1.0 Pendahuluan
Bab ini
membincangkan seni dan manifestasi budaya dalam Islam. Ia meliputi falsafah,
konsep dan prinsip seni serta bidang kesenian dan kebudayaan Islam. Antara
bidang yang disentuh dalam bab ini ialah seni bina dan reka bentuk bangunan,
kaligrafi, seni persembahan, seni kesusasteraan dan persuratan.
2.0 Falsafah, Konsep dan Prinsip Seni dan Budaya Dalam Islam
2.1 Falsafah Seni
Maksud Seni
Seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak,
dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan
melalui kata-kata dan bahasa. Sukar untuk mentakrifkan seni secara tepat
sesukar untuk menerangkan konsep keindahan dan kesenangan itu sendiri.
Al-Farabi menjelaskan seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan. Al-Ghazali
pula menjelaskan seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan rasa jiwa
manusia yang sesuai dengan fitrahnya.
Mengikut kebudayaan Barat, seni sebenarnya
tiada hubungan dengan agama. Ini adalah disebabkan oleh dasar sekularisme yang
mengasingkan agama daripada urusan kehidupan duniawi. Walau bagaimanapun seni
masih dianggap sebagai sesuatu yang ideal dan berkaitan dengan moral. Seni
boleh dibahagikan kepada dua tujuan iaitu seni untuk seni dan seni untuk masyarakat.
Seni untuk seni adalah bertujuan untuk seni sahaja dan orang mencipta seni ini
dibebaskan untuk apa-apa tujuan sama ada mengandungi unsur baik atau jahat.
Manakala seni untuk masyarakat pula
menyatakan bahawa seni dicipta untuk sesuatu tujuan maka ianya mestilah
difahami oleh masyarakat yang digunakan untuk kemasyarakatan, politik dan
akhlak.
Eugene Johnson dalam 'The Encyclopedia
Americana' menjelaskan seni (art) sebagai kemahiran, misalnya seni pertukangan
yang membawa erti kemahiran pertukangan. Dari segi istilah ilmu berkebudayaan,
ia membawa erti sebagai segala sesuatu yang indah. Keindahan yang dapat
menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan atau
sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas dan sebagainya.
Drs. Sidi
Gazalba dalam bukunya 'Pandangan Islam Tentang Kesenian' menjelaskan bahawa
kesenian adalah sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu
kelompok manusia kerana setiap kelompok masyarakat mempunyai fitrah semulajadi
yang cinta kepada seni yang menyenangkan hati melalui pancaindera yang lima.
Justeru itu, manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cinta kepada sesuatu
yang selamat, memuaskan dan memberi kepuasan melalui pancaindera. Seni secara
ringkasnya dapat dibahagikan kepada empat bahagian utama:
•
Seni melalui
pendengaran seperti muzik, deklamasi puisi, prosa, senia suara dan sebagainya.
•
Seni yang
diperolehi melalui penglihatan mata seperti seni lukis, seni hias, seni bina,
seni pakaian dan sebagainya.
•
Seni yang dapat
diperolehi melalui pendengaran dan penglihatan seperti drama, tablo, teater,
filem dan sebagainya.
•
Seni yang
dinikmati melalui pembacaan seperti hasil karya sastera yang berbentuk puisi
dan prosa.
2.2 Konsep Seni Menurut Perspektif Islam
Seni Islam
merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam dan perbezaan antara seni Islam
dengan bukan Islam ialah dari segi niat atau tujuan dan nilai akhlak yang
terkandung dalam hasil seni Islam. Pencapaian yang dibuat oleh seni Islam itu
juga merupakan sumbangan daripada tamadun Islam, di mana tujuan seni Islam ini
adalah kerana Allah SWT. Walaupun seni merupakan salah satu unsur yang
disumbangkan tetapi Allah melarang penciptaan seni yang melampaui batas. Firman
Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui
batas."
Keindahan
merupakan salah satu ciri keagungan, kebesaran dan kesempurnaan Allah SWT, lantas segala yang diciptakan-Nya juga
merupakan pancaran keindahan-Nya. Manusia dijadikan sebagai makhluk yang paling
indah dan paling sempurna. Bumi yang merupakan tempat manusia itu ditempatkan
juga dihiasi dengan segala keindahan. Allah SWT
bukan sekadar menjadikan manusia sebagai makhluk yang terindah tetapi
juga mempunyai naluri yang cintakan keindahan. Di sinilah letaknya keistimewaan
manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain sama ada malaikat, jin dan
haiwan.
Konsep kesenian
dan kebudayaan dalam Islam berbeza dengan peradaban Islam yang lain. Dalam
pembangunan seni, kerangka dasarnya mestilah menyeluruh dan meliputi aspek-aspek
akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan manusia. Seni mestilah
merupakan satu proses pendidikan yang bersifat positif mengikut kaca mata
Islam, menggerakkan semangat, memimpin batin dan membangunkan akhlak. Maksudnya
seni mestilah bersifat “Al-Amar bil Ma'ruf dan An-Nahy ‘anil Munkar” (menyuruh
berbuat baik dan mencegah kemungkaran) serta membangunkan akhlak masyarakat,
bukan membawa kemungkaran dan juga bukan sebagai perosak akhlak ummah. Semua
aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan kepada tujuan terakhir (keredhaan
Allah dan ketaqwaan). Semua nilai mestilah ditundukkan dalam hubungan dengan
Allah serta kesanggupan untuk berserah diri kepada-Nya. Seni juga seharusnya
menjadi alat untuk meningkatkan ketaqwaan.
