Pertama -
Jika dilihat sekilas pandang, maka asas sempadan aurat wanita di dalam solat
adalah sama dengan sempadan auratnya di luar solat apabila terdedah kepada
pandangan lelaki ajnabi. Namun bagi para ulama yang berpandangan bahawa
terdapat perbezaan bagi sempadan aurat di dalam dan di luar solat, maka
kebanyakan mereka menjadikan aurat di luar solat iaitu di hadapan lelaki ajnabi
itu lebih ketat daripada aurat wanita ketika mengerjakan solat di tempat yang
tidak dapat dilihat oleh lelaki ajnabi. Ini adalah kerana bagi kebanyakan
ulama, fitnah di dalam solat adalah lebih ringan berbanding fitnah di luar
solat. Justeru itu, tiada khilaf tentang perlunya membuka muka untuk
mengerjakan solat, tetapi terdapat khilaf tentang wajibnya menutup muka di
hadapan lelaki ajnabi di luar solat.
Begitu juga masih sah solat wanita yang bersolat dengan pakaian yang
ketat apabila telah menutup bahagian auratnya kerana tidak ada dalil yang
mengatakan sebaliknya. Namun begitu ada di kalangan ulama yang meletakkan
hukumnya sebagai makruh. Akan tetapi sekiranya pakaian yang ketat itu dipakai
di hadapan lelaki ajnabi, maka hukumnya adalah haram dan berdosa.
Dukacitanya, hukum yang telah dirumuskan oleh para fuqaha berpandukan
al-Quran dan al-Sunnah di atas tidak difahami dan tidak dipatuhi oleh
sebilangan wanita Islam dewasa ini. Amalan masyarakat yang mengetatkan
penutupan aurat di dalam solat kerana khuatir ibadah mereka tidak sah, tetapi
pada masa yang sama tidak begitu menitik beratkan penjagaan aurat di luar solat
dalam kehidupan seharian adalah jelas bertentangan dengan hukum berkenaan. Hal
ini berlaku mungkin kerana masih terpisahnya aspek ibadah daripada soal
kehidupan bagi kebanyakan anggota masyarakat kita. Padahal sebagaimana menutup
aurat di dalam solat itu adalah perintah Allah s.w.t, maka menutup aurat di
luar solat juga adalah perintah Allah s.w.t yang wajib dipatuhi dengan
sebaiknya.
Kedua –
Apa yang dimaksudkan dengan dua tapak tangan yang dibenarkan untuk dibuka ialah
bermula dari hujung jari jemari sehingga ke tulang yang timbul di pergelangan
tangan (al-ku'), termasuk belakang
dua tapak tangannya, zahir dan batinnya (Nihayatul Muhtaj, jilid 2, hlm. 6).
Manakala pandangan yang mengatakan bahawa hanya bahagian tapak tangan sahaja
yang harus dibuka, sedangkan belakang tapak tangan itu perlu ditutup dengan
telekung solat yang labuh atau lengan baju yang panjang adalah tidak mempunyai
dalil atau hujah yang kuat. Jumhur fuqaha menegaskan bahawa seluruh tapak
tangan wanita (zahir dan batinnya) adalah bukan aurat di dalam bersolat (Ahkam
al-‘Aurah wa al-Nazor, hlm. 234).
Ketiga -
Berkenaan dengan kaki wanita pula, maka menurut pandangan yang muktamad
daripada mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, ia merupakan aurat wanita yang
wajib ditutup di dalam solat dan di luarnya ketika berhadapan dengan lelaki
ajnabi. Namun demikian masih lagi terdapat khilaf di dalam mazhab-mazhab itu
sendiri tentang keharusan membuka kaki di dalam solat. Menurut mazhab Hanafi
pula, kaki wanita bukanlah aurat dan tidak perlu ditutup sama ada ketika solat
mahupun di luarnya. Namun terdapat satu riwayat yang lain di dalam mazhab
tersebut yang menetapkan bahawa kaki wanita juga adalah aurat di hadapan lelaki
ajnabi, tetapi bukan aurat yang perlu ditutup di dalam solat. (Ahkam al-‘Aurah
wa al-Nazor, hlm. 233)
Pandangan jumhur fuqaha dibuat berdasarkan kepada hadith Ummu Salamah
yang telah disebutkan di awal tadi. Hadith tersebut memberi maksud bahawa baju
labuh yang wajib dipakai oleh wanita untuk mengerjakan solat ialah yang menutup
kakinya. Ini adalah kerana apabila pakaian solat wanita sudahpun menutup zahir
kedua kakinya ketika berdiri dan rukuk, ia pasti akan menutup tapak kakinya
ketika duduk dan sujud disebabkan berhimpunnya anggota-anggota tubuh yang lain
ketika duduk dan sujud.
Keempat - Berkenaan dagu wanita yang seringkali
ditutup dengan telekung solat di negara kita, adakah ianya termasuk bahagian
yang wajib ditutup ataupun ia adalah sebagai satu cara untuk lebih berhati-hati
(ihtiyath)?
