Monday, July 22, 2013

SIAPAKAH MAHRAM WANITA?

Bagi seorang wanita yang beriman, menyempurnakan kewajipan menutup aurat merupakan satu manifestasi pengabdian diri kepada Allah S.W.T yang mengandungi tujuan murni dalam membersihkan hati, mengharmonikan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan, sekali gus mengelakkan pelbagai bentuk kemudaratan, kerosakan dan implikasi sosial.

Antara suasana yang menjadi kebiasaan bagi kebanyakan wanita Islam ialah memakai tudung dan pakaian yang menutup aurat apabila ingin keluar dari rumah sahaja. Sedangkan sekiranya tetamu datang bertandang, mereka tidak merasakan satu keperluan untuk menutup aurat kerana masih berada di rumah sendiri. Ada pula yang hanya memakai tudung apabila keluar dari pagar rumah. Jika hanya keluar sebentar untuk menyidai kain, menyiram pokok bunga atau menyapu di halaman, kebanyakannya tidak merasakan bahawa suasana itu juga perlu kepada pakaian yang menutup aurat.
  
Acap kali juga kita mendengar komentar-komentar seperti “Sepupu saya ni sejak kecil lagi sudah rapat dan biasa sangat, macam adik-beradik”.. “Ini bukan orang lain pun, abang ipar sahaja”.. “Suami emak saudara kan macam bapa saudara juga”.. Dan pelbagai komentar lain lagi yang menunjukkan bahawa ramai muslimah yang dilihat sudah menutup aurat di tempat-tempat awam dan di tempat kerja, tetapi sebenarnya masih kurang jelas tentang status kerabatnya sendiri dari sudut mahram atau tidaknya mereka dan setakat mana batasan aurat dan pergaulan yang perlu dijaga.

Justeru itu, antara asas hukum yang wajib diketahui oleh semua muslimah ialah berkenaan persoalan mahram. Siapakah golongan yang menjadi mahram wanita dan siapakah pula yang tidak tergolong dari kalangan mahramnya? Persoalan ini amat penting kerana ia berkait dengan beberapa persoalan hukum yang lain seperti hukum perkahwinan, batasan aurat, pergaulan, hukum bermusafir, bersentuhan dan berdua-duaan. Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Janganlah seorang lelaki bersunyi-sunyian dengan seorang wanita melainkan bersamanya mahram. Tidak harus seorang wanita bermusafir lebih daripada tiga hari melainkan bersamanya suaminya atau ahli keluarga yang menjadi mahramnya.” H.R Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan An-Nasa’i.

Justeru itu, siapakah mahram bagi wanita?

Menurut istilah para fuqaha, mahram wanita ialah lelaki yang diharamkan untuk dikahwini buat selama-lamanya sama ada disebabkan ikatan nasab keturunan, ikatan perkahwinan ataupun ikatan penyusuan.

Oleh sebab golongan yang menjadi mahram wanita ini melibatkan kaum kerabat terdekat, maka nas al-Quran dan al-Sunnah telah memperincikan tentang golongan yang dikatakan mahram, kerana bukan semua yang dianggap sebagai kaum kerabat terdekat bagi wanita adalah mahramnya.

Dalil utama yang menyenaraikan secara khusus golongan yang dikatakan mahram ialah ayat 23 daripada Surah al-Nisa’ yang bermaksud: “Diharamkan kepada kamu (wahai kaum lelaki) berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, saudara-saudara perempuan kamu, saudara-saudara perempuan bapa kamu, saudara-saudara perempuan ibu kamu, anak-anak perempuan dari saudara kamu yang lelaki, anak-anak perempuan dari saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, saudara-saudara perempuan sepersusuan, ibu-ibu isteri kamu (ibu mertua), dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu mengahwini mereka. Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan (dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Selain daripada ayat al-Quran di atas, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Diharamkan (perkahwinan) kerana penyusuan sebagaimana diharamkan (perkahwinan) kerana nasab keturunan.” H.R Muslim.

Berpandukan dalil-dalil hukum yang utama tersebut, senarai golongan yang menjadi mahram bagi wanita dapat dibahagikan sebagaimana berikut:

  1.      Mahram wanita dengan sebab nasab keturunan:
   a.       Bapa dan datuk (bapa kepada bapa atau bapa kepada ibu) hingga ke atas
   b.      Anak lelaki dan cucu lelaki hingga ke bawah
   c.       Saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa dan saudara lelaki seibu
  d.  Anak lelaki kepada saudara lelaki dan anak lelaki kepada saudara perempuan  hingga ke bawah (anak saudara, cucu saudara, cicit saudara dan seterusnya)
   e.    Saudara lelaki kepada bapa dan saudara lelaki kepada ibu sehingga ke atas (bapa saudara, datuk saudara, moyang saudara dan seterusnya)

   2.      Mahram wanita dengan sebab perkahwinan:
   a.       Bapa mertua hingga ke atas
   b.      Bapa tiri iaitu suami baru kepada ibu
   c.       Datuk tiri iaitu suami baru kepada nenek sama ada sebelah bapa atau sebelah ibu
   d.      Menantu lelaki
   e.       Anak lelaki tiri hingga ke bawah daripada suami baru yang telah dikahwini oleh seseorang wanita

  3.      Mahram wanita dengan sebab penyusuan:
  a.       Bapa susuan dan datuk susuan (bapa kepada bapa susuan atau ibu susuan) hingga ke atas
  b.      Anak lelaki susuan hingga ke bawah
  c.       Saudara lelaki susuan
  d.      Anak lelaki kepada saudara lelaki susuan atau anak lelaki kepada saudara perempuan susuan
  e.       Saudara lelaki kepada bapa susuan dan saudara lelaki kepada ibu susuan hingga ke atas
  f.       Suami kepada anak susuan
  g.      Bapa susuan kepada suami

Senarai mahram wanita dengan sebab penyusuan ini disimpulkan daripada sabda Rasulullah s.a.w yang telah disebutkan tadi yang memberi maksud bahawa sebagaimana terdapat sebilangan lelaki yang dihukum sebagai mahram bagi seseorang wanita kerana nasab keturunan, demikian juga terdapat sebilangan lelaki lain yang dihukum sebagai mahram bagi seseorang wanita disebabkan penyusuan.

No comments:

Post a Comment