“Maka neraka wail (atau kecelakaan besarlah) bagi orang-orang ahli sembahyang.
(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.
(Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riyak (bangga diri dalam ibadat dan
bawaannya). Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pun pertolongan (kepada
orang yang berhak mendapatnya).” [Surah al-Maa‘uun:
ayat 4– 7]
Manakala di dalam hadis pula ada yang
telah pun disebut sebelum ini di dalam perbincangan tentang syirik; kerana
riyak itu sendiri adalah syirik yang tersembunyi.
Ketahuilah
wahai kaum muslimin, sesungguhnya riyak berasal daripada perkataan rukyah
(penglihatan), kerana seseorang yang riyak sebenarnya ingin memperlihatkan
kepada orang lain apa yang boleh memancing kedudukan di sisi mereka. Dengan
cara itu, dia pun dapat memenuhi habuan nafsunya daripada amalan tersebut di
dunia ini.
Riyak mempunyai banyak jenis dan
pelbagai rupa. Keburukan-keburukannya juga sangat bahaya. Paling membahayakan
sekali ialah ia akan menggugurkan pahala sesuatu amalan, dan ini adalah jelas
berdasarkan nas al-Quran dan hadis.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
Maksudnya:
“…Seperti (rosaknya pahala amal sedekah bagi) orang yang membelanjakan hartanya
kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riyak), dan dia pula tidak
beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti
batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat,
lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga
halnya orang-orang yang kafir dan riyak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu
(pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan
memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.
[Surah al-Baqarah: ayat 264]
Sabda Nabi s.a.w:
إِنَّ أَخْوَفَ
مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ : الرِّيَاءُ ، يَقُوْلُ اللهُ
يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جَزَى النَّاسَ بِأَعْمَالِهِمْ : اِذْهَبُوْا إِلَى
الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاؤُوْنَ فِي الدُّنْيَا ؛ فَانْظُرُوْا هَلْ تَجِدُونَ
عِنْدَهُمْ جَزَاءً ؟
Maksudnya:
“Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik yang
kecil iaitu riyak. Allah menyeru pada hari kiamat apabila semua manusia dibalas
berdasarkan amalan mereka: Pergilah kamu kepada orang-orang yang kamu mahu
menunjuk-nunjuk kepada mereka itu di dunia; maka tunggu dan lihatlah, adakah
kamu dapati balasan daripada mereka?” [HR
Ahmad dan al-Baghawi: Sahih menurut syarat Imam Muslim]
Sabda baginda s.a.w lagi:
أَلَا
أُخْبِرُكُمْ بِمَا هُوَ أَخْوَفُ عَلَيْكُمْ عِنْدِيْ مِنَ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
؛ اَلشِّرْكُ الْخَفِيُّ ؛ أَنْ يَقُوْمَ الرَّجُلُ فَيُصَلِّي ، فَيُزَيِّنُ
صَلَاتَهُ لِمَا يَرَى مِنْ نَظَرِ رَجُلٍ .
Maksudnya:
“Mahukah kamu sekiranya aku khabarkan kepada kamu tentang apa yang aku takuti
menimpa kamu, lebih daripada al-Masih al-Dajjal? (Itulah) syirik yang
tersembunyi: bila mana seseseorang (lelaki atau perempuan) bangun mengerjakan
solat; lalu dia pun memperelokkan solatnya
kerana dia mendapati ada orang yang melihatnya.” [HR Ibnu Majah: Hasan]
Oleh itu berhati-hatilah wahai
saudaraku daripada riyak; kerana ia adalah seburuk-buruk bala yang boleh
mencabut segala amalan dari akar umbinya dan menjadikannya hilang bak debu yang
berterbangan.
Dan
ketahuilah juga bahawa orang yang riyak adalah orang yang paling awal
dinyalakan kepadanya api neraka; kerana mereka telah pun mengecapi nikmatnya
kesan amalan mereka sewaktu kehidupan mereka di dunia.
Hindarkanlah diri anda daripada
bahana riyak sebagaimana anda melarikan diri daripada singa yang ganas; kerana
riyak dan syahwat yang tersembunyi ini tidak berjaya ditepis kejahatannya oleh
ramai ilmuwan yang hebat; maka apatah lagi bagi insan-insan yang biasa seperti
kita!
Sememangnya
penyakit riyak telah banyak diujikan ke atas para ulama dan para ‘abid yang
sungguh-sungguh beramal untuk mencari jalan ke akhirat; kerana golongan
tersebut apabila telah memaksa diri mereka untuk melakukan ketaatan, dan
menahan nafsu mereka daripada memenuhi runtunan syahwat, nafsu mereka menjadi
tidak lagi berminat untuk melakukan maksiat zahir yang dikerjakan oleh anggota
tubuh badan. Disebabkan keadaan itu, nafsu mereka menjadi cenderung pula untuk
tampil sebagai seorang yang berilmu, yang beramal, yang boleh memimpin sesuatu
majlis dan mahu orang lain melihat kepada mereka dengan pandangan hormat dan
hebat. Dengan itu dia pun dibuai oleh suatu perasaan indah yang sungguh
mengasyikkan sehingga membuatkan dia memperkecilkan usaha untuk meninggalkan
dosa maksiat.
Ada juga
di kalangan mereka yang menyangka dirinya tergolong dalam kalangan hamba-hamba
Allah yang ikhlas, sedangkan dia sebenarnya telah termaktub di dalam senarai
orang-orang yang munafik. Inilah dia satu tipu daya yang tidak terselamat
daripadanya sesiapapun melainkan golongan muqarrabin, iaitu orang yang
mendekatkan diri kepada Allah Taala!
Ada penyair yang mengatakan:
وَخَالِفِ
النَّفْسَ وَالشَّيْطَانَ وَاعْصِهِمَا
وَإِنْ هُمَا مَحَضَاكَ النُّصْحَ فَاتَّهِمْ
Maksudnya:
“Tentangilah nafsu dan syaitan serta derhakalah terhadap keduanya.
Walau
pun zahirnya mereka menasihatimu, namun raguilah mereka!”
Ya Allah
Tuhan
sekalian langit dan bumi,
sucikanlah
hati-hati kami daripada nifaq,
dan sucikanlah
amalan-amalan kami daripada riyak;
serta
teguhkanlah kami di atas jalan-Mu yang lurus
sehingga
maut datang menjemput kami.
Sumber asal daripada buku 20 Perosak Pahala
Oleh: As-Syeikh Salim bin 'Eid al-Hilali
No comments:
Post a Comment