اَلْحَمْدُلِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا
وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلا أَنْ هَدَانَا اللهُ ، وَأَفْضَلُ الصَّلاةِ وَأَتَمُّ
التَّسْلِيمِ عَلَى سَيِّدِنَا وَإِمَامِنَا وَأُسْوَتِنَا وَحَبِيبِنَا مُحَمَّدٍ
، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنِ اهْتَدَى بِهَدْيِهِ ، وَسَارَ عَلَى دَرْبِهِ
إِلَى يَوْمِ الدِّينِ .
أَمَّا بَعْدُ ،
Ertinya: “Dan tidak ada yang
lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan
mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil
berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah
bulat-bulat kepada Allah)!" [Surah Fusshilat, ayat 33]
وَقَالَ
تَعَالَى :
Ertinya: “Dan tidaklah (betul dan
elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu,
hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya
orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut
di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang)
apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat
berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” [Surah al-Taubah, ayat 122]
108.
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang
menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan
keterangan dan bukti yang jelas nyata, dan aku menegaskan: Maha suci Allah
(dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang
mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." [Surah
Yusuf: ayat 108]
1.0 MUKADIMAH
F
|
iqh secara dasarnya tidak dapat dipisahkan
daripada dakwah. Umum mengetahui betapa bahayanya seorang pendakwah yang tidak
mengetahui ilmu-ilmu fiqh. Pada masa yang sama, dakwah juga tidak mampu
dilaksanakan dengan sebaiknya serta mencapai matlamat yang diharapkan tanpa sumbangan
dan penglibatan ahli-ahli fiqh di medan dakwah.
Mengapakah dakwah begitu penting dan harus
diberikan keutamaan oleh kita yang berada di bidang pengajian ilmu-ilmu syariah?
Adakah kita semua wajib berusaha untuk menjadi dai? Tidak cukupkah dengan
mengetahui ilmu-ilmu syariah berkenaan hukum hakam sahaja sebagaimana yang
dipelajari di dewan-dewan kuliah?
Di sinilah perbincangan ini cuba untuk merungkai
persoalan-persoalan tersebut dan mengupas secara ringkas tentang pengertian
fiqh dan dakwah, kepentingan fiqh di dalam dakwah, kepentingan dakwah kepada
ahli fiqah dan bagaimana kita menjadikan fiqh sebagai bekalan dakwah.
2.0 DEFINISI FIQH DAN KEPENTINGANNYA
Fiqh dari segi bahasa Arab bererti ilmu pengetahuan
dan kefahaman. Ia menggambarkan kefahaman yang mendalam terhadap maksud sesuatu
perkataan ataupun perbuatan. Namun penggunaannya lebih meluas dalam menggambarkan
kefahaman tentang agama Islam.[1]
Dari segi istilah pula, fiqh bermaksud ilmu pengetahuan
tentang hukum syarak berkaitan perbuatan mukallaf yang diistinbatkan daripada
dalil-dalilnya yang terperinci.[2]
Ilmu fiqh inilah yang menjelaskan tentang
hukum syarak yang berkaitan dengan semua perbuatan mukallaf, kerana tidak ada
satupun perbuatan manusia melainkan ianya berlegar di antara lima hukum syarak
iaitu wajib, sunat, harus, haram dan makruh.
Pembahagian ilmu fiqh adalah meliputi semua
aspek kehidupan manusia. Ia boleh dibahagikan kepada dua bahagian yang utama
iaitu aspek ibadat yang menyusun hubungan antara manusia dengan Tuhan dan aspek
muamalat yang menyusun hubungan antara sesama manusia. Aspek muamalat ini
membincangkan mengenai hukum-hukum kekeluargaan, akad, pertukaran, kewangan,
kehakiman, kesaksian, politik, kenegaraan, jenayah, hukuman serta akhlak dan
adab.
Namun begitu penggunaan perkataan fiqh di
dalam al-Quran dan al-Sunnah tidak membawa maksud ilmu pengetahuan tentang
permasalahan fiqah ini sahaja. Malah ia membawa salah satu daripada dua maksud,
iaitu[3];
i.
kefahaman secara umum
Contohnya:
Firman Allah SWT:
Ertinya: “Maka
apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan
(nasihat dan pengajaran)? [Surah al-Nisa’, ayat 78]
ii.
kefahaman yang mendalam tentang agama iaitu
الفقه في الدين .
