Saturday, July 20, 2013

PEROSAK PAHALA #1: KUFUR, SYIRIK, MURTAD DAN NIFAQ


            Menurut pandangan ahli Sunnah wa al-Jama‘ah, seandainya seseorang itu kafir, syirik atau pun murtad, maka amalan-amalan kebaikan yang dilakukannya untuk bertaqarrub kepada Allah seperti bersedekah, menghubungkan silaturrahim, memelihara hubungan sesama jiran tetangga dan sebagainya adalah tidak sah; kerana di antara syarat-syarat bertaqarrub ialah mesti mengetahui kepada siapa dia mahu bertaqarrub dan mendekatkan dirinya. Orang yang kafir sudah tentu tidak tahu kepada siapa dia mahu bertaqarrub dalam erti kata yang sebenar. Maka kerana itulah segala amalannya pasti tertolak dan terhapus.

           Allah S.W.T telah berfirman SWT yang bermaksud: “…Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang-orang yang sedemikian, akan rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).”  [Surah al-Baqarah: ayat 217]

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka.”  [Surah at-Taubah: ayat 17]

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan balasan (seksaan api neraka pada hari akhirat) melainkan (akibat daripada) apa yang mereka telah kerjakan (dari perbuatan kufur dan maksiat).”  [Surah al-A’raf: ayat 147]

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan pada hari akhirat kelak dia pasti tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi.”  [Surah al-Ma’idah: ayat 5]

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalangi (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah, kemudian mereka mati dalam keadaan mereka tetap kafir, maka Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka.”  [Surah Muhammad: ayat 34]

       Malah Allah juga telah menekankan hakikat ini sewaktu menghadapkan bicara kepada Rasulullah s.a.w agar ia difahami sebagai satu ancaman yang benar bagi umat baginda. Allah S.W.T telah berfirman bahawa Rasulullah s.a.w sendiri di samping kedudukannya yang begitu tinggi dan mulia – andaikata baginda sendiri yang berlaku syirik, nescaya amalannya juga akan terbatal; maka bagaimana pula halnya dengan kamu wahai sekalian manusia?!

Namun demikian, baginda s.a.w tidak akan sekali-kali berlaku syirik kerana ketinggian martabat baginda di sisi Allah, dan juga kerana perbuatan murtad itu adalah mustahil akan berlaku pada diri baginda menurut ketentuan syarak. Ini adalah lantaran baginda merupakan seorang yang maksum, yang dipelihara oleh Allah daripada segala bentuk syirik dan dosa.

            Allah ‘Azza Wa Jalla telah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau pasti akan tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi.”  [Surah az-Zumar: ayat 65]

            Allah juga berfirman sewaktu menceritakan perihal sekalian para rasul a.s yang bermaksud:
“…Kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik).” [Surah al-An‘am: ayat 88]

            Begitu juga masih banyak terdapat ayat-ayat al-Quran yang memperkatakan tentang perkara ini.

            Manakala Nabi s.a.w pula telah bersabda:

إِذَا جَمَعَ اللهُ الْأَوَّلِيْنَ وَالْآخِرِيْنَ لِيَوْمٍ لَا رَيْبَ فِيْهِ، نَادَى مُنَادٍ: مَنْ كَانَ قَدْ أَشْرَكَ فِيْ عَمَلٍ عَمِلَهُ لِلَّهِ أَحَدًا؛ فَلْيَطْلُبْ ثَوَابَهُ عِنْدَهُ؛ فَإِنَّ اللهَ أَغْنَى الْأَغْنِيَاءِ عَنِ الشِّرْكِ.

Maksudnya: “Apabila Allah menghimpunkan umat-umat yang terdahulu dan yang terkemudian pada hari (kiamat) yang tidak ada sebarang keraguan lagi padanya, akan berserulah seorang penyeru di kalangan malaikat: “Sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu pada amalan yang dilakukannya kepada Allah, maka hendaklah dia menuntut pahala daripadanya (iaitu dari yang selain Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya daripada memerlukan sekutu.”  [HR al-Tirmizi (Hasan Gharib), Ibnu Majah, Ahmad dan Ibnu Hibban secara marfu‘ dan mempunyai hadis-hadis sokongan yang sahih berdasarkan riwayat Muslim]

            Seterusnya terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian mengenai perkara ini secara ringkas; yang mana di antaranya ialah:

i.          Sesiapa yang mati dalam kekufuran, akan tetapi mereka telah melakukan beberapa perkara yang terpuji, maka Allah tidak akan mensia-siakan amalan tersebut iaitu dengan membalasnya di dunia ini terlebih dahulu.

Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.”  [Surah Hud: ayat 15-16]

Sabda Rasulullah s.a.w pula:

إِنَّ اللهَ لَا يَظْلِمُ مُؤْمِنًا حَسَنَتَهُ، يُعْطَى بِهَا ( وفي رواية : يُثَابُ عَلَيْهَا ) الرِّزْقَ فِيْ الدُّنْيَا، وَيُجْزَى بِهَا فِيْ الْآخِرَةِ، وَأَمَّا الْكَافِرُ فَيُطْعَمُ بِحَسَنَاتِ مَا عَمِلَ بِهَا فِي الدُّنْيَا حَتَّى إِذَا أَفْضَى إِلَى الْآخِرَةِ لَمْ يَكُنْ لَهُ حَسَنَةٌ يُجْزَى بِهَا.

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan menganiaya seseorang mukmin pun akan kebaikannya, dengan kebaikan itulah dia akan dikurniakan rezeki di dunia ini dan dengannya pula akan dianugerahkan balasan baik di akhirat nanti. Adapun orang yang kafir, maka dia akan diberi makan – yakni rezeki – dengan sebab kebaikan-kebaikan yang dikerjakan sebagai hasil amalannya di dunia, sehingga apabila dia telah memasuki alam akhirat, maka sama sekali tidak ada lagi kebaikan baginya yang dapat diberikan balasan.” [HR Muslim dan Ahmad daripada Anas r.a]

ii.         Seorang yang kafir apabila dia memeluk Islam dan mati dalam keimanan, maka Allah akan menghapuskan dosa-dosanya yang lampau dan merekodkan kembali kebaikan-kebaikan yang telah dia lakukan sewaktu di zaman kufurnya dahulu. Hal ini telah disebutkan oleh nas-nas yang jelas daripada Rasulullah s.a.w, antaranya:

Dari Abi Sa‘id al-Khudri r.a, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w telah bersabda:

إِذَا أَسْلَمَ الْعَبْدُ فَحَسُنَ إِسْلَامُهُ كَتَبَ اللهُ لَهُ كُلَّ حَسَنَةٍ كَانَ أَزْلَفَهَا، وَمُحِيَتْ عَنْهُ كُلُّ سَيِّئَةٍ كَانَ أَزْلَفَهَا، ثُمَّ كَانَ بَعْدَ ذَلِكَ الْقِصَاصُ، اَلْحَسَنَةُ بِعَشَرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ، وَالسَّيِّئَةُ بِمِثْلِهَا إِلَّا أَنْ يَتَجَاوَزَ اللهُ عَنْهَا.

Maksudnya: “Apabila seseorang itu