Antara
syiar terpenting yang dapat membezakan seorang wanita Islam dengan wanita bukan
Islam ialah dari segi disiplin pakaian yang menepati kehendak dan piawaian
syariat. Disiplin berpakaian ini lebih kerap disebut sebagai kewajipan menutup
aurat kerana secara asasnya Islam tidak menetapkan jenis pakaian yang perlu
dipakai, tetapi menetapkan bahagian mana yang wajib ditutup bersama beberapa
kriteria asas. Hal ini bersesuaian dengan ciri-ciri syariat Islam itu sendiri
yang bersifat thabat dan murunah, tetap dalam menjaga prinsip-prinsip
asas dan anjal jika melibatkan permasalahan cabang dan kaedah pendekatan. Ia tegas
dari segi prinsip wajib memakai tudung kepala dan menutup aurat mengikut batas yang
telah ditentukan. Namun dari segi jenis pakaiannya masih fleksibel dan boleh
disesuaikan selama mana ia memenuhi garis panduan atau ciri-ciri menutup aurat.
Justeru
itu kita melihat agama Islam boleh tersebar ke segenap pelosok dunia dan para
wanita Islam daripada pelbagai bangsa dapat menyesuaikan pakaian mereka yang
sedia ada dengan identiti seorang wanita Islam yang bertudung dan menutup
aurat.
Sebagaimana
yang sedia maklum, perintah agar menutup aurat dan menyembunyikan perhiasan
tubuh badan wanita daripada pandangan lelaki yang bukan mahram merupakan satu
perintah Allah yang disebutkan secara jelas di dalam al-Quran al-Karim. Ayat
ke-31 daripada Surah al-Nur menyebut yang bermaksud: “.. Dan janganlah
mereka (golongan mukminah) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang
zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan
tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh
mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau putera-putera
mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka,
atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan
mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang-orang
gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau
kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah
mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari
perhiasan mereka..”
Perbahasan
tentang perhiasan yang disebutkan di dalam ayat ini begitu panjang dibincangkan
oleh para ulama. Dr. Yusof Al-Qardhawi menyebut bahawa para muslimah dilarang
keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan
seperti perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan kepala (rambut dan sanggul),
perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis
dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh diperlihatkan kepada lelaki
melainkan suami dan mahram sahaja. Golongan muslimah hanya boleh membuka muka
dan kedua telapak tangan yang memang diberikan kelonggaran oleh syarak untuk didedahkan.
Pemahaman
ini telah diperkuatkan lagi oleh hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Aisyah
r.a bahawa kakaknya Asma’ binti Abu Bakar r.a pernah masuk ke rumah Nabi s.a.w
dengan berpakaian jarang sehingga nampak kulitnya, lalu Rasulullah s.a.w memalingkan
wajahnya lalu menyebut, “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang perempuan apabila
sudah didatangi haid (mencapai usia baligh), tidak patut diperlihatkan tubuhnya
itu melainkan ini dan ini” - sambil menunjukkan muka dan dua tapak tangannya. (H.R.
Abu Daud)
Justeru itu, para ulama telah menetapkan beberapa garis
panduan untuk memastikan bahawa ciri-ciri pakaian muslimah itu bukan sahaja
menutup kulit di bahagian badan yang menjadi auratnya, tetapi juga menepati
konsep menutup aurat bagi mencapai objektif yang dikehendaki oleh syariat.
Tujuh Garis Panduan
Pakaian Muslimah Di Hadapan Bukan Mahram
Pertama-
Pakaian yang menutupi keseluruhan
tubuh badan melainkan muka dan tapak tangan
Ini
adalah berdasarkan kepada dalil-dalil yang telah disebutkan.
Kedua-
Pakaian tersebut bukanlah perhiasan
yang melampau, atau bertabarruj sehingga menarik perhatian
Bertabarruj
boleh difahami secara umum sebagai memperlihatkan kecantikan wanita sama ada di
bahagian muka atau lain-lain perhiasan pada pakaian dan bahagian tubuh badan.
Ini termasuk solekan yang tebal selain bedak, celak dan inai yang biasa dipakai
oleh wanita.
Ketiga-
Pakaian tersebut tidak terlalu nipis
atau jarang sehingga menampakkan warna kulit atau membayangkan anggota tubuh
Keempat-
Pakaian tersebut hendaklah longgar,
tidak ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh dan tidak menampakkan
tempat-tempat fitnah yang mengundang syahwat
Dalam
hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Ada
dua golongan daripada ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya, (salah
satunya ialah) perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang
cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepada perbuatan
maksiat, rambutnya sebesar bonggol unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk
syurga, serta tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium
sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (H.R Muslim)
Kelima-
Tidak memakai wangian yang harumnya
boleh dihidu oleh lelaki ajnabi
Nabi
s.a.w telah mengingatkan kaum wanita dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Mana-mana
wanita yang berwangi-wangian dan kemudiannya lalu di kalangan khalayak lelaki
yang menghidu harumannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap
mata (lelaki) yang tertarik lalu memandangnya adalah mata yang berzina.” (H.R
Abu Daud, At-Tirmizi: Hasan Sahih)
Keenam-
Tidak menyerupai pakaian lelaki
Allah
S.W.T melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan juga wanita yang menyerupai
lelaki. Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Bukan dari golongan kami siapa saja
wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita.” (Musnad
Ahmad, no: 6875).