Contohnya:
Firman Allah SWT:
Ertinya: “Oleh itu, hendaklah keluar
sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang
(yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam
agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila
orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga
(dari melakukan larangan Allah).” [Surah al-Taubah, ayat 122]
Dan
juga doa Rasulullah s.a.w. buat Abdullah bin ‘Abbas r.a:
اَللّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ[4]
Ertinya: “Ya Allah, fahamkanlah ia tentang
agama dan ajarkanlah ia ilmu ta’wil”.
Justeru
itu, di atas pengertian fiqh yang kedua inilah istilah faqih di zaman para
salafussoleh dahulu tidak bermaksud seorang yang ahli dalam ilmu fiqah semata-mata.
Ia difahami sebagai seorang yang memiliki pengetahuan yang menyeluruh tentang
asas-asas syariat Islam, menghayati objektif dan maqasid syariah, malah menguasai
teknik menyebarkan syariat Islam, mempertahankannya dan melaksanakan amanah
agama dalam semua sudut.[5]
Jika
dilihat dari perspertif tersebut, dapat difahami bahawa seorang ahli fiqah itu
mungkin masih belum layak untuk bergelar faqih seandainya ia hanya mengetahui
hukum-hukum yang zahir semata-mata. Sebaliknya seorang yang masih dalam
perjalanan untuk menguasai permasalahan-permasalahan fiqah secara lebih detil
mungkin sudah boleh dianggap faqih apabila ia mampu memahami kehendak syarak
dalam setiap keadaan.
عن
زيد بن ثابت قال : سمعت رسول الله r
يقول : نَضَّرَ اللهُ امْرَءًا سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَحَفِظَهُ حَتَّى يُبَلِّغَهُ
، فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ ، وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ
لَيْسَ بِفَقِيهٍ "[6]
Ertinya: “Allah merahmati orang yang
mendengar hadith dari kami lalu menghafalnya untuk menyampaikannya kepada
orang lain. Ada juga orang yang menyampaikan ilmu kepada orang yang lebih faham.
Ada juga orang yang membawa ilmu tidak pun memahaminya .”
Imam al-Syafie rahimahuLLah menyebut:
إِنَّ الْفَقِيهَ هُوَ الْفَقِيهُ بِفِعْلِهِ لَيْسَ
الْفَقِيهُ بِنُطْقِهِ وَمَقَالِهِ[7]
Ertinya: “Sesungguhnya seorang faqih itu
dilihat pada tindakannya, bukanlah dianggap seorang yang faqih hanya pada
bicara dan percakapannya.”
Mujahid rahimahuLLah pula menyebut:
Ertinya: “Seorang faqih ialah yang takutkan
Allah ‘Azza wa Jalla.”
3.0 DEFINISI DAKWAH DAN KEPENTINGANNYA
Dakwah dari segi bahasa Arab bermaksud
seruan.[9]
Dari segi istilah pula, ia bermaksud seruan kepada Islam.
Allah SWT menyebut di dalam al-Quran:
Ertinya: “Dan Allah menyeru manusia ke tempat
kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya
kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang betul lurus.” [Surah Yunus,
ayat 25]
Dr. Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni mendefinisikan
dakwah itu sebagai : تبليغ الإسلام للناس وتعليمه إياهم وتطبيقه في واقع الحياة ,
iaitu menyampaikan Islam kepada orang ramai, mengajarkannya kepada mereka dan
mempraktikkannya di dalam kehidupan.[10]
Dakwah
ini merupakan tugas para rasul sepanjang zaman. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Wahai kaum kami!
Sahutlah (seruan) Rasul yang mengajak ke jalan Allah, serta
berimanlah kamu
kepadaNya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan
kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”[Surah al-Ahqaf, ayat 71]
Ia
juga merupakan sebaik-baik bicara yang diucapkan oleh manusia.
Ertinya: “Dan tidak ada yang
lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan
mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil
berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah
bulat-bulat kepada Allah)!" [Surah Fusshilat, ayat 33]
Melalui
jalan dakwah inilah manusia diselamatkan daripada kegelapan kepada cahaya,
daripada kesesatan kepada kebenaran dan daripada kelalaian kepada ingatkan
Tuhan.
