Tuesday, July 23, 2013

BIDANG KESENIAN ISLAM

Bidang-bidang Kesenian Islam

1. Seni Khat

Seni khat ialah satu ilmu yang memperkenalkan bentuk-bentuk huruf tunggal, penyusunannya dan cara-cara merangkainya menjadi sebuah tulisan yang tersusun. Khat merupakan seni tulisan indah yang mempunyai nilai-nilai kehalusan dan kesenian. Nilainya tinggi kerana ianya mudah dirobah mengikut penulisan, bahkan tulisannya seolah-olah mempunyai irama. Ia juga disandarkan pada subjek-subjek yang berkaitan dengan agama dan digunakan untuk menulis ayat-ayat suci dan kata-kata bijak pandai (hukama').

Seni khat berkembang dengan perkembangan seni ukiran dan kadang-kadang kedua-dua bidang seni ini tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Ia juga menjadi coretan tulisan indah daripada kehalusan rasa seni dan ketajaman daya pemikiran manusia yang mencipta seni tulisan sebagai lambang kepada perkataan yang dituturkan. Perbezaannya dengan huruf-huruf lain adalah dari segi keindahannya, mudah dirobah, disandarkan kepada perkara yang berkaitan dengan agama dan digunakan untuk menulis ayat-ayat suci.

Kepentingan Seni Khat

1. Ia mempunyai kaitan dengan peningkatan tahap tamadun itu sendiri. Sebab itu ia merupakan hasil aktiviti masyarakat maju dan bertamadun.

2. Merupakan salah satu cara bagi umat Islam membaca dan menulis ayat-ayat al-Quran dengan baik. Dan dengan cara ini dapat menarik dan memudahkan lagi mereka mempelajari dan menghafalnya.

3. Keindahan tulisan merupakan kelembutan jari dan kehalusan pemikiran serta citarasa penulisnya.
Jenis-jenis Seni Khat

Tamudun Islam kaya dengan seni-seni tulisan tangannya yang juga dikenali sebagai seni khat. Khatnya mengandungi lapan model utama dan selain itu merupakan cabang dari lapan-lapan model ini. Antaranya khat utama ialah Kufi, Thuluth, Nasakh, Farisi, Riq'ah, Diwani, Diwani Jali dan Raihani.

1. Khat Kufi berasal dari Kufah. Pada zaman Kerajaan ‘Abbasiyyah, khat ini digunakan sebagai hiasan pada pelbagai bangunan masjid, pemerintahan, kubah atau menara azan dan ditulis dalam bentuk ukiran timbul.

2. Khat Thuluth kebanyakannya digunakan hanya untuk hiasan seperti dalam mushaf ‘Uthmani (al-Quran), nama buku atau kitab serta untuk tujuan lain.

3. Khat Nasakh merupakan tulisan yang paling banyak digunakan dalam penulisan buku-buku berkenaan keagamaan. Ini kerana tulisan khat jenis ini mudah dibaca, jelas serta tidak mengelirukan.

4. Khat Farisi mula dikembangkan di Parsi (Persia). Bentuk hurufnya condong sedikit ke kanan. Ia banyak digunakan untuk penulisan buku kesusasteraan, nama dan tajuk karangan pada majalah dan surat khabar. Karangan berbahasa Urdu juga biasanya ditulis dengan khat ini.

5. Khat Riq'ah dapat ditulis dengan cepat. Oleh sebab itu ia sering kali digunakan untuk tujuan surat menyurat dan digunakan oleh para pelajar universiti dan madrasah untuk mengambil nota kuliah.

6. Khat Diwani. Diwani membawa erti catatan atau antologi karangan. Digunakan secara meluas semasa pemerinatahan Sultan Khedewy sekitar tahun 1220H di Mesir. Ia digunakan untuk penulisan surat rasmi seperti surat perjanjian, surat penghargaan dan sebagainya. Fungsinya juga adalah sebagai hiasan.

7. Khat Diwani Jali. Jika dibandingkan dengan khat diwani, ia lebih banyak bentuknya, rumit penulisannya, lebih indah dan estatik. Ia digubah dalam bentuk perahu, ikan, burung dan sebagainya.

8. Khat Raihani hampir menyerupai khat thuluth, di mana huruf-hurufnya agak lebar dan panjang serta ditambah dengan tanda-tanda syakal.

