Monday, July 22, 2013

HUKUM WANITA KELUAR KE MASJID BAGI MENUNAIKAN SOLAT FARDHU

Para muslimah secara dasarnya tidak diwajibkan mahupun dituntut untuk mengerjakan solat fardhu secara berjemaah sebagaimana kaum lelaki. Walau bagaimanapun, para ulama berpendapat bahawa wanita juga akan digandakan pahala seandainya menunaikan solat secara berjemaah mengikut kaedah-kaedah, adab-adab dan syarat-syaratnya.
Ini adalah berdasarkan pemahaman umum daripada sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Solat secara berjemaah adalah lebih baik daripada solat secara berseorangan sebanyak 27 darjat." (Hadis Bukhari (no. 645) dan Muslim (no. 650)). Manakala di dalam riwayat yang lain pula menyebut, sebanyak 25 darjat.
Walaupun demikian, para ulama mazhab berbeza pandangan tentang hukum wanita keluar ke masjid bagi menunaikan solat fardhu secara berjemaah bersama kaum lelaki. Terdapat beberapa dalil yang diambil kira dalam menentukan hukumnya. Antaranya ialah:
  1. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Jangan kamu menghalang wanita-wanita kamu untuk menghadiri masjid. Namun rumah-rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka.” H.R Abu Daud (no. 565)
  2. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Izinkanlah bagi kaum wanita untuk ke masjid pada waktu malam.” H.R Abu Daud (no.568)
  3. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Solat seorang wanita di dalam rumahnya adalah lebih baik daripada solatnya di dalam kawasan kediamannya, dan solatnya di dalam biliknya adalah lebih baik daripada solatnya di dalam rumahnya.” H.R Abu Daud (no. 570)
Justeru itu, setelah menimbangkan beberapa buah hadith seperti di atas, jumhur ulama mengatakan bahawa hukum wanita keluar ke masjid semata-mata untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah adalah harus, bukannya sunat dan tidak juga mustahab (digalakkan). (Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, Jld. 1, hlm. 212) Hasil daripada itu, adalah tidak harus untuk mencela wanita yang tidak keluar untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid kerana jumhur ulama berpandangan adalah lebih afdhal bagi mereka untuk menunaikannya di rumah. (Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj fi Fiqh al-Syafi’iyyah, Jld 2, hlm. 135-136)
Syarat dan Adab Wanita Keluar Untuk Berjemaah Di Masjid
Keharusan yang diberikan oleh syarak terhadap wanita untuk hadir ke masjid bagi menunaikan solat fardhu secara berjemaah adalah dengan syarat wanita tersebut mendapat izin suami ataupun walinya. Untuk para wali, Rasulullah s.a.w telah berpesan yang bermaksud: “Jangan kamu menghalang wanita-wanita kamu daripada berjemaah di masjid-masjid apabila mereka meminta izin daripada kamu.” H.R Muslim (no. 442)
Para suami ataupun wali hanya berhak untuk melarang wanita daripada keluar menghadiri solat berjemaah di masjid seandainya terdapat sebab-sebab yang jelas dan diharuskan oleh syarak. Contohnya ialah apabila diketahui bahawa wanita tersebut tidak menjaga adab-adab ke masjid, timbulnya fitnah, ataupun wanita tersebut lebih diperlukan untuk berada di rumah bagi kemaslahatan rumahtangga, suami dan anak-anak. Namun para suami dan wali hendaklah mengambil berat tentang pesanan Rasulullah s.a.w tadi agar tidak menjadi penghalang kepada kaum wanita untuk melakukan kebaikan.
Di antara perkara yang mesti dipelihara oleh para muslimah yang mahu keluar menghadiri solat berjemaah di masjid ialah menundukkan pandangan daripada perkara yang haram dipandang, memelihara diri daripada membuka aurat, berhias-hias, memakai wangi-wangian, membuat bising di dalam masjid mahupun bersesak-sesak dengan para jemaah lelaki dalam perjalanan masuk ataupun keluar. Sebenarnya adab-adab tersebut sememangnya merupakan perkara-perkara yang wajib dipelihara oleh para muslimah setiap kali keluar rumah. Namun begitu, dalam hal menghadiri masjid, terdapat hadith-hadith yang khusus menekankan kewajipan-kewajipan tersebut. Antaranya ialah:
