Oleh: Nurul Akma bt Mohamed @ Sheikh Mohd Amin, (M.A)
1.0 Pendahuluan
Islam menyeru
umatnya berjihad, mewajibkan mereka berjuang bagi menegakkan Islam serta
mempertahankan kebenaran. Islam juga memerintahkan mereka supaya menjalankan
amar makruf dan nahi munkar.
Namun ramai
orang Islam tidak memahami pengertian jihad secara betul. Mereka menganggap
bahawa jihad itu tidak lain dari berperang dengan orang kafir sahaja.
Sebenarnya jihad di dalam Islam adalah luas dan tidak terhad kepada perang
bersenjata semata-mata. Pengertian jihad ialah mengorbankan segala usaha yang
mungkin untuk membasmi segala bentuk penindasan, kezaliman dan kerosakan di
bumi Allah dengan meninggikan agama Allah mengatasi segala sistem yang
berlawanan dengan Islam. Ia mencakupi semua bidang, sama ada jihad peperangan
menentang orang-orang kafir, jihad dakwah dan lain-lain.
Rasulullah
s.a.w. sendiri tidak diperintah oleh Allah untuk berperang kecuali setelah
baginda berhijrah ke Madinah, walaupun baginda semasa di Mekah sudah pun menerima
perintah supaya berjihad. Contohnya firman Allah di dalam Surah al-Furqan, ayat
52 yang bermaksud:
“Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak
orang-orang kafir dan berjihadlah menghadapi mereka dengan jihad yang besar.”
Walaupun ayat ini
diturunkan di Mekah sebelum difardhukan jihad berperang, tetapi perkataan jihad
menentang orang-orang kafir sudah dinyatakan oleh al-Quran. Makna jihad di
dalam ayat ini ialah jihad dengan lisan, berdakwah menyampaikan ajaran al-Quran
kepada mereka.
2.0 Definisi Jihad
Dari sudut
bahasa, jihad bermaksud memerangi musuh dengan mencurahkan segala daya dan
kesungguhan dalam bentuk perkataan mahupun amalan. Ia boleh dikaitkan dengan
perkataan “al-jahd” yang bermaksud kesukaran yang amat sangat;
dan perkataan “al-juhd” yang bermaksud usaha dan tenaga.
Dari segi syarak, jihad ialah apabila seorang muslim
mencurahkan seluruh tenaga dan kesungguhannya dalam usaha untuk memenangkan
Islam untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T. Oleh sebab itulah dirungkaikan
kalimah jihad dalam Islam dengan ‘fi sabilillah’ yang bertujuan untuk
menegaskan bahawa jihad yang dimaksudkan ialah jihad yang disyariatkan. Allah S.W.T telah menjelaskan perkara ini
melalui firman-Nya yang bermaksud:
Orang-orang yang beriman berperang di jalan
Allah, manakala orang-orang yang kafir berperang di jalan taghut. (An-Nisa’: 76)
Daripada definisi ini lahirlah takrif-takrif golongan
salaf berkenaan dengan jihad, antaranya:
a. Ibnu Abbas r.a. berkata: “Jihad ialah
mencurahkan sepenuh tenaga pada jalan Allah dan tidak takut pada celaan orang
yang mencela”.
b. Ibnu Muqatil berkata: “Beramal kerana Allah
dengan sebenar-benar amalan dan menyembah Allah dengan sebenar-benar sembahan”.
c. Ibnu Mubarak pula berkata: “Iaitu mujahadah
nafsu dan hawa”.
d. Dr. Said Ramadhan Al-Buti berkata: “Jihad
ialah mencurahkan tenaga pada jalan meninggikan kalimah Allah dan menegakkan
masyarakat Islam. Memberikan tenaga melalui peperangan adalah sebahagian
darinya. Adapun tujuannya pula adalah menegakkan masyarakat Islam dan membentuk
‘Daulah Islamiyyah yang sebenar’.
Daripada takrif-takrif di atas jelas bahawa jihad itu
sendiri mempunyai pengertian yang khusus dan pengertian yang umum. Bagi pengertian
yang khusus, Abu al-A’la al-Maududi mengatakan ia bermaksud jihad peperangan
yang dilakukan oleh orang Islam terhadap musuh Islam untuk meninggikan kalimah
Allah semata-mata, dan bukan kerana apa jua sebab selainnya.
Bagi pengertian
yang umum pula, Ibnu Taimiah mengatakan bahawa jihad ialah kegigihan dan
kesungguhan yang dicurahkan demi mencapai keredaan Allah melalui iman dan amal
soleh, serta menolak apa yang dimurkai oleh Allah iaitu kekufuran, kefasikan
dan kemaksiatan.