1.3 Prinsip-prinsip Kesenian Islam
i-
Mengangkat
martabat insan dengan tidak meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan dan
nilai-nilai persekitaran dan sejagat. Alam sekitar sebagai galerinya, manakala
manusia pula menjadi seniman yang menggarap segala unsur kesenian untuk tunduk
serta patuh kepada Allah.
ii-
Mementingkan
persoalan akhlak dan kebenaran yang menyentuh aspek-aspek estetika,
kemanusiaan, moral dan lain-lain lagi.
iii-
Kesenian Islam
menghubungkan keindahan sebagai nilai yang tergantung kepada keseluruhan
kesahihan Islam itu sendiri. Menurut Islam, kesenian yang mempunyai nilai
tertinggi ialah yang mendorong ke arah ketaqwaan, kema'rufan, kesahihan dan
budi yang mantap.
iv-
Kesenian Islam
terpancar daripada wahyu Allah, sama seperti undang-undang Allah dan Syariat-Nya.
Maknanya ia harus berada di bawah lingkungan dan peraturan wahyu. Ini yang
membezakan kesenian Islam dengan kesenian bukan Islam.
v-
Kesenian Islam
menghubungkan manusia dengan Tuhan, alam sekitar dan sesama manusia dan juga
makhluk.
3.0 Hukum-hukum Dalam
Kesenian Islam
Islam tidak
pernah menolak kesenian selama mana kesenian itu bersifat seni untuk masyarakat
dan bukannya seni untuk seni.
Seni juga boleh
melibatkan kelima-lima hukum jika diperincikan. Antaranya:
(a) Wajib: Jika kesenian itu amat diperlukan oleh muslim
yang mana tanpanya boleh jatuh mudarat.
(b)
Sunat: Jika kesenian itu diperlukan untuk membantu dan menaikkan semangat
penyatuan umat Islam.
(c)
Makruh: Jika kesenian itu membawa unsur yang sia-sia (lagha) seperti karya seni
yang tidak diperlukan oleh manusia.
(d) Haram:
Jika kesenian itu mengandungi salah satu daripada unsur-unsur berikut:
• Melekakan
manusia sehingga mengabaikan ibadat fardhu ain dan fardu kifayah.
•
Memberi khayalan kepada manusia sehingga tidak dapat membezakan antara yang hak
(betul) dan yang batil (salah).
• Dicampuri
dengan benda-benda haram seperti arak, judi, dadah dan pelbagai kemaksiatan
yang lain.
• Ada
percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti pergaulan
bebas tanpa batas dalam bentuk bersuka-suka yang melampau.
• Objek atau arca dalam bentuk ukiran yang
menyerupai patung sama ada diperbuat daripada kayu, batu dan lain-lain.
• Seni
yang merosakkan akhlak dan memudaratkan individu atau yang berbentuk tidak
bermoral seperti tarian terkini (kontemporari).
• Jenis-jenis
seni yang dipertontonkan bagi maksud atau niat yang menunjuk-nunjuk dan
kesombongan.
(e) Harus:
Apa sahaja bentuk seni yang tidak melibatkan sesuatu yang haram dan makruh.
4.0 Matlamat Kesenian Islam
Dalam Islam,
seni tidak bermatlamatkan hiburan, tujuan keduniaan ataupun keseronokan
semata-mata. Islam telah menggariskan kesenian sesuai mengikut naluri dan
fitrah semulajadi manusia. Sewajarnyalah juga manusia mengemudi seni mengikut
fitrah manusia yang sedia ada berbekalkan sempadan syariah demi kesejahteraan
jiwa dan dunia manusia. Bahkan sekiranya betul pembawaan seni itu, ia dikira
ibadah pula. Alangkah ruginya manusia muslim yang tidak tahu bagaimana untuk
membawa kecenderungan makhluk sejenisnya ke arah ketaqwaan kepada Allah S.W.T.
Seni Islam dibentuk untuk melahirkan insan yang berjiwa halus, berakhlak dan
beradab.
Konsep seni
Islam dan pembawaannya haruslah menjurus ke arah konsep tauhid dan pengabdian
diri kepada Allah S.W.T. Motif berseni haruslah bermatlamatkan perkara-perkara
ma'ruf, mencegah kemungkaran, halal dan berakhlak.
Jiwa seni
mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa
dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrah yang dikurniakan oleh Allah
S.W.T.
Fungsi seni
tidak kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan antara alam,
ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Serentak dengan itu ia menyedari
keagungan Tuhan dan keunikan penciptaan-Nya.
Seni dalam
Islam menanam rasa khusyuk kepada Allah di samping memberi ketenangan jiwa manusia sebagai hamba Allah yang
diciptakan dengan fitrah yang gemar kepada kesenian dan keindahan. Oleh sebab
itu, seni menurut Islam adalah tidak berslogan “seni untuk seni” tetapi “seni
kerana Allah untuk manusia, makhluk dan alam sekitar”. Kesenian Islam terpancar
daripada tauhid yang merupakan satu penerimaan dan penyaksian terhadap keesaan
Allah S.W.T. Maka seni yang berpaksikan tauhid dapat menanamkan sifat bertaqwa
dan beriman. Hal ini juga telah meletakkan seni sebagai medium peningkatan daya
intelek dan bukan bermain dengan emosi semata-mata.
(bersambung..)
No comments:
Post a Comment