialah setiap perkara yang memenuhi lima kriteria berikut:-
i-        Ia termasuk dalam Maqasid Syariah atau tujuan pensyariatan syariah.
Tujuan pensyariatan syariah untuk manusia terkandung dalam menjaga lima perkara, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan (termasuk juga maruah) dan juga harta.
ii-      Ia tidak bertentangan dengan al-Quran.
iii-    Ia tidak bertentangan dengan al-Hadis.
iv-    Ia tidak bertentangan dengan al-Qiyas.
Ini kerana Qiyas adalah diambil daripada pemahaman terhadap nas al-Quran dan juga al-Hadis. Maka ia merupakan praktikal terhadap nas al-Quran dan juga Hadis.
v-      Ia tidaklah meluputkan maslahah yang lebih besar daripadanya.
Ini kerana tidak dinamakan maslahah jika ia menghilangkan maslahah lain yang lebih besar daripadanya. 

Inilah lima kriteria yang perlu ada pada sesuatu perkara sebelum ia dianggap sebagai maslahah pada pandangan syarak.


No comments:

Post a Comment

Post a Comment