Justeru, dapat
difahami bahawa jihad secara umum merentasi seluruh kehidupan manusia dan
menjadi kemuncak ketaatan, kepatuhan, pengorbanan dan keikhlasan seorang hamba
kepada Tuhannya. Setiap muslim mampu dengan kefahaman yang tepat untuk
menjadikan seluruh hidupnya dari awal sehingga akhir sebagai jihad. Ia meliputi
seluruh aspek kehidupan muslim sama ada dari segi ekonomi, sosial, politik,
pendidikan, ibadat, ketenteraan, kekeluargaan dan lain-lain. Jihad dalam semua
aspek tersebut hendaklah semata-mata untuk meninggikan kalimah Allah S.W.T dan
agama-Nya sehingga mengatasi agama, sistem hidup dan kepercayaan yang lain.
3.0 Tujuan dan Matlamat Jihad
Tujuan dan
matlamat jihad ialah semata-mata untuk menjadikan agama Allah S.W.T mulia dan
agama yang selain Islam lemah dan rendah dan supaya ajaran Islam, cara hidup
Islam dan undang-undang Islam dapat dilaksanakan. Firman Allah S.W.T di dalam
Surah al-Baqarah ayat 193 yang bermaksud;
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan
(sehingga) menjadilah agama Allah itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika
mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap
orang-orang yang zalim.”
Diriwayatkan oleh
Imam al-Bukhari sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesiapa yang berjihad untuk meletakkan kalimah Allah di tempat
yang tertinggi maka dia telah berjihad di jalan Allah.”
Dalil-dalil tersebut membuktikan
bahawa jihad di dalam Islam adalah semata-mata kerana menjaga kesucian agama
daripada diceroboh dan dihina serta memastikan hukum-hukumnya dapat
dilaksanakan demi kesejahteraan dan keselamatan manusia di dunia dan akhirat.
Ia jauh sekali daripada tujuan menguasai orang lain atau menunjukkan kekuatan
semata-mata.
4.0 Hukum dan Kemuliaan Jihad
Hukum jihad adalah fardu ain untuk melawan kebatilan. Ini jelas
berdasarkan kepada arahan Allah Taala yang bermaksud:
Wahai
orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan
beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah
amalan yang baik; supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat). Dan
berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dialah
yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya)…
(Al-Hajj: 77-78)
Jihad juga menjadi fardu ain untuk mempertahankan negara Islam atau
untuk mengembalikan apa yang telah hilang dari negara Islam.
Adapun apabila telah tertegaknya negara Islam, maka hukum berjihad
adalah fardu kifayah, iaitu untuk keluar membuka dan meluaskan empayar Islam
berdasarkan arahan daripada Khalifah atau Imam yang mentadbir negara Islam.
Oleh sebab jihad merupakan satu kefardhuan yang kekal sehingga ke
akhir zaman, maka kedudukannya adalah amat mulia. Para mujahidin diberikan
ganjaran yang sangat besar, dan mereka yang gugur syahid di medan juang pula
dikurniakan kemuliaan yang amat tinggi. Firman-firman Allah S.W.T yang
bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu
perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi
sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang
membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang
demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat
yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan
memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,
serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga "
‘Adn ". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu
sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa
berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang
yang beriman. (Surah al-Saff , ayat 10-13)
Dan jangan
sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada
jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara
istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (dan juga) mereka
bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati syahid) yang telah dilimpahkan
kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai
(saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih
tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu)
bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik)
terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Ali
‘Imran: 169-170)
Adapun golongan yang mengabaikan jihad pula diberikan ancaman oleh
Allah dan Rasul s.a.w. Antaranya disebut di dalam firman Allah S.W.T:
Jika
kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela
agama-Nya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi
sakitnya dan ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak
akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepada-Nya. dan (ingatlah) Allah Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (At-Taubah: 39)
Adalah jelas
bahawa meninggalkan jihad akan membuka ruang kepada kemurkaan Allah S.W.T dan
penguasaan orang-orang yang jahat ke atas orang Islam.
5.0 Kategori Jihad
Jihad dalam Islam bukan berbentuk mempertahankan diri
semata-mata tetapi termasuk juga dalam bentuk menghapuskan kerosakan atau
menentang kezaliman atau meruntuhkan benteng-benteng yang menghalang
perkembangan Islam dan sebagainya. Sebab itu jihad mempunyai
berbagai-bagai-bagai peringkat dan marhalah serta pusingan yang tertentu. Setiap
marhalah jihad menyediakan seseorang untuk naik ke marhalah yang lebih tinggi.
