Tuesday, July 23, 2013

INSTITUSI KEKELUARGAAN ISLAM


1.0  Pendahuluan

Pembentukan institusi kekeluargaan adalah hasil daripada proses perkahwinan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, kemudian terhasil daripada kedua-duanya anak cucu sehingga membentuk sesebuah masyarakat. Kestabilan institusi kekeluargaan bergantung kepada kebijaksanaan suami isteri mengurus rumah tangga. Amalan kerjasama antara mereka berdua dan toleransi menjadi tonggak keharmonian rumahtangga.
Untuk membentuk keperibadian yang mulia bagi suami isteri, mereka perlu memahami dan menghayati ajaran Islam yang merangkumi tiga aspek iaitu akidah, syariah dan akhlak. Ketiga-tiga asas inilah yang akan membentuk mereka menjadi insan yang mempunyai pegangan hidup serta tindakan yang selaras dengan kehendak Islam.
Dalam sesebuah rumah tangga, suami isteri mempunyai peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara kerjasama dan bertolak ansur agar segala tanggungjawab yang sukar dan berat dapat dilaksanakan dengan mudah dan berkesan. Institusi keluarga yang baik bergantung juga kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengannya.

2.0  Definisi Keluarga

Perkataan keluarga dalam bahasa Arab disebut sebagai al-usrah. Namun ia tidak dinyatakan secara langsung di dalam al-Quran. Keluarga boleh disifatkan sebagai satu kelompok khusus yang mengandungi ahli-ahli yang mempunyai hubungan darah antara sesama mereka. Keluarga juga dikaitkan dengan hubungan perkahwinan.
Istilah keluarga nuklear digunakan bagi sesebuah keluarga yang terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak. Manakala istilah keluarga luas pula terdiri daripada beberapa buah keluarga nuklear.

3.0  Galakan Berkeluarga

Galakan berkeluarga bermaksud dorongan berkeluarga iaitu dari pasangan suami isteri, maka terbentuk anak pinak seterusnya satu organisasi yang besar. Ini dapat dilihat melalui firman Allah di dalam surah an-Nisa’ ayat 1 yang bermaksud:
Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripadanya (Adam) pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai; dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.
Di dalam Surah ar-Rum ayat 30 pula Allah berfirman yang bermaksud:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir.
Dengan membina sebuah keluarga, setiap anggotanya dilatih untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing sedari awal sebelum keluar memikul tanggungjawab di dalam masyarakat yang lebih besar.
Malah sesebuah keluarga yang harmoni dan terlaksana di dalamnya cara hidup Islam akan turut menyumbangkan kebaikan dan keharmonian kepada masyarakat.

4.0  Peranan Dan Tanggungjawab Suami Terhadap Isteri

4.1  Memberi mas kahwin
Pemberian mas kahwin adalah tanggungjawab pertama seorang suami terhadap isteri.

4.2  Memberi nafkah
Pemberian nafkah sama ada zahir atau batin adalah menjadi tanggungjawab suami. Nafkah zahir bermaksud menyediakan keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal kepada isteri. Pemberian nafkah ini hendaklah berdasarkan kemampuan suami itu sendiri.

4.3  Memberi layanan yang baik dan saling menyayangi
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Sebaik-baik orang antara kamu ialah orang yang berbuat baik kepada keluarganya dan aku adalah sebaik-baik orang terhadap keluargaku.
4.4  Memberi pendidikan
Tanggungjawab ini sebenarnya amat berat kepada seorang suami. Ini kerana suami sepatutnya mendidik isteri sehingga mencapai tahap yang boleh menjauhkan isteri dan ahli keluarganya daripada azab dan seksa neraka.

5.0  Peranan dan Tanggungjawab Isteri terhadap Suami

5.1  Taat kepada suami
Kepatuhan isteri kepada suami merupakan asas kebahagiaan rumahtangga kerana ia merupakan tuntutan syarak sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

“Kalaulah aku boleh perintahkan seseorang supaya sujud kepada seseorang, nescaya pasti aku perintahkan seseorang isteri sujud kepada suaminya.”
Walau bagaimanapun perintah ketaatan kepada suami hanyalah pada perkara yang tidak bercanggah dengan syarak. Jika bercanggah, isteri tidak wajib mematuhi walaupun dipaksa. Ini jelas dalam sebuah hadis yang berbunyi:

“Tidak boleh mentaati seseorang dalam melakukan maksiat terhadap  Allah. Sungguh ketaatan itu hanyalah wajib dalam melakukan kebaikan.” 
5.2  Menjaga harta suami dan maruah diri
Isteri wajib bertanggungjawab ke atas harta suami sama ada dia berharta atau tidak, dan wajib menjaga maruah diri semasa ketiadaan suami.