  1. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kamu (wanita) menghadiri solat jemaah di masjid, maka janganlah memakai wangi-wangian.” H.R. Muslim (no. 443)
  2. Sabda baginda lagi: “Jangan kamu menghalang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita untuk menghadiri solat jemaah di masjid-masjid. Akan tetapi mereka hendaklah keluar tanpa berwangi-wangian.” H.R Abu Daud (no. 565)
  3. Ummu al-Mukminin Aisyah r.a telah meriwayatkan bahawa, “Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w selesai menunaikan solat Subuh, para wanita akan beredar sambil dilitupi oleh kerudung mereka. Mereka tidak dikenali kerana hari yang masih gelap.” H.R Muslim (no. 645)
  4. Sahal bin Sa’ad berkata: “Saya pernah melihat beberapa orang lelaki bersembahyang di belakang Rasulullah s.a.w mengikat kain mereka di leher-leher mereka seperti kanak-kanak kerana sempitnya kain itu. Ketika itu ada di antara mereka yang berkata: “Wahai para wanita, jangan kamu mengangkat kepala sebelum para lelaki bangun dengan sempurna.” H.R Muslim (no. 441)
Hadis ini menyebut tentang adab memelihara pandangan mata yang wajib dijaga oleh makmum wanita apabila bersembahyang secara berjemaah di belakang saf lelaki tanpa tabir.
Justeru itu, para muslimah hendaklah memastikan bahawa syarat dan adab yang digariskan tersebut dapat dipenuhi. Sekiranya tidak, maka adalah lebih baik bagi wanita untuk tidak menghadiri solat fardhu secara berjemaah di masjid bersama kaum lelaki. Amrah binti Abdul Rahman r.a menyebut bahawa beliau telah mendengar Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w berkata: “Jikalau Rasulullah s.a.w melihat apa yang diperbuat oleh wanita zaman sekarang, nescaya baginda akan melarang mereka pergi ke masjid sepertimana telah dilarang wanita Bani Israel untuk ke masjid.” H.R Muslim (no. 445)
            Adapun bagi wanita-wanita yang dapat memelihara adab-adab mereka, terpelihara keselamatan mereka, tidak menimbulkan fitnah, sudah berusia serta tidak terikat dengan banyak tanggungjawab di dalam rumahtangga, maka ada pandangan ulama yang mengatakan bahawa lebih baik bagi mereka untuk menghadiri solat fardhu berjemaah di masjid-masjid berbanding di rumah. Malah dalam suasana seperti kebanyakan masjid yang ada di negara kita sekarang yang mana kenderaan boleh terus sampai ke kawasan masjid, terdapat pintu yang khusus untuk jemaah wanita dan tempat solat mereka pula dihadang oleh tabir pemisah, sudah tentu menjadi lebih mudah bagi wanita untuk menghadiri solat fardhu berjemaah di masjid-masjid dengan cara yang dituntut oleh syariat.
Dalam keadaan terdapatnya majlis-majlis ilmu yang diadakan seusai setiap solat fardhu pula, maka sudah tentu ianya akan memberikan kebaikan yang lebih banyak kepada para wanita daripada menunaikan solatnya di rumah tanpa wujudnya kesukaran untuk ke masjid. Di dalam sebuah hadith yang panjang, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “..Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga. Tidak berhimpun sesuatu golongan di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membacakan Kitab Allah (Al-Quran) dan mempelajarinya bersama-sama, melainkan akan turun ke atas mereka ketenangan, rahmat Allah pula akan menyelubungi mereka, para malaikat akan menaungi mereka dan Allah pula akan menyebut tentang perihal mereka kepada para malaikat di sisi-Nya..” H.R Muslim (no. 2699)

No comments:

Post a Comment