4.0 HUBUNGKAIT ANTARA FIQH DAN DAKWAH
Dengan melihat kepada definisi fiqh dan juga
dakwah serta kedudukan keduanya, dapat disimpulkan bahawa fiqh dan dakwah
mempunyai perkaitan yang tidak dapat dipisahkan.
Dakwah yang menjadi kewajipan setiap muslim
tidak mungkin dapat disempurnakan tanpa pengetahuan fiqh yang mencukupi.
Firman Allah SWT:
Ertinya: “Katakanlah (Wahai Muhammad):
"Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia
umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas
nyata, dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan
syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan
sesuatu yang lain.” [Surah Yusuf, ayat 108]
Manakala seruan Allah SWT kepada orang
beriman supaya adanya satu kelompok di kalangan mereka yang bertafaqquh
mendalami agama adalah supaya mereka dapat menyampaikan ilmu tersebut sebagai
peringatan kepada orang lain dan bukannya semata-mata untuk mengumpul ilmu; kerana
sudah tentu peringatan dan dakwah tidak mampu disampaikan tanpa bekalan ilmu
yang mencukupi.
Firman Allah SWT:
Ertinya: “Oleh itu, hendaklah
keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang
(yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam
agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila
orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga
(dari melakukan larangan Allah).” [Surah al-Taubah, ayat 122]
5.0 FIQH SEBAGAI BEKALAN DAKWAH
Terdapat dua pengertian fiqh yang telah
dibincangkan di awal kertas kerja ini iaitu; fiqh dengan erti kata kefahaman
tentang permasalahan hukum-hukum fiqah, dan juga fiqh dengan erti kata
kefahaman yang mendalam tentang kehendak agama secara menyeluruh. Kedua-duanya
merupakan bekalan dakwah yang sangat penting.
Di dalam buku Usul al-Da’wah, Dr. Abdul Karim
Zaidan telah menggariskan tiga persediaan utama para dai iaitu;
i.
kefahaman yang terperinci(الفهم
الدقيق) ,
ii.
iman yang mendalam(الإيمان العميق) , dan
Jika ditafsirkan الفهم
الدقيق dengan pengertian fiqh iaitu kefahaman
terhadap agama secara menyeluruh dan mendalam, maka jelas di sini bagaimana
fiqh dianggap sebagai bekalan pertama seorang dai.
Mengenai keperluan untuk menguasai ilmu-ilmu
fiqah secara khusus pula, Prof. Dr. Yusuf al-Qardawi[12]
menyebut bahawa para dai mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan fiqh yang cukup, sehingga ia
mampu untuk mengetahui hukum-hukum syariat yang penting dalam aspek ibadat,
muamalat dan adab; serta mampu mencari hukum-hukum yang tidak diketahuinya
daripada sumber-sumbernya yang dipercayai.
Justeru itu adalah penting bagi para dai
untuk menguasai ilmu-ilmu fiqh, kerana beberapa faktor iaitu[13]:
Pertama: Agar ia mampu menjawab persoalan berkaitan
halal dan haram, urusan ibadat,
kekeluargaan dan sebagainya yang banyak menjadi persoalan kepada orang ramai. Ketidakmampuan
dai untuk memberikan jawapan yang boleh diterima umum akan melemahkan peranan
dan keberkesanan dakwahnya kepada masyarakat, atau mungkin juga menyebabkannya
bercakap tanpa ilmu. Bahaya situasi ini pernah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w
di dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As:
إِنَّ
اللهَ لا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ النَّاسِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ
الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يَتْرُكْ عَالِمًا اِتَّخَذَ
النَّاسُ رُؤُوسًا جُهَّالا فَسُئِلُوْا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوْا وَأَضَلُّوْا[14]
Ertinya: “Sesungguhnya Allah tidak akan
mencabut ilmu ini dari hati-hati manusia secara sekaligus, tetapi Allah
mengangkat ilmu ini dengan cara mematikan ulama, sehingga apabila tidak ada
lagi ulama, manusia mula melantik pemimpin-pemimpin yang jahil, apabila mereka
ditanyakan tentang urusan agama, mereka akan memberikan fatwa tanpa
berlandaskan ilmu, maka sesatlah mereka lagi menyesatkan.”