2. Seni Penulisan (Sastera)

Seni penulisan pula dikaitkan dengan seni kesusasteraan. Seni kesusasteraan sememangnya mendapat sambutan yang sangat hangat di kalangan umat Islam dan hal yang demikian adalah kerana kesusateraan Islam bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Kesusasteraan al-Quran dapat dilihat dari dua aspek iaitu keindahan bahasa dan dari segi isinya. Di sini dapat dilihat bahawa hasil atau sumbangan kesusasteraan yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah telah menyebabkan ramai kaum musyrikin telah memeluk agama Islam hanya apabila mendengar al-Quran. Contohnya al-Walid bin al-Mughirah yang merupakan penyair terkenal pada zaman Jahiliyyah dan pengkritik yang paling tajam terhadap Rasulullah s.a.w, Umar al-Khattab serta Rabi‘ah dan Jubair bin Mat‘am.

Al-Quran telah berjaya menandingi kehebatan sasterawan Arab dari sudut  keindahan bahasa kesusasteraan dan yang lebih menakjubkan lagi ianya bukan sahaja menggetarkan jiwa mereka yang memahami bahasa Arab malah melintasi batas peribadi, bahasa, keturunan, kebudayaan, geografi, pangkat dan sebagainya. Kesusteraan Islam mula disebarkan oleh Rasulullah s.a.w dan terus berkembang pada zaman Khulafa’ Rashidin, Umawiyyah dan ‘Abbasiyyah. Selain al-Quran, karya kesusasteraan Islam juga meliputi syair, burdah, prosa dan sebagainya.

Kesusasteraan Melayu Islam merujuk kepada hasil seni yang disampaikan melalui bahasa. Dari segi hurufnya, perkataan kesusasteraan bermaksud "kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya." Pada erti kata yang lebih luas, kesusasteraan boleh dimaksudkan sebagai segala pengucapan yang indah-indah, sama ada ia tertulis atau tidak.

Kesusasteraan pada lahiriahnya wujud dalam masyarakat manusia melalui bentuk tulisan dan juga wujud dalam bentuk lisan. Dalam kehidupan seharian, kedua-dua bentuk kesusasteraan sememangnya tidak terpisah daripada kita. Misalnya, kita mendengar muzik yang mengandungi lirik lagu yang merupakan hasil sastera. Kita juga menggunakan pelbagai peribahasa dan pepatah yang indah-indah yang sebenarnya juga merupakan kesusasteraan.

Kesimpulannya, kesusasteraan merupakan sebahagian daripada budaya manusia. Ia adalah ekspresi diri manusia dan juga manifestasi estetik manusia terhadap bahasa yang dipertuturkan oleh mereka sendiri.

3. Lukisan dan Arca ( Ukiran)

Seni lukisan dan arca juga dikenali sebagai seni halus. Pelbagai barang seni yang dihasilkan untuk perhiasan yang diperbuat dari emas, pohon dan batu. Malah ukiran seni halus ini juga terdapat pada perabot rumah, piring, kulit buku, jubin, tembikar, daun pintu, makam, gading dan lain-lain. Seni halus ini juga terdapat pada objek-objek seperti ukiran kayu dan logam yang banyak diperolehi pada zaman kerajaan Fatimiyyah. Logam yang dipilih biasanya berwarna emas, perak dan tembaga contohnya pada mata wang syiling, cerek, bekas air, buyung, tungku dan topi besi perang. Begitu juga seni seramik yang juga terdapat pada piring dan tembikar manakala seni sulaman dibuat dalam bentuk kain seperti kain penghias dinding, tikar permaidani, sejadah, barang-barang tenunan sutera dan sebagainya. Seni hias pula biasanya berbentuk seperti kerawang, lampu dan bentuk-bentuk geometri pada kubah dan lain-lain.

Seni lukis pula bermula pada zaman khalifah Mu‘awiyah di Damsyik dan ia biasanya tertera pada helaian-helaian al-Quran yang dihiasi dengan corak lukisan bunga dan gambar berbentuk arabesque dengan pilihan warna emas, buku-buku sejarah yang dihiasi dengan gambar-gambar warna yang cantik seperti kitab Alfu Laylin wa Laylah dan buku-buku cerita. Seni lukis Islam biasanya terhad kepada lukisan keindahan alam dan tidak termasuk benda-benda bernyawa yang boleh menjadi pujaan seperti haiwan, dewa atau patung.

4. Seni Bina

Satu lagi bidang kesenian Islam ialah seni bina di mana ianya mencapai tahap yang mengkagumkan. Seni bina bermaksud satu bidang seni untuk mendirikan bangunan, dengan reka bentuk yang diciptakan oleh manusia. Menurut Ibn Khaldun seni bina merupakan satu daripada asas tamadun yang paling utama yang merupakan lambang atau menifestasi daripada sesebuah tamadun. Oleh itu berdasarkan pencapaian ini maka keagungan dan ketinggian sesuatu tamadun itu dapat diukur. Buktinya dapat dilihat melalui tamadun-tamadun purba yang agung. Pada zaman tersebut, seni bina yang bermutu dihasilkan dan masih lagi wujud walaupun dalam bentuk yang telah usang dan hampir runtuh.