Imam Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya “Zad
al-Ma’ad” ketika memperkatakan tentang marhalah-marhalah ini memulakannya
dengan jihad melawan nafsu untuk melakukan beberapa kewajipan utama iaitu;
i.
jihad untuk mempelajari kebenaran,
ii.
kemudian jihad untuk beramal dengan apa yang telah
diketahui,
iii.
kemudian jihad untuk menyebarkan ilmu dan berdakwah
kepada kebenaran,
iv.
kemudian jihad bersabar menanggung kesusahan pada
marhalah-marhalah ini.
Dr. Muhammad Naim
Yassin di dalam buku beliau “Al-Jihad” membahagikan kategori jihad
mengikut medan-medannya iaitu jihad dalam menentang lima golongan;
i.
jihad menentang
hawa nafsu,
ii.
jihad menentang
syaitan,
iii.
jihad menentang
golongan kafir,
iv.
jihad memerangi
golongan munafik, dan
v.
jihad menentang
golongan yang zalim dan fasik.
As-Syeikh Sa’id Hawwa di dalam kitabnya “Jundullah
Thaqafatan wa Akhlaqan” pula telah membahagikan jihad kepada lima kategori
iaitu:
i.
Jihad lisan
Ia terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu menerangkan Islam,
menjelaskan kekeliruan atau tohmahan terhadapnya dan mengemukakan hujah-hujah
untuk menguatkannya. Kemudian berjihad menggunakan lisan untuk memberi nasihat,
peringatan dan amaran tentang balasan Allah s.w.t secara lembut dan lunak.
Seterusnya ialah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tegas dan berbahas untuk
mematahkan hujah musuh Islam.
ii.
Jihad melalui pengajaran (ta’limi)
Iaitu mengorbankan seluruh tenaga untuk mendidik dan melatih orang-orang
Islam menjadi muslim yang sempurna dari segi fikrah, tarbiah, kesihatan dan
seumpamanya. Jihad dalam bentuk ini boleh dilakukan melalui pembukaan
sekolah-sekolah, mengadakan muzakarah, halaqah-halaqah, rehlah, mukhayyam dan
sebagainya, melalukan penyelidikan dalam bidang yang diperlukan oleh umat Islam
serta menyebarkan ilmu melalui tulisan.
iii.
Jihad dengan tangan dan kekuatan diri
Iaitu jihad menentang kezaliman, penindasan, pencerobohan,
penyelewengan, menentang orang-orang murtad, menentang dan mempertahankan diri
daripada orang-orang kafir dan sebagainya dengan menggunakan kuasa yang ada
pada tangan, anggota tubuh mahupun dengan senjata.
iv.
Jihad politik
Iaitu berjihad dalam lapangan kekuasaan dan pemerintahan negara. Jihad
dalam bentuk ini berbeza tanggung jawabnya mengikut kedudukan politik sesebuah
negara. Bagi negara umat Islam yang menyeleweng, yang zalim atau tidak
melaksanakan hukum Allah dalam bernegara, adalah wajib berjihad secara politik
untuk memperbetulkan kesalahannya, menggantikan pemimpinnya dengan orang-orang
yang lebih layak dan tidak boleh sama sekali membantu atau redha dengannya.
v.
Jihad harta
Jihad ini dianggap sebagai syarat kepada
jihad-jihad yang terdahulu kerana tanpanya jihad-jihad tersebut tidak mungkin dapat
dilaksanakan.
Dasar bagi kelima-lima bentuk jihad ini adalah seperti
berikut:
i.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Berjihadlah menentang orang-orang Musyrikin dengan harta, diri dan lidah
kamu.
Hadis ini menyebut ketiga-tiga jenis jihad sekali
gus iaitu jihad lisan, dengan kekuatan diri dan jihad harta.
ii.
Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:
Sebaik-baik jihad ialah memperkatakan sesuatu yang benar di hadapan raja
yang zalim”.
Jihad yang disebut oleh hadis ini ialah
jihad politik, kerana memperkatakan sesuatu yang benar di hadapan raja yang
zalim adalah bertujuan untuk menjadikan sistem pemerintahan sebagai
pemerintahan yang terbaik dan paling adil.
iii.
Firman Allah yang bermaksud:
Tidak sepatutnya bagi orang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang).
Mengapa tidak pergi (nafara) dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa
orang untuk mendalami agama seterusnya memberi peringatan kepada kaumnya
apabila mereka telah kembali kepada mereka… (At-Taubah: 122)
Ayat ini mengungkap kalimah ‘nafara’,
kepada menuntut ilmu dan mengajarnya. Sedangkan kalimah ini kebiasaannya
digunakan untuk jihad. Justeru, ayat ini menjadi dasar kepada jihad pengajaran.