Kedua: Supaya seorang dai itu mampu membetulkan
kesalahan-kesalahan dan penyelewangan yang muncul dihadapannya menurut
perspektif al-Quran dan al-sunnah berdasarkan ilmu dan kefahaman, bukannya
berasaskan perasaan dan emosi.
Ibn al-Qayyim menceritakan, satu ketika Ibn
Taimiyyah melalui kaum Tatar yang sedang minum arak, sebahagian sahabatnya mula
mengingkari perkara tersebut, lalu kata Ibn Taimiyah: “Biarkan saja keadaan
mereka itu, sesungguhnya Allah mengharamkan arak kerana ia menghalang manusia
dari mengingati Allah dan mengerjakan solat, sedangkan mereka itu dihalang oleh
arak daripada menumpahkan darah dan merosakkan harta benda!”
Justeru itu, betapa perlunya seorang dai melengkapkan
diri dengan ilmu-ilmu fiqh supaya ia tahu untuk mendahulukan perkara yang lebih
penting ke atas perkara yang penting, perkara pokok ke atas perkara cabang,
perkara fardu ke atas perkara sunat dan bersabar daripada mengingkari satu
kemungkaran bagi mengelakkan kemungkaran yang lebih besar.
Ketiga: Supaya ia dapat memberikan peringatan kepada
orang ramai mengikut hukum-hukum yang penting berdasarkan waktunya dan dengan
uslub yang mudah diterima, kerana seorang dai yang berjaya ialah yang mampu memahamkan
orang lain berdasarkan tahap penerimaan akalnya.[15]
Sebenarnya
jika dikaitkan fiqh ini dengan kefahaman secara menyeluruh, luas dan mendalam,
maka bidang fiqh yang perlu dijadikan bekalan dakwah ini juga haruslah
berkembang dan mampu untuk memberi penyelesaian terhadap perkembangan dan
keperluan semasa. Penyelesaian dan
pendekatan yang mudah dan praktikal adalah pendekatan yang sememangnya
dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. sejak dahulu lagi. Berdasarkan kefahaman
inilah tersenarainya enam pendekatan fiqh yang mesti dikuasai oleh para
pendakwah di alaf baru. Enam jenis fiqh tersebut ialah:[16]
1. Fiqh al-Nusus, iaitu fiqh memahami nas al-Quran dan al-Sunnah melalui prinsip-prinsipnya.
2. Fiqh al-Awlawiyat, iaitu fiqh yang membincangkan tentang skala prioriti atau keutamaan sesuatu tindakan, perbuatan dan amalan mengikut kehendak syariat. Ia juga dikenali sebagai fiqh maratib al-a’mal, menentukan tingkatan sesuatu amalan, antara yang baik manakah yang lebih baik, dan antara yang buruk manakah yang lebih buruk.
3. Fiqh al-Muwazanat, iaitu fiqh pertimbangan antara kebaikan dan keburukan, antara masalih dan mafasid.
4. Fiqh al-Waqi’, iaitu fiqh dalam memahami
situasi dan keadaan semasa yang memberi kesan kepada perubahan hukum dan
pandangan.
5. Fiqh al-Ikhtilaf , iaitu fiqh berkenaan perbezaan pendapat, apa yang dibolehkan dan apa yang tidak dibolehkan serta bagaimana harus ditangani perbezaan pendapat yang berlaku di kalangan umat Islam.
6. Fiqh al-Taghyir, iaitu fiqh yang
membincangkan elemen-elemen yang harus diutamakan apabila ingin mengemukakan
perubahan di dalam masyarakat dan umat Islam.
Untuk menguasai keenam-enam jenis fiqh
tersebut terdapat satu lagi bidang ilmu yang mesti disebutkan di sini iaitu
ilmu berkenaan maqasid syariah ataupun objektif syarak. Ia mestilah dikuasai
oleh semua dai mahupun faqih kerana dengan memahami maqasid syariah, kita dapat
memahami roh perundangan Islam, matlamat dan objektif di sebalik setiap hukum
syariat yang kita perjuangkan.
