Friday, July 19, 2013

JENIS-JENIS MAQASID DALAM ILMU MAQASID


Terdapat pelbagai jenis maqasid jika dilihat dari sudut-sudut yang berlainan. Maqasid-maqasid tersebut adalah seperti berikut:-

i-                    Jika dilihat dari sudut tuan punya maqasid, maka maqasid terbahagi kepada dua, iaitu Maqasid Syariah dan maqasid mukallaf.

ii-                  Jika dilihat dari sudut maudhu’ (perkara yang dibincangkan), maqasid terbahagi kepada dua. Pertama, maslahah, iaitu maqasid untuk menghasilkan maslahah. Kedua, mafsadah, iaitu maqasid untuk menolak mafsadah.

iii-                Jika dilihat dari sudut umum dan khusus, maka ia boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu:
a-      Maqasid Am; iaitu Maqasid Syariah untuk menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan juga harta.
b-      Maqasid Khas; iaitu tujuan yang dapat dilihat daripada pensyariatan juzuk-juzuk syariah. Contohnya, Maqasid Syariah dalam mensyariatkan gadaian ialah untuk menjadi “tauthiq” (memberikan kepercayaan kepada si pemberi hutang). Maqasid Syariah dalam mensyariatkan jual beli (dengan segala jenis jual beli yang disyariatkan) adalah untuk memenuhi hajat keperluan manusia. Maqasid Syariah dalam mensyariatkan sedekah ialah untuk menolong orang-orang yang berhajat.
c-      Maqasid Juz’iy; iaitu Maqasid Syariah dalam setiap hukum daripada hukum-hakam yang disyariatkan. Contohnya, syariah mengharamkan meminang tunang orang lain dengan tujuan mengelakkan permusuhan. Maqasid Syariah melarang (makruh) makan bawang ialah untuk menjauhkan daripada baunya yang kurang elok, dan Maqasid Syariah mengharuskan bagi penjual untuk mengambil harga yang lebih tinggi dalam jualan ansuran berbanding jualan biasa ialah untuk menjaga kepentingan penjual tersebut.

iv-                Maqasid jika dilihat dari sudut yakin dan jelas atau sebaliknya, terbahagi kepada dua bahagian, iaitu maqasid qat’iy (penuh keyakinan) dan maqasid zanniy (jelas).
a-      Maqasid Qat’iy ialah maqasid yang memang jelas dan yakin dengan sepenuh keyakinan dan tanpa sebarang syak dan keraguan. Contohnya ialah, maqasid atau hikmah daripada pensyariatan Islam ialah untuk memberikan maslahah kepada manusia dan menolak mafsadah. Begitu juga Islam datang untuk menegakkan keadilan, menolak kezaliman dan penindasan. Jadi, dapat disimpulkan bahawa rangka-rangka asas Islam yang tidak berubah dan tidak akan berubah ialah tujuan yang qat’iy, yakin dan tiada sebarang syak. Keseluruhan tujuan atau hikmah yang yakin dan jelas ini merujuk kepada Maqasid Syariah dalam menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Menjaga kelima-lima asas ini adalah maqasid qat’iy dalam syariat Islam kerana ia membawa kepada maqasid asal pensyariatan Islam iaitu menghasilkan maslahah dan menolak mafsadah.
b-      Maqasid Zanniy pula ialah maqasid yang sudah pun jelas, tetapi tidaklah sampai kepada tahap maqasid qat’iy tadi. Ini kerana maqasid ini bukanlah sebahagian daripada rangka-rangka asas Islam, tetapi ia merupakan alat untuk menjaga rangka-rangka asas Islam tadi Maqasid Zanniy ia mungkin boleh berubah, kerana alat yang digunakan untuk sesuatu tujuan, sekalipun ia diperlukan untuk menghasilkan tujuan tersebut, tetapi ia tetap bukan tujuan yang kerananya digunakan alat tersebut kerana ia merupakan ijtihad para ulama.

No comments:

Post a Comment