Menurut Syed Naquib Al-Attas pula, pandangan
semesta Islam merangkumi dunia dan akhirat, yang mana aspek dunia merupakan
persediaan bagi aspek akhirat. Oleh itu, pandangan semesta daripada perspektif
Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati
manusia mengenai kewujudan seluruh alam.
Konsep Pandangan Semesta ialah satu
konsep mengenai alam semesta secara keseluruhan, terutama dilihat melalui satu
sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai tertentu.
Pandangan semesta Islam pula melihat konsep alam
semesta secara keseluruhan dari pandangan akidah Islam iaitu tauhid.
Pandangan Semesta Islam yang menggambarkan
perkaitan antara Allah, manusia dan alam menurut kacamata Islam dapat
diringkaskan dalam sebagaimana di bawah:
Allah telah mencipta manusia dan alam semesta.
Peraturan-peraturan telah diturunkan oleh Allah kepada manusia dan alam untuk
dipatuhi.
Manusia diciptakan sebagai seorang
hamba dan juga seorang khalifah. Sebagai hamba Allah, manusia hendaklah memilih
jalan petunjuk. Sebagai khalifah pula, manusia hendaklah menguruskan alam
mengikut bimbingan Allah.
Manusia diciptakan oleh Allah daripada 2
unsur; jasmani & rohani. Secara dasarnya, unsur jasmani manusia telah
diciptakan oleh Allah SWT daripada tanah di bumi. Kenyataan tersebut
telah diakui oleh fakta-fakta saintifik yang turut membuktikan bahawa terdapat
persamaan unsur –unsur yang ada pada diri manusia dengan yang ada pada bumi.
Unsur rohani atau roh yang ada dalam diri
manusia pula membolehkan manusia melihat, mendengar, merasa, berfikir,
berkesedaran dan berperasaan. Oleh itu, segala tindakan jasmani seperti
bergerak, berfikir, bercakap dan merasa merupakan akibat langsung kepada
tindakan roh yang aktif dalam diri manusia.
Tanpa kehadiran roh dalam diri manusia, seseorang
individu tersebut tidak lagi dikatakan sebagai manusia, sebaliknya dikenali
sebagai mayat.
Manusia juga memiliki akal. Akal adalah daya
untuk memahami dan merasakan kebenaran yang bersifat mutlak dan kebenaran
relatif.
Manusia menggunakan akal untuk memahami
proses kehidupan yang dinamik, memahami dan meyakini Kitab Suci, memahami hukum
akhlak dan ibadah, dan meyakini ketibaan hari Akhirat dan Pembalasan. Dengan memahami
dan menikmati kebenaran akan menguatkan keimanan seseorang.
Melalui akal juga, manusia mampu untuk
menyusun dan membentuk kehidupan serta membina kebudayaan dan peradabannya.
Setiap manusia dilengkapi dengan fitrah. Fitrah
manusia adalah tunduk dan patuh kepada Allah sebagaimana yang telah diikrarkan
di alam roh. Fitrah manusia juga dilengkapi dengan kecenderungan melakukan
kerosakan dan juga bersifat taqwa kepada Allah.
Dalam al-Quran, manusia berulang kali
diangkat darjatnya dan berulang kali juga direndahkan darjatnya. Manusia
dinobatkan jauh mengungguli alam syurga, bumi dan malaikat, tapi pada waktu
yang sama mereka boleh disamakan dengan syaitan yang terkutuk dan binatang. Manusia
dihargai sebagai makhluk yang dapat menakluk dan mentadbir alam, tetapi boleh
juga ke tahap yang paling rendah. Oleh itu manusia sendiri yang harus
menentukan sikap dan menentukan nasib akhir mereka sendiri.
Rumusnya,
tugas utama seorang manusia ialah sebagai hamba Allah dan sebagai khalifah di
bumi. Manusia akan mampu melaksanakan tugas-tugas tersebut dengan menggunakan
segala kelengkapan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka.
Sebagai seorang khalifah di bumi manusia
perlu berperanan mewujudkan kemakmuran dan menegakkan nilai-nilai Ilahiyyah di
muka bumi. Dalam konteks ini, peranan manusia adalah sebagai hamba Allah dan khalifah yang mengurus kehidupan di muka bumi Allah.
Manusia perlu kreatif dalam melaksanakan
peranan mereka agar sentiasa seimbang. Ini dapat dilakukan dengan menyedari
bahawa tugas kekhalifahan secara langsung atau tidak langsung dapat
merealisasikan penghambaan diri manusia kepada Allah SWT. Perkara tersebut
dapat difahami lantaran hakikat dan tujuan hidup manusia adalah mengabdikan
diri kepada Allah SWT semata-mata.