Kesemua jenis fiqh yang diketengahkan ini
adalah sangat penting bagi memastikan bahawa seorang dai itu bukan sahaja mampu
untuk mengajar dan menyampaikan hukum, tetapi dapat menyelesaikan
masalah-masalah yang timbul di dalam masyarakat serta membawa mereka kepada
kefahaman Islam secara menyeluruh.
6.0 SARANAN KEPADA AHLI SYARIAH
Di sini penulis mengambil kesempatan untuk
mengutarakan beberapa saranan tentang apa yang sewajarnya dilaksanakan oleh
semua penuntut ilmu syariah.
Yang pertama ialah berusaha dengan sebaik
mungkin untuk memahami ilmu yang dipelajari. Dalam erti kata lain,
mempertingkatkan diri daripada tahap sekadar tahu ke tahap faham dan menguasai.
Dengan cara ini, seorang penuntut ilmu syariah tidak hanya menghafal, tetapi
memahami secara mendalam konsep, prinsip dan maqasid syariah di sebalik
lafaz-lafaz dan hukum yang zahir.
Saranan yang kedua ialah supaya mempertingkatkan
diri daripada bertaklid secara total terhadap pandangan ulama kepada mengetahui
dalil-dalil dan hujah-hujah yang diguna pakai oleh mereka. Cara ini dapat
memberikan kefahaman tentang mengapakah sebenarnya ulama tertentu menetapkan sesuatu
hukum yang tertentu. Pemerhatian yang sebegini dapat menambahkan kemahiran
dalam berijtihad.[17]
Yang ketiga ialah supaya beramal dengan ilmu yang
ada, tidak kira sama ada ilmu itu banyak ataupun sedikit. Semua ilmu yang kita
miliki menjadi persiapan untuk ke akhirat, maka semuanya adalah wajib untuk
diamalkan.
Yang keempat ialah berusaha secara terancang
untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah kerana terdapat banyak kesan
yang sangat positif kepada ahli syariah yang melibatkan diri di dalam gerak
kerja dakwah[18].
Antaranya ialah:
1.
Berkembangnya ilmu yang dimiliki setelah
berhadapan dengan suasana mad’u dan persoalan-persoalan yang dilontarkan oleh
masyarakat kepadanya.
2.
Bertambah suburnya kemahiran dalam
menyampaikan hukum yang sesuai dengan keadaan mad’u yang pelbagai.
3.
Bertambahnya kesabaran dalam menghadapi
kerenah mad’u.
4.
Bertambahnya keyakinan dalam berhadapan
dengan masyarakat.
5.
Bertambahnya kemampuan untuk mengingati hujah
dan dalil serta pandangan-pandangan ulama.
6.
Bertambahnya kesungguhan untuk mengamalkan
segala ilmu yang telah disampaikan supaya dapat menjadi qudwah hasanah kepada
mad’u.
7.
Bertambah kuat tautan hati dan perasaan
dengan Allah SWT melalui doa-doa dan munajat memohon hidayah untuk masyarakat
yang didakwahnya.
Namun begitu, sebagai seorang pelajar atau
mahasiswa yang masih berada di kampus pengajian ilmu-ilmu Islam, maka tanggungjawab
yang utama ialah memberi komitmen yang penuh terhadap majlis-majlis ilmu dan
bukannya berkecimpung di dalam dakwah sepenuh masa sehingga mengabaikan
pelajaran. Di sinilah menuntut keseimbangan dan kebijaksanaan dalam menguruskan
waktu. Dakwah itu penting dari sudut praktikal terhadap ilmu, tetapi pada masa
yang sama, tanpa ilmu yang betul dan mencukupi, kita tidak mungkin dapat
berdakwah dengan betul.
Umar bin Al-Khattab r.a. menyebut:
“Bertafaqquhlah kamu sebelum kamu menjadi
pemimpin”.
Yang
kelima ialah supaya meluaskan pembacaan yang bermanfaat dan memperuntukkan masa
yang lebih banyak untuk membaca.
7.0 PENUTUP
Kefahaman ini sangat penting kepada semua
warga al-Syariah KIAS, bersesuaian dengan moto Nadi al-Syariah yang seharusnya
dijadikan matlamat kita bersama sepanjang tempoh berada di kampus ini iaitu
“Melahirkan Generasi Faqih Berjiwa Dai”.