Perbincangan mengenai sempadan muka boleh didapati di dalam bab
bersuci iaitu dalam membincangkan tentang had muka yang wajib dibasuh sewaktu berwudhu.
Secara ringkas, sempadan muka dari segi memanjang bermula dari tempat tumbuh
rambut (bahagian atas) hingga ke bahagian paling bawah dagu, dan dari segi
lebarnya bermula dari telinga hingga ke telinga. (Fiqh Minhaji, jilid 1, hlm.
60). Namun Dr Yusof al-Qaradhawi di dalam bukunya Fiqh al-Thaharah (hlm. 141)
menyebut pandangan beliau bahawa adalah tidak perlu untuk mengehadkan sempadan
muka dengan begitu detil kerana ia adalah sebagaimana yang telah diketahui umum
merupakan wajah yang dapat dilihat dari arah hadapan.
Justeru itu, dagu yang wajib dibasuh tanpa khilaf ketika berwudhu
masih termasuk dalam sempadan muka yang harus dibuka semasa wanita mengerjakan
solat. Bagaimanapun pandangan yang menganjurkan agar bahagian bawah dagu itu
sebaiknya ditutup bersama khimar adalah pandangan yang berdasarkan ihtiyath
(lebih berhati-hati).
Kesimpulan
Islam tidak
menentukan pakaian yang khusus untuk dipakai oleh wanita ketika bersolat. Yang
ditentukan oleh syarak ialah apa yang perlu ditutup, dan bukannya apa yang
perlu dipakai. Justeru itu, para muslimah tidak perlu terikat dengan pemakaian
telekung solat sahaja untuk mengerjakan solat kerana solat wanita boleh
dikerjakan dengan apa jua bentuk pakaian, asal sahaja menutupi bahagian
auratnya serta tidak terlalu nipis sehingga menampakkan warna kulit. (Al-Fiqh
al-Islami wa Adillatuh, jilid 1, hlm. 580).
Mungkin apabila berada di rumah, memakai telekung solat yang khusus
itu adalah lebih mudah kerana biasanya wanita memakai pakaian yang ringkas dan
tidak memakai tudung kepala ketika berada di dalam rumah sesama mahramnya.
Namun apabila keluar dari rumah, seorang muslimah sepatutnya telah memastikan
bahawa auratnya ditutup dengan sempurna agar tidak dilihat oleh lelaki ajnabi.
Justeru itu, solat wanita yang bertudung kepala bersama jubah, baju kurung atau
baju labuh dengan seluar panjang yang longgar adalah sah di sisi syarak,
setelah dapat dipastikan bahawa lengannya tidak tersingkap dan kakinya juga
tertutup dengan sempurna sama ada dengan memakai stokin ataupun kain yang
dilabuhkan.
Sekiranya disiplin menutup aurat ini dijaga oleh para muslimah setiap
kali keluar dari rumah sebagai memenuhi tuntutan yang diwajibkan oleh Allah
s.w.t, sudah tentu keadaan ini akan menyelesaikan masalah sebahagian wanita
yang menjadikan ketiadaan telekung solat sebagai alasan untuk melewat-lewatkan
solat ataupun terus meninggalkan solat apabila keluar dari rumah.
Semoga Allah memudahkan kita semua untuk melaksanakan perintah-Nya
sebagaimana yang Dia redhai, dan semoga
kita semua para muslimah akan terus diberikan pahala oleh Allah s.w.t setiap
saat kita berpakaian menutup aurat dan memelihara kehormatan diri sebagaimana yang
ditetapkan oleh syariat. Wallahu a’lam.
Sumber rujukan bagi tiga artikel berkenaan aurat muslimah:
- Abdul Karim Zaidan (1994). Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim. Beirut, Muassasah al-Risalah, Cetakan Keempat.
- Abu Malik Kamal bin al-Sayid Salim. Fiqh al-Sunnah Li al-Nisa’. Kaherah, Maktabah Taufiqiyyah.
- Musa’id bin Qasim al-Falih. Ahkam al-Aurah wa an-Nazor bi Dalil al-Nas wa al-Nazor. Riyadh, Dar al-Ma’arif.
- Ibn Qudamah (1992). Al-Mughni.Kaherah, Hajar Li al-Nasyr wa al-Tauzi’, Cetakan Kedua.
- Mohd Ali al-Hashimi (2002). Syakhsiyyah al-Mar’ah al-Muslimah. Beirut, Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Cetakan Ketujuh.
- Wahbah al-Zuhaily (1996). Al-Fiqh al-Islamy wa Adillatuh. Damsyik, Dar al-Fikr, Cetakan Ketiga.
- Yusof al-Qaradhawi (2008). Fiqh al-Thaharah. Kaherah, Maktabah Wahbah, Cetakan Keempat.
- Yusof Al-Qardhawi (1994). Al-Halal wal Haram fil Islam. Beirut, Al-Maktab al-Islamy, Cetakan Kelima Belas.
No comments:
Post a Comment