Perintah-perintah al-Quran dan al-Sunnah terhadap wanita sering
kali memfokuskan tentang usaha-usaha yang dapat memelihara ketenteraman
masyarakat dan membentenginya daripada perkara-perkara yang boleh merangsang
kejahatan. Ia bukanlah untuk menyusahkan golongan wanita, malah disyariatkan
semata-mata untuk memelihara kehormatan dan kedudukan wanita itu sendiri dan
melindunginya daripada gangguan dan bahaya yang mungkin ditimbulkan oleh
golongan yang berniat jahat.
Antara perintah Allah S.W.T di dalam al-Quran kepada
kaum muslimah ialah agar tidak bertabarruj sebagai mana wanita jahiliyyah zaman
dahulu. Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 33 menyebut yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan
oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu”.
Mujahid mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan tabarruj
itu ialah wanita keluar berjalan di tengah-tengah kelompok lelaki. Qatadah pula
mengatakan bahawa tabarruj itu ialah cara wanita berjalan yang lenggang-lenggoknya
dibuat-buat untuk mempesonakan lelaki. Manakala Muqatil pula menyebut bahawa
tabarruj itu ialah yang memakai tudung di atas kepala tetapi dibiarkan tanpa
diikat sehingga menampakkan rantai, anting-anting dan lehernya. (Abdul Karim
Zaidan (1994). Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah. Beirut: Mu’assasah
al-Risalah, Jilid 3, halaman 413)
Justeru itu, tabarruj yang dimaksudkan ialah apabila
wanita mendedahkan, menunjuk dan memperagakan perhiasannya kepada kaum lelaki
yang bukan mahramnya dan ia boleh berlaku dalam tiga bentuk:
1. Mendedahkan kecantikan wajah wanita dan bahagian-bahagian lain pada tubuhnya
yang boleh menimbulkan fitnah.
2. Mendedahkan kecantikan pakaian dan alat-alat perhiasannya.
3. Mendedahkan kecantikannya dengan gaya berjalan yang mempesonakan.
(Hafsah Ahmad Hassan (2001). Usul Tarbiah al-Mar’ah al-Muslimah
al-Mu’asirah. Beirut: Muassasah al-Risalah, halaman 540)
Di dalam Surah
al-Nur, ayat 31 Allah S.W.T menyebut yang bermaksud: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali
yang zahir daripadanya.”
Dan firman-Nya lagi di
dalam ayat yang sama bermaksud: “Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui
orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka”.
Di dalam buku yang berjudul “Halal dan Haram dalam Islam”, Dr.
Yusof al-Qardhawi telah menyebut tentang pandangan Ibnu Abbas dan Anas bin
Malik r.a bahawa perhiasan yang zahir itu adalah celak dan cincin. Aisyah r.a
dan Qatadah pula berpendapat bahawa gelang juga termasuk apa yang boleh
diperlihatkan.
Namun di dalam
buku tersebut juga Dr. Yusof al-Qardhawi telah menegaskan pandangan beliau
bahawa perhiasan zahir yang boleh diperlihatkan itu mestilah tidak melampau.
Beliau berpandangan bahawa alat-alat solek atau make up iaitu cat-cat
yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang seperti gincu dan
bedak merah di pipi serta pewarna kuku adalah dikategorikan sebagai
berlebih-lebihan yang sangat tidak baik. Kesemuanya itu pada pandangan beliau tidak
boleh dipakai kecuali di dalam rumah iaitu bersama mahram sahaja, kerana
apabila dipakai di luar rumah, ia akan menarik perhatian lelaki yang sudah
tentu hukumnya menjadi haram. (Yusof Al-Qardhawi (1994). Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam.
Beirut: Al-Maktab al-Islamy, halaman 149)
Terdapat beberapa adab
Islam yang perlu diamalkan bagi menyelamatkan seorang muslimah daripada
bertabarruj (Al-Qardhawi, halaman 156-159). Antaranya ialah:
1. Menghiasi diri dengan sifat malu.
Tanda wanita memiliki sifat malu yang jelas ialah
menundukkan pandangan mata daripada sesuatu yang haram sebagaimana yang
disebutkan di dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman
supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan
memelihara kemaluan (kehormatan) mereka.”
Seorang muslimah perlu
dididik dengan sifat malu untuk melihat sesuatu yang haram atau melihat sesuatu
dengan pandangan syahwat yang haram. Inilah merupakan langkah pertama untuk
menjauhkan diri daripada kecenderungan untuk berhias diri secara melampau.
2. Mengelakkan diri daripada bergaul bebas dengan golongan lelaki tanpa
keperluan yang diizinkan oleh syarak.
Percampuran antara kaum
lelaki dan wanita bagaikan tidak lagi dapat dielakkan dalam kehidupan
bermasyarakat masa kini. Namun seorang muslimah akan tetap berusaha mengelakkan
diri daripada bergaul bebas dengan lelaki yang bukan mahram melainkan apabila
ada keperluan yang jelas diizinkan oleh syarak dan di dalam keadaan yang
memelihara batas-batas pergaulan yang ditetapkan oleh syarak. Kesedaran
tersebut akan dapat menyelamatkan muslimah daripada keinginan untuk bertabarruj
di hadapan lelaki ajnabi.