Seorang faqih yang berjiwa dai akan lebih
mampu untuk menguasai ilmu secara praktikal serta menjiwai roh perundangan
Islam atau maqasid syariah apabila berpeluang untuk menyelesaikan masalah
masyarakat dengan lebih dekat.
Justeru itu, kita semua harus berusaha untuk
menjadi seorang faqih dalam erti kata yang sangat luas, mesti berakhlak dengan
akhlak ahli ilmu dan berusaha menambahkan ilmu fiqh semasa sehingga menjadi
seorang dai yang faqih.
إِنْ أُرِيدُ إِلا الإصْلاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلا
بِاللهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
الراجية إلى عفو ربها،
نور الأكما بنت محمد.
[1] Fairuz Abadi, Muhammad bin Ya’qub (1995) Al-Qamus al-Muhit, Beirut:
Dar al-Fikr, h. 1126.
[2] Di dalam bahasa Arabnya berbunyi: العلم
بالأحكام الشرعية العملية المكتسب من أدلتها التفصيلية Takrif
ini telah diasaskan oleh Imam al-Syafie, dan ianya digunakan secara meluas oleh
para ulama dan ahli fiqh. Sila rujuk: Wahbah al-Zuhaili (1996) Al-Fiqh
al-Islami wa Adillatuh, cet.3, Damsyik: Dar al-Fikr, j. 1, h. 16.
[3] Mufid Khalid ‘Eid Ahmad ‘Eid (1995) Al-‘Alaqah Baina al-Fiqh wa
al-Da’wah, cet. 1, Beirut: Dar Ibn Hazm, h.38.
[4] Sahih al-Bukhari (t.t), Kitab al-Wudhu’, Bab al-Ma’ ‘Inda
al-Khala’, j.1, h. 244.
[5] Mufid Khalid ‘Eid Ahmad ‘Eid, op. cit, h. 39.
[6] Sunan Abu Daud (t.t) Kitab al-‘Ilm, Bab Fadhlu Nasyr al-‘Ilm, Hadis
no. 3660, Riyadh: Al-Maktabah al-Ma’arif, h. 554.
[7] Muhammad ibn Idris Al-Syafi’e (1995) Diwan al-Syafi’e, Beirut: Dar
al-Fikr, h. 162
[8] Ahmad bin Hanbal (t.t) Kitab al-Zuhd, cet. 2, Dar Ibn Rajab, h.
626.
[9] Fairuz Abadi, op. cit, h. 1155.
[10] Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni (1412H) Al-Madkhal ila ‘Ilm
al-Da’wah, cet.1, Beirut: Mu’assasah al-Risalah, h. 40.
[11] Abd al-Karim Zaidan (1993) Usul al-Da’wah, cet. 3, Beirut:
Mu’assasah al-Risalah, h. 325.
[12] Yusuf Al-Qardhawi (t.t) Thaqofah al-Da’iyah, h. 69.
[13] Yusuf al-Qardhawi, op. cit, h. 69-70.
[14] Sahih Muslim (2004), Kitab al-‘Ilm, Bab Raf’u al-‘Ilm wa Qabdhuhu
wa Zhuhuru al-Jahl wa al-Fitan fi Akhiri al-Zaman, Hadis no.6796, Beirut:
Al-Maktabah Al-‘Asriyyah, h. 1002.
[15] Yusuf Al-Qardhawi, op. cit, h. 69-70.
[16] Mustafa Malaikah (2002) Kewajipan Menguasai Enam Jenis Fiqh Bagi
Pendakwah Islam di Alaf Baru, ter. Basri bin Ibrahim, cet.1, Johor Bahru:
Perniagaan Jahabersa, h. 9.
[17] Yusuf al-Qardhawi (2000) Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu’asir fi
Dhau’ al-Quran wa al-Sunnah, cet. 1, Beirut: Mu’assasah al-Risalah, h. 271.
[18] Mufid Khalid ‘Eid Ahmad ‘Eid, op. cit, h.104-119
[19] Ismail bin Muhammad al-‘Ajluni (1988) Kasyf al-Khafa wa Muzil
al-Ilbas, cet. 5, Beirut: Muassasah al-Risalah, h. 370.
No comments:
Post a Comment