Jadi ketiga-tiga nas tersebut telah menghimpunkan
kelima-lima jenis jihad yang disebutkan.
Untuk
melaksanakan kesemua bentuk jihad sebagaimana yang telah disebutkan, memerlukan
kita menggunakan seluruh wasilah atau kelengkapan yang ada pada diri kita.
Islam menghendaki agar jihad dilakukan berlandaskan kepada keutamaan dan
strategi serta kesabaran yang tinggi.
Kelengkapan
jihad yang mesti digunakan adalah mengikut keperluan, kemampuan dan keadaan.
Ada jihad yang dilakukan dengan nyawa, dengan harta, dengan lisan, dengan
tulisan, dengan kuasa mahupun dengan hati. Kesemua ini merupakan kelengkapan
yang menjadi aset dan modal untuk melaksanakan jihad di jalan Allah. Imam Hassan al-Banna menyebut:
“Peringkat jihad yang pertama ialah
mengingkari dengan hati dan peringkat yang paling tinggi ialah berperang di
jalan Allah. Di antara kedua-dua peringkat jihad itu terdapat jihad lisan,
tulisan, tangan dan menyatakan yang hak kepada pemerintah yang zalim...”
6.0 Unsur-unsur Dalam Jihad
Untuk lebih menjiwai konsep jihad di dalam Islam,
beberapa unsur yang berkaitan hendaklah difahami dengan lebih mendalam iaitu
konsep hijrah, perjuangan dan pengorbanan.
Hijrah bermaksud perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain, juga
membawa maksud perpindahan daripada suatu keadaan kepada suatu keadaan lain.
Menurut hadis Ibnu Abbas r.a, katanya: Pada hari
pembukaan Kota Mekah Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Sudah tidak ada hijrah selepas pembukaan Kota Mekah (iaitu hijrah yang
diwajibkan untuk ke Madinah). Yang masih ada ialah jihad dan niat. Apabila kamu
diminta untuk keluar berjihad maka keluarlah. (H.R Muslim)
Dalam konteks hari ini jihad dikaitkan dengan hijrah
dari aspek kesungguhan dalam melakukan perubahan dari satu keadaan yang tidak
baik kepada keadaan yang lebih baik di sisi agama.
Perjuangan pula dalam konteks semasa sangat berkait rapat dengan
jihad yang umum. Ia tidak hanya tertumpu pada aspek perjuangan bersenjata.
Malah semua kelengkapan jihad yang digunakan oleh orang Islam dalam berjihad
merupakan bentuk-bentuk perjuangan yang sangat luas.
Pengorbanan pula adalah inti pati kepada setiap jihad dan
perjuangan. Ini adalah kerana jihad dan perjuangan menuntut pengorbanan yang
tidak sedikit sama ada dari sudut material, fizikal, rohani, jiwa mahupun masa.
Semakin tinggi pengorbanan yang dilakukan, semakin tinggi kedudukan orang yang
berjihad itu di sisi Allah S.W.T. Justeru itulah berjihad dengan hati tanpa
tindakan zahir merupakan jihad yang paling lemah, sebagaimana sabda Rasulullah
s.a.w yang bermaksud:
Sesiapa sahaja yang melihat kemungkaran hendaklah ia bertindak
mengubahnya dengan tangannya (kuasa), jika masih tidak berdaya, hendaklah ia bertindak mengubah dengan
lisannya (kata-kata) dan jika masih tidak berdaya, hendaklah ia mengubah dengan
hatinya, dan itu merupakan iman yang paling lemah. (H.R Bukhari dan Muslim)
7.0 Kesimpulan
Berjihad di
jalan Allah S.W.T merupakan bukti pengorbanan seorang muslim untuk agama Allah
dan kerana Allah dalam menyempurnakan pengabdian diri kepada-Nya. Ia sanggup
mengorbankan masa, harta bahkan dirinya hanya untuk mendapat redha Allah S.W.T
dan jaminan syurga di akhirat nanti.
Jihad dengan
pengertian yang luas tadi merupakan sebaik-baik ibadat dalam Islam, ia membolehkan
seseorang muslim berdamping dirinya dengan Allah S.W.T. Rasulullah s.a.w
bersabda yang bermaksud:
“Di syurga ada seratus darjat (tingkat) yang disediakan oleh Allah
untuk orang-orang yang berjihad di jalan Allah, antara setiap dua darjat itu
sejauh antara langit dan bumi.” (H.R al-Bukhari)
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteSaya telah membaca banyak artikel mengenai jihad. Artikel ini ternyata bagitu tersusun alur pembacaannya, penerangannya jelas dan mudah difahami. Sekalung tahniah pada penulis.
ReplyDelete