Aspek seni bina Islam yang terpenting yang harus diperhatikan ialah seni bina masjid. Ini adalah kerana Islam telah meletakkan tempat ibadah sebagai ciri terpenting sesebuah bandar. Ini dapat kita perhatikan daripada sirah Rasulullah s.a.w tatkala baginda berhijrah ke Madinah, perkara yang pertama baginda lakukan ialah mencari tapak yang sesuai untuk membina masjid yang menjadi pusat pengukuhan aqidah, kesatuan dan perpaduan umat Muslimin. Masjid pertama yang didirikan di Madinah ialah Masjid Nabawi yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai pusat tarbiah (pendidikan) dan pentadbiran dalam menyusun strategi ekonomi, peradaban, perang dan sebagainya. Selari dengan perkembangan masa dan kepentingannya, masjid kemudiannya dikembangkan dan diperindahkan dengan pelbagai unsur dekoratif-ornamentif berdasarkan latarbelakang budaya persekitaran umat Islam.

Seni bina masjid menjadi lambang keagungan tamadun berbanding dengan Barat, kerana unsur-unsur ketamadunan yang dikembangkan di kota-kota raya Islam mementingkan nilai kerohanian dan pada masa yang sama pembangunan fizikal dan kebendaan tidak dipinggirkan. Konsep penting dalam seni bina Islam ialah pencapaian iman dan amal, taqwa dan tawadhu', aman dan damai serta merendah hati kepada keagungan Allah S.W.T. Penggunaan perhiasan bukanlah menjadi matlamat seni bina Islam, tetapi kerana kreativiti dan inovasi artis, seniman dan arkitek muslim, ia menjadi suatu seni yang bernilai tinggi yang disepadukan bersama penggunaan corak, warna dan reka bentuk yang dibuat berdasarkan ajaran al-Quran. Kepentingan seni bina masjid di bandar-bandar Islam digambarkan dengan terdapat 241 buah masjid. Di Kaherah pada abad ke 15 Masehi pula terdapat 88 buah masjid jamek (masjid utama) dan 19 masjid kecil.

Dari segi struktur dalaman dan luaran masjid, beberapa perkara dapat dilihat khususnya dari aspek mimbar, arah kiblat, tempat kedudukan imam, ruang berkumpul, tiang dan pilar utama, anjung dan serambi, mihrab, tempat berwuduk, menara tempat muazzin melaungkan azan, kubah dan lain-lain lagi. Perkara-perkara ini merupakan karekteristik seni bina masjid  yang memperlihatkan keunikannya yang tersendiri berbanding dengan seni bina yang lain. Selain itu, seni bina masjid banyak mengetengahkan bentuk-bentuk alat yang merupakan bentuk yang paling sempurna yang mencerminkan kelembutan dan kehalusan yang melampaui zaman.

Selain daripada masjid, seni bina Islam juga merangkumi bangunan-bangunan kediaman, kedai, jambatan, saluran air, rumah rehat, bilik mandi, perpustakaan, sekolah dan sebagainya. Seni bina mencirikan kepada lambang Islam dan berlandaskan tauhid kepada Allah S.W.T serta menitikberatkan kepada reka bentuk Islam yang banyak dipengaruhi oleh seni bina masjid seperti istana-istana dan bangunan-bangunan yang terdapat di Kota Baghdad dan juga di Malaysia sendiri seperti bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan Keretapi Tanah Melayu, bangunan Daya Bumi dan pintu gerbang Darul Ehsan.

5. Seni Muzik ( Suara, Lagu dan Bunyi)

Antara perkara yang dapat menghiburkan jiwa dan menenangkan hati serta merehatkan minda ialah nyanyian. Hal ini diharuskan oleh Islam selagi tidak dicampuri lirik-lirik kotor atau seni kata dan nada muzik yang melalaikan serta membangkitkan nafsu. Islam mengharuskan hiburan yang positif pada hari raya, perkahwinan, aqiqah dan waktu lahirnya seorang bayi. Daripada Aisyah r.a bahawa ketika dia menghantar pengantin perempuan ke tempat lelaki Ansar, maka nabi bertanya: “Hai Aisyah! Apakah mereka ini tidak disertai dengan suatu hiburan? Sesungguhnya orang-orang Ansar gemar sekali terhadap hiburan”.


No comments:

Post a Comment