Al-Quran Sebagai Tunjang Pandangan Semesta
Islam
Al-Quran merupakan tunjang dalam memahami kosmos atau
alam selain sebagai sebuah kitab petunjuk dan pencerahan. Fenomena alam yang
dicetuskan dalam al-Quran adalah untuk menarik manusia kepada Pencipta alam dan
mendorong manusia mendekatkan diri kepada-Nya.
Melalui visi al-Quran, fenomena alam
merupakan tanda-tanda Yang Maha Kuasa, dan pemahaman tentang alam adalah analog
dengan pemahaman tanda-tanda yang boleh membawa kita membongkar tentang
Kekuasaan Tuhan.
Lebih dari 750 ayat al-Quran yang
menceritakan tentang fenomena alam yang merupakan landasan untuk mempelajari
alam dari kaca mata Islam. Ayat-ayat yang berkaitan dengan kosmos ini dapat
dibahagikan kepada kategori berikut :
i.
Ayat-ayat yang berbentuk galakan kepada manusia untuk
mengkajinya secara kritis.
Maka
hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. (Al-Thariq: 5)
ii.
Ayat-ayat yang mencakupi masalah cara penciptaan
objek-objek material.
Dan Dia lah
yang menjadikan langit dan bumi dalam masa, sedang Arasy-Nya, berada di atas
air (ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu
Yang lebih baik amalnya. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (Wahai Muhammad)
berkata: "Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati"
tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: "Ini tidak lain, hanyalah
seperti sihir yang nyata (tipuannya)". (Huud: 7)
iii.
Ayat-ayat yang menyuruh manusia mempelajari fenomena
alam.
Allah jualah
yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah
menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendaki-Nya, dan
menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari
celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang
dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya, mereka serta merta bergembira. (Ar-Ruum: 48)
iv.
Ayat-ayat yang menyuruh manusia mengetahui bagaimana
alam ini wujud.
Tidakkah
mereka melihat dan memikirkan bagaimana Allah mencipta makhluk-makhluk pada
mulanya, kemudian ia akan mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya)?
Sesungguhnya yang demikian itu amatlah mudah bagi Allah. (Al-Ankabut: 19)
v.
Ayat-ayat yang menunjukkan Allah bersumpah dengan
objek alam.
Demi
matahari dan cahayanya yang terang-benderang; dan bulan apabila ia
mengiringinya; dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata; dan
malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap-gelita). Demi langit dan Yang
membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh - yang melambangkan kekuasaan-Nya);
serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhluk-Nya). (Al-Syams: 1-6)
vi.
Ayat-ayat yang merujuk kepada beberapa fenomena alam
dan adanya hari kebangkitan.
Wahai umat
manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk
(hidup semula pada hari Kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian
manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian
dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul
daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami
jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu
(kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang
mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan
lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu
dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di
antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang
dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi
akan sesuatu yang telah diketahui-Nya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); engkau
melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya,
bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur
membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah
permai. (Al-Hajj: 5)
vii.
Ayat-ayat yang menerangkan kelangsungan dan aturan
ciptaan Allah.
Dan engkau
melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak
cepat seperti bergeraknya awan; (Demikianlah) perbuatan Allah yang telah
membuat tiap - tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya
Ia amat mendalam pengetahuannya akan apa yang kamu lakukan. (Al-Naml: 88)
viii.
Ayat-ayat yang menjelaskan keharmonian kehidupan
manusia di alam ciptaan Allah dan ketundukan apa yang ada di langit dan bumi
kepada manusia.
Dia lah (Allah) Yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi,
kemudian Dia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu
dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Dia Maha Mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah: 29)
Tujuan Memahami Alam
Dalam konteks memahami alam, manusia tidak
boleh lupa bahawa al-Quran bukanlah teks yang hanya terhad kepada sains
eksperimen sahaja, bahkan ianya mencakupi :
a- Mempelajari fenomena alam serta keagungan
penciptaan Allah yang memperkuatkan keimanan kepada Allah.
b- Dengan kemurahan anugerah alam kepada
manusia, ianya lebih memberi peluang kepada manusia bersyukur kepada Allah.
Aspek ini telah diterokai dan dibuktikan
oleh para ilmuwan Islam terdahulu dalam kajian mereka terhadap alam kerana
ianya sangat dipengaruhi oleh cara komunikasi manusia dengan al-Quran. Para
ilmuwan Barat juga turut memperakui kebenaran al-Quran tentang alam kosmos yang
membolehkan manusia mengenali Tuhan mereka.
Memahami alam adalah sesuatu yang mungkin
berdasarkan saranan dan galakan ayat-ayat al-Quran untuk mengenali Allah Taala.
Ternyata alam boleh difahami melalui pancaindera yang external iaitu
pengamatan dan eksperimen yang dilakukan, melalui daya intelek yang tidak
dipesongkan dari mata rantai al-Quran dan Sunnah.
No comments:
Post a Comment