6.0  Hak Bersama Antara Suami Isteri

6.1  Memberi kasih sayang
Perasaan kasih sayang hendaklah dipupuk dari awal hingga ke akhir perkahwinan. Ia merupakan faktor utama dalam mewujudkan persekitaran yang segar malah perlu ditunjukkan melalui tutur kata, perlakuan, sentuhan, belaian dan sebagainya.
6.2  Menjaga amanah
Amanah antara suami isteri ialah sikap saling menjaga dan memelihara perkara-perkara yang wajib dijaga seperti harta benda, rahsia rumahtangga dan kehormatan diri.
6.3  Mewujudkan pergaulan yang baik
Pergaulan yang baik antara suami isteri menjadi asas pembentukan keluarga bahagia. Persekitaran yang baik ini menyuburkan kebahagiaan dan mewujudkan perasaan kekitaan antara suami isteri.
6.4  Melaksanakan hubungan kelamin
Hubungan kelamin suami isteri merupakan pengubat rindu pasangan sebelum berkahwin. Selepas akad nikah segala yang haram sebelumnya dihalalkan. Hubungan intim ini dikira sedekah dan mendapat pahala di sisi  Allah Taala. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 187:

Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian mereka.
6.5  Menghormati persemendaan
Dalam perkahwinan, hubungan persemendaan yang baik menjamin kebahagiaan suami isteri. Setiap pasangan perlu memahami dan menghormati keluarga pasangannya kerana apabila seseorang itu berkahwin mereka bukan sekadar menjalin hubungan dengan pasangan sahaja bahkan perlu menjalin hubungan baik dengan keluarga kedua belah pihak.
6.6  Saling memahami di antara pasangan
Perkahwinan menggabungkan personaliti yang berbeza dari dua buah keluarga yang belum dikenali atau tiada hubungan kekeluargaan yang terdekat. Sebagai manusia biasa sudah tentu akan timbul perkara-perkara baru yang ada perbezaan antara keduanya. Setiap seorang akan ada keistimewaan dan kekurangan, jadi hendaklah mereka cuba memahami dan mengenali kelebihan dan kekurangan mereka agar pasangan tersebut dapat melahirkan institusi keluarga yang bahagia.
6.7  Mengawal perasaan cemburu
Cemburu boleh dikategorikan kepada dua, sama ada atas dasar keimanan atau nafsu. Cemburu adalah fitrah manusia, maka pasangan suami isteri patut mengelakkan perasaan cemburu atas dasar nafsu kerana ia akan membawa porak-peranda dan pra sangka buruk yang akan merosakkan rumah tangga. Keharmonian rumah tangga perlu dijaga di awal perkahwinan sehinggalah ke akhir perkahwinan.
6.8  Mempamerkan keterampilan yang baik
Keterampilan yang baik mewujudkan hubungan bahagia pasangan suami isteri. Ia merangkumi aspek perhiasan diri yang menarik, kemas, bersih dan sebagainya. Dalam hal ini juga hubungan komunikasi juga faktor terpenting dalam mempamerkan keterampilan yang baik.
6.9  Bertimbang rasa
Pasangan suami isteri hendaklah saling bertimbang rasa dengan memahami kelemahan masing-masing dan sentiasa memaafkan. Dengan sikap timbang rasa yang tinggi, pasangan suami isteri akan mampu untuk saling melengkapi antara satu sama lain demi mencapai keharmonian institusi keluarga yang diredai oleh Allah Taala.

7.0  Peranan dan Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa

Ketaatan dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah menjadi tanggungjawab anak sama ada ibu bapa mereka masih hidup atau mati. Mereka dilarang sama sekali menderhakai ibu bapa kerana ianya termasuk dosa besar. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud:
“Tuhan kamu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan hanya kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sampai umur tua dalam jagaanmu, maka janganlah kamu berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan jangan kamu menengking mereka tetapi katakanlah perkataan yang mulia (bersopan santun).”
Antara tanggungjawab anak terhadap ibu bapa boleh dibahagikan kepada dua keadaan iaitu:
7.1  Semasa Hidup
a-      Berbuat baik dan sentiasa mendoakan
Islam menyuruh anak-anak berbakti kepada kedua ibu bapa serta sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka. Oleh kerana terlalu banyak pengorbanan mereka yang menanggung perit maung sejak usia dalam kandungan sehingga ke peringkat dewasa, maka anak-anak patut selalu mendoakan kesejahteraan mereka sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
b-     Memberi kasih sayang
Ibu bapa merasa amat bertuah apabila diri mereka disayangi lebih-lebih lagi ketika usia sudah lanjut kerana mendapat perhatian daripada anak-anak sebagaimana ketika mereka mendidik anak-anak ketika kecil.  Anak-anak patut memberi kasih sayang sama ada melalui kata-kata yang boleh menyejuk hati dan melapangkan dada mereka atau tindakan yang baik seperti mendapatkan rawatan untuk ibu bapa, menjaga dan membantu kerja-kerja mereka. Ini dapat dilihat dalam firman Allah dalam surah Luqman ayat 15 yang bermaksud:
“Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

