Perkataan Islam berasal dari Bahasa Arab “salima”
(Sin, Lam, Mim). Ia mempunyai banyak erti antaranya ialah damai, suci, patuh
dan taat. Dari segi istilah pula, kata Islam bermaksud kepatuhan kepada
kehendak dan kemahuan Allah SWT serta kepada hukumnya.
Hubungan antara pengertian Islam menurut
Bahasa Arab dan pengertian Islam dari segi istilah amat nyata dan erat sekali,
iaitu “hanya dengan kepatuhan kepada kehendak Allah dan tunduk kepada
hukum-hukumnya seseorang dapat mencapai kedamaian yang sebenar dan memperolehi
kesucian yang abadi.”
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Bahkan
barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan,
maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhuatiran terhadap
mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah Al-Baqarah: 112)
Islam juga bermaksud satu sistem dan
perundangan yang lengkap untuk urusan kehidupan yang dibawa oleh Nabi Muhammad
s.a.w. untuk disampaikan kepada manusia sebagai panduan dan ikutan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah.
Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada
Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukuman-Nya.” (Surah Al-Hasyr : ayat 7)
Islam berbeza daripada agama lain yang ada di
muka bumi kerana perkataan Islam tidak mempunyai hubung kait, sama ada dengan
individu-individu, golongan-golongan mahupun tempat-tempat tertentu.
Agama Islam terdiri daripada akidah, ibadah,
sistem hidup dan kaedah-kaedah pengukuhan.
- Akidah yang dimaksudkan ialah syahadah dan rukun-rukun.
- Ibadah pula ialah seperti solat, zakat, puasa dan haji (rukun Islam).
- Sistem hidup pula ialah hukum Islam mengenai persoalan manusia seperti sistem politik, ekonomi, ketenteraan, pendidikan, akhlak dan sistem kemasyarakatan.
- Kaedah-kaedah pengukuhan yang dimaksudkan pula ialah jihad, menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar dan hukuman yang dikenakan ke atas pesalah.
Dengan
kata lain Islam tidak wujud jika tidak ada akidah, lebih-lebih lagi apabila
tidak ada syahadatnya. Demikian juga Islam tidak wujud jika akidah diterima
tetapi ibadah ditolak. Seterusnya jika diterima kedua-dua akidah dan ibadah
tetapi tidak dilaksanakan sistem-sistem yang ditetapkan, maka Islam menjadi
lemah dan tidak mempunyai kekuatan. Islam akan menjadi lemah dan hancur jika
jihad dan pelaksanaan hukum Allah tidak diamalkan.
Iman pula berasal daripada perkataan arab “Amina”.
Dalam Bahasa Melayu ia bermakna aman atau membentuk keadaan aman dan tenteram.
Dari
segi istilah, iman membawa makna membenarkan dengan hati dan berikrar dengan
lidah serta beramal dengan ajaran-ajaran Allah SWT yang dibawa oleh Nabi
Muhammad s.a.w.
Untuk
memenuhi pengertian beriman kepada Islam itu mestilah ada ketiga-tiga perkara
ini. Iaitu mengakui di dalam hati bahawa Islam itu benar dan menyatakan dengan
lidahnya bahawa Islam itu agama yang benar, serta mengamalkan ajaran-ajaran
yang terkandung dalam agama Islam itu. Kalau ketiga-tiga perkara ini tidak ada,
maka tidaklah sempurna keimanan seseorang itu terhadap agama Islam.
Beriman kepada Allah SWT merupakan dasar
kepada seluruh keimanan seorang mukmin. Ia mengandungi keimanan terhadap 3 jenis tauhid:
- Tauhid Rububiyyah
- Tauhid Uluhiyyah
- Tauhid Asma Wa Sifat
Tauhid Rububiyyah
Mengakui
bahawa Allah SWT adalah pelaku yang mutlak terhadap alam; sama ada mencipta,
mentadbir, mengubah, menambah, mengurang, menghidup dan mematikan. Tiada
sesiapapun yang boleh menandingi perbuatan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia
memelihara segala sesuatu.” (Surah
Az-Zumar : 62)
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud:
“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang
menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas
'Arasy untuk mengatur segala urusan. Tiada seorangpun yang akan memberi
syafa'at kecuali sesudah ada izin-Nya. (Dzat) yang demikian itulah Allah, Tuhan
kamu, maka sembahlah Dia. Maka apakah kamu tidak mengambil pelajaran?” (Surah
Yunus : 3)
Tauhid Uluhiyyah
Mengakui
bahawa Allah SWT yang berhak disembah, dicintai, dipatuhi dan tempat bermohon.
Tauhid ini menuntut seseorang menyakini kemutlakan kekuasaan Allah SWT atas
segala sesuatu dalam semesta ini.
Keyakinan ini menetapkan bahawa hanya Allah SWT yang berhak untuk
membuat hukum dan perbuatan bagi seluruh makhluk yang diciptakan-Nya.
“Dan kami tidak mengutus seorang rasulpun
sebelum kamu melainkan kami wahyukan kepadanya: "Bahawasanya tidak ada
Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Daku".
(Surah Al-Anbiya: 25)
Pada hakikatnya, Tauhid Uluhiyyah ini
menghimpun semua jenis tauhid yang lain, termasuk Tauhid Rububiyyah dan Tauhid
Asma’ Wa Sifat.
Tauhid Asma ‘ Wa Sifat
Mengakui dan mempercayai bahawa Allah SWT itu
memiliki nama-nama yang baik serta sifat-sifat yang luhur dan tinggi. Hanya Dia
sahaja yang layak untuk memiliki nama-nama dan sifat-sifat itu.
Maksud firman Allah SWT: “Hanya milik Allah nama-nama
yang paling baik, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna
itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam
(menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang
telah mereka kerjakan.” (Surah Al-A’raf: 180)
Terdapat 3 asas bagi menyempurnakan tauhid
ini iaitu:
1. Wajib beriktikad bahawa Allah SWT tidak
memiliki sifat-sifat yang sama dengan makhluk.
2. Wajib beriman dengan semua sifat-sifat
Allah SWT yang tersebut di dalam Al-Quran dan Hadith.
3. Wajib
beriman dengan semua nama dan sifat Allah tanpa mempertikaikan tentang
hakikatnya.
Ihsan pula bermaksud
melakukan kebaikan dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan balasan demi
keredhaan Allah SWT.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
…قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنِ اْلإِحْسَانِ، قَالَ:
أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ
يَرَاكَ
Maksudnya: ... “Beritahukan kepadaku
tentang Ihsan" Rasulullah menjawab,"Engkau beribadah kepada Allah
seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia
pasti melihatmu.” [H.R. Imam Muslim].
Keikhlasan
adalah asas terpenting yang menentukan kesempurnaan iman dan amalan seseorang
Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya
sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta
alam.” (Surah Al-An’am: 162)
Kalimah ihsan juga digunakan untuk menggambarkan
pelbagai pengertian iaitu muraqabatullah, kebaktian, hubungan yang baik
sesama makhluk, serta kesungguhan dan ketekunan.
No comments:
Post a Comment