3. Melazimi pakaian yang patuh syariah.
Kita telah pun
membincangkan tentang ciri-ciri pakaian wanita yang beriman di dalam salah satu
topik yang lepas. Pakaian wanita yang menepati piawaian syariat ialah yang
menutupi seluruh tubuh, tidak jarang, tidak ketat, tidak menampakkan
lekuk-lekuk atau bentuk tubuh yang merangsang syahwat dan tidak menyerupai
pakaian lelaki mahupun pakaian perempuan-perempuan kafir.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,
Rasulullah s.a.w menyebut:
صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ
أَرَهُمَا: قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ
يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ
مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ
الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ
كَذَا وَكَذَا
Maksudnya:
“Dua golongan penghuni neraka yang tidak sempat aku lihat: (1) Golongan yang
mengibaskan tali cemeti seperti ekor-ekor lembu, mereka memukul orang lain
dengannya (pemerintah yang zalim); (2) Wanita-wanita yang berpakaian tetapi
telanjang, yang condong (pada kejahatan) dan menarik orang lain condong
kepadanya; kepala mereka bagaikan bonggol unta yang condong kepada suatu arah; mereka
tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya sedangkan baunya itu
dapat dihidu dari jarak yang tertentu.”
Wanita-wanita tersebut dikatakan
memakai pakaian, tetapi masih dianggap bertelanjang kerana mereka memakai yang
jarang atau yang terlalu ketat dan hanya membaluti kulit semata-mata. Malah
disebut juga di dalam hadis di atas tentang kepala wanita-wanita tersebut ibarat
bonggol-bonggol unta kerana “trend” rambutnya ditarik ke atas dengan
sanggul yang tinggi.
Justeru itu, kita para muslimah
hendaklah berhati-hati dalam berhias dan memilih pakaian agar tidak terjerumus
ke lembah tabarruj yang dilarang. Walaupun pakaian yang dipakai itu dinamakan
jubah atau jilbab yang disebut-sebut sebagai pakaian yang syar’ie bagi seorang
muslimah, namun jubah tersebut masih dikira bertabarruj seandainya ia tidak
cukup sifat yang disebutkan tadi. Betapa banyak jubah moden yang terlalu ketat
memperlihatkan bentuk dan bahagian-bahagian tubuh secara jelas. Ada juga yang
mempunyai motif-motif yang keterlaluan dari segi hiasan yang bergemerlapan dan
warna yang terlalu garang. Ada juga yang terlalu nipis dan jarang sehingga
memperlihatkan apa yang sepatutnya disembunyikan. Kesemuanya itu adalah tidak
menepati piawaian syariat dan perlu dielakkan daripada dipakai di hadapan
lelaki ajnabi. Harus difahami bahawa bukan semua yang bernama jubah itu adalah
patuh syariah, malah apa jua pakaian walau apa jua namanya sama ada baju
kurung, baju Punjabi, seluar panjang dan sebagainya adalah harus dipakai
sekiranya ia memenuhi ciri-ciri yang telah digariskan oleh syarak.
Bagi golongan wanita yang memakai seluar panjang pula, hendaklah
dipastikan longgar dari atas ke bawah agar tidak menampakkan bentuk paha dan betis yang
dilarang, dan tidak juga dipakai dengan gaya yang menyerupai golongan lelaki.
Betapa ramai di kalangan wanita Islam sekarang yang menghalalkan seluar yang ketat
hanya kerana mereka sudah bertudung. Hatta ada yang sanggup memakai “leggings”
dengan alasan ia sudah menutupi bahagian aurat mereka. Benar, kulitnya sudah
pun ditutup! Namun ia ibarat membungkus aurat dengan cara yang tidak dapat mencapai
matlamat berpakaian yang ingin dijaga oleh syariat.
4.
Membiasakan diri berbicara dan berjalan secara sederhana.
Memanjakan suara dan memerdukannya apabila
berbicara dengan lelaki ajnabi adalah dilarang walaupun wanita tersebut berpakaian
menutup aurat. Seorang muslimah perlu sentiasa ingat akan firman Allah S.W.T di
dalam Surah al-Ahzab, ayat 32 yang bermaksud:
“Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap
dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang
yang ada penyakit dalam hatinya..”
Begitu juga dengan cara berjalan
dengan lenggang-lenggok yang dibuat-buat untuk mempesonakan orang yang melihat,
ia juga termasuk dalam tabarruj yang dilarang oleh syariat.
5.
Tidak berkeinginan untuk menarik perhatian lelaki kepada perhiasan-perhiasannya
yang tersembunyi.
Sekalipun seorang muslimah sudah berpakaian yang menutup auratnya,
ia masih wajib mengelakkan diri daripada memakai wangi-wangian mahupun gelang
berloceng yang mengeluarkan bunyi apabila dihentakkan. Begitu juga perlu
dielakkan daripada memakai kasut yang tumit atau tapaknya berbunyi ketika
berjalan sebagaimana yang berleluasa pada zaman sekarang.
Sebenarnya kebanyakan daripada perkara yang disebutkan di sini sudah
dianggap biasa oleh kebanyakan wanita Islam kini. Ramai yang tidak melihat
berasa perlu untuk memelihara diri daripada perkara-perkara yang telah disebutkan
tadi kerana ia telah menjadi satu kebiasaan dan tidak terlalu pelik dipandang.
Di sinilah pentingnya untuk kembali kepada ajaran Islam sebagaimana
yang diterangkan oleh para ulama yang muktabar demi mendidik diri kita semua
agar terpelihara seboleh mungkin daripada perkara yang dilarang oleh syariat.
Semoga Allah S.W.T membantu kita para muslimah untuk berhati-hati dalam berhias
agar senantiasa jauh daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah S.W.T. Wallahu
a’lam.
Rujukan :
1. Abdul Karim
Zaidan (1994). Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah. Beirut: Mu’assasah al-Risalah,
Jilid 3.
2. Hafsah Ahmad Hassan (2001). Usul Tarbiah al-Mar’ah al-Muslimah
al-Mu’asirah. Beirut: Muassasah al-Risalah.
3. Yusof Al-Qardhawi (1994). Al-Halal wa
al-Haram fi al-Islam. Beirut: Al-Maktab al-Islamy.
No comments:
Post a Comment