Ketujuh-
Tidak dipakai untuk tujuan
kemasyhuran, glamor atau menunjuk-nunjuk
Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memakai pakaian demi
kemasyhuran, maka Allah akan memakaikannya pada hari Qiamat yang sepertinya,
kemudian membakarnya dengan api neraka.” (H.R Abu Daud: 4029)
Pakaian kemasyhuran tidak hanya
tertumpu kepada pakaian yang cantik bergemerlapan sahaja, tetapi juga pakaian
yang sengaja diburuk-burukkan dengan tujuan supaya orang ramai mengatakannya
seorang yang zuhud.
Tujuan Wanita Diperintah Memelihara Aurat
Sudah
tentu tujuan utama menunaikan perintah menutup aurat adalah sebagai satu
manifestasi pengabdian kita kepada Allah yang mesti ditaati perintah-Nya. Seandainya
di tempat-tempat kerja mempunyai etika pakaian yang tersendiri yang mesti
dipatuhi oleh pekerja, maka di dunia ini yang merupakan tempat kita beramal
juga mempunyai etika pemakaiannya yang tersendiri. Sekiranya perbuatan
melanggar etika berpakaian di tempat kerja atau tempat belajar dianggap sebagai
satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib, maka begitulah juga
perbuatan melanggar etika berpakaian sebagai seorang muslim atau muslimah di
dunia ini adalah berdosa dan akan dikenakan tindakan dan hukuman di akhirat
nanti.
Allah
S.W.T menyebut di dalam surah al-Ahzab ayat 36 yang bermaksud: “Dan tidaklah
harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan
Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus
mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan
sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia
telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”
Namun begitu kerapkali kedengaran suara wanita
Islam yang tidak berpuas hati dengan kewajipan menutup aurat yang kelihatan
jauh lebih berat berbanding lelaki. Harus
difahami bahawa keadilan Islam dalam meletakkan batasan aurat yang berbeza
antara lelaki dan perempuan sudah tentu ada hikmah tersendiri yang diatur oleh
Allah, Pencipta Yang Maha Bijaksana. Ada di kalangan masyarakat Islam yang turut
menganggap batasan ini sebagai satu pantang larang yang menyekat kebebasan
wanita. Mereka terpengaruh dengan agenda musuh Islam yang sentiasa menganjurkan
wanita mendedahkan aurat kononnya untuk memberi kebebasan kepada wanita, namun
sebenarnya ia adalah untuk memberi kebebasan kepada mereka untuk mudah
mendekati lantas merosakkan wanita.
Sesungguhnya
bagi kaum muslimah, tujuan penutupan aurat yang agak ketat adalah untuk menjaga
kehormatan diri wanita yang tinggi nilainya di sisi Islam. Bagaimana mungkin
sesuatu yang berharga dan tinggi nilainya dibiarkan terdedah sehingga boleh
dilihat dan dicapai oleh golongan yang tidak berhak?
Wanita
juga diwajibkan memenuhi kriteria menutup aurat untuk menjaga ketenteraman awam
agar tidak terganggu secara emosi dengan aurat yang terdedah sehingga menjadi
punca berlakunya kerosakan dan maksiat. Bahagian tubuh yang didedahkan dan
menggoda kerapkali mengganggu ketenteraman jiwa lelaki dan mungkin juga wanita
yang melihat sehingga turut mengganggu kerukunan rumahtangga dan masyarakat.
Justeru
itu dengan menutup aurat secara sempurna akan menyelamatkan wanita, lelaki dan
seluruh masyarakat daripada begitu banyak kerosakan yang mungkin berlaku. Di
dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Wahai Nabi!
Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita
mukmin, hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian
itu lebih baik, supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, kerana itu mereka
tidak diganggu.”
Seorang
muslimah yang solehah akan berusaha untuk menutup aurat dengan sempurna,
melabuhkan tudungnya agar mereka tidak diganggu kerana dikenali sebagai perempuan
yang baik. Lebih penting daripada itu ialah seorang muslimah juga hendaklah
sentiasa menjaga maruah diri, memelihara sifat malu, tidak sewenang-wenangnya
menonjolkan diri untuk tatapan ramai, menjaga pergaulan, tutur bicara dan
pandangan mata daripada apa yang diharamkan oleh Allah. Sudah tentu tanpa
keperibadian muslimah dan akhlak yang baik secara menyeluruh, pakaian yang
dilihat menutup aurat sahaja belum mampu menjamin tercapainya tujuan di sebalik
penutupan aurat kaum muslimah.
No comments:
Post a Comment