c-      Pengorbanan harta benda dan masa
Anak-anak patut mengetahui bahawa harta mereka adalah harta milik ibu bapa mereka juga kerana lahirnya mereka adalah kerana ibu bapa mereka. Oleh itu anak-anak perlu membiayai keperluan ibu bapa serta sanggup mengorbankan harta benda untuk memberi penjagaan yang terbaik kepada ibu bapa. Selain  mengorbankan harta benda, mereka juga hendaklah memperuntukkan masa untuk ibu bapa mereka bagi menjenguk, bertanya khabar, menziarahi, menjaga ketika sakit dan menggembirakan mereka ketika berdukacita.
Dalam satu riwayat, Rasulullah s.a.w pernah bersabda mengenai seorang lelaki berjumpa baginda bertanya tentang hajat bapanya terhadap hartanya lalu baginda bersabda yang bermaksud:

“Kamu dan harta kamu adalah untuk bapa kamu. Sesungguhnya anak-anak kamu sebahagian daripada sebaik-baik hasil usaha kamu dan makanlah daripada hasil usaha anak-anak kamu.”
7.2  Setelah Mati
a-     Mendoakan ibu bapa
Tanggungjawab anak-anak tidak terhenti ketika mereka hidup sahaja bahkan mereka masih bertanggungjawab selepas kematian ibu bapa mereka. Antaranya memohon limpahan rahmat dan keampunan kepada mereka berdua. Rasulullah s.a.w  pernah bersabda yang bermaksud:

“Apabila mati seseorang anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak yang soleh yang mendoakan kesejahteraan mereka.” 
b-     Menjelaskan hutang piutang
Adalah menjadi tanggungjawab anak-anak menjelaskan hutang piutang ibu bapa mereka yang meninggal dunia dan sebaik-baiknya dengan segera.

c-      Mengqadakan puasa yang ditinggalkan
Anak-anak juga dipertanggungjawabkan mengqada puasa dan begitu juga membayar fidyah ibu bapa mereka sama ada mereka meninggalkannya secara sengaja atau kerana sakit dan sebagainya. Ini ditegaskan di dalam sebuah hadis yang berikut:

“Daripada Ibnu Abbas r.a: Seorang wanita datang berjumpa Rasulullah lalu bertanya: “Ibuku telah meninggal dunia dan dia meninggalkan sebulan puasa.” Maka Rasulullah bersabda: “Apa pendapatmu jika ibumu mempunyai hutang (kepada seseorang), apakah kamu akan menjelaskannya?” Jawab wanita itu: “Ya.” Rasulullah s.a.w bersabda: “Maka hutang kepada Allah lebih berhak ditunaikan.”
d-     Menziarahi kubur
Anak-anak digalakkan untuk dipupuk semangat menziarahi kubur, kerana tiada amalan baik selepas mati kecuali meninggalkan anak yang soleh yang akan menziarahi dan mendoakan kebaikan untuk ibubapa mereka yang telah meninggal dunia. Amalan yang patut dilakukan ketika menziarahi kubur ialah seperti membaca al-Quran, berdoa, berzikir dan membersihkan kubur. Ini dapat diambil iktibar dari hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

“Rasulullah s.a.w telah menziarahi kubur ibunya, baginda menangis lalu sahabat-sahabat pun menangis di sekelilingnya. Baginda bersabda:  Aku memohon kepada Allah agar Dia mengampuni dosa ibuku, tetapi tidak dibenarkan. Lalu aku memohon untuk menziarahi kuburnya lalu dibenarkan. Maka  Rasulullah bersabda: kamu ziarahilah kubur, kerana  dengan menziarahi kubur dapat mengingatkanmu kamu akan kematian.” 
e-     Menyambung silaturrahim keluarga dan sahabat handai kedua-dua ibu bapa
Hubungan silaturahim ibu bapa ketika hidup patut diteruskan setelah kematian mereka. Adalah menjadi tanggungjawab anak-anak meneruskan hubungan tersebut sama ada ziarah-menziarahi, bertegur sapa, bertanya khabar, hormat menghormati dan membantu mereka ketika susah. Dalam satu riwayat, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Kenalilah siapa keturunan kamu kerana dengannya akan menghubungkan pertalian silaturrahim. Sesungguhnya silaturrahim akan mewarisi kasih sayang di kalangan ahli keluarga.”

8.0  Kesimpulan

Institusi kekeluargaan bukan sahaja menjadi unit asas yang membentuk masyarakat Islam. Tetapi ia juga berperanan untuk membawa penyelesaian yang praktikal kepada beberapa permasalahan yang berlaku di dalam masyarakat melalui kaedah-kaedah yang terdapat dalam Islam.

2 comments:

  1. cantek blog nii ..macamna nak buat blog secantek ni????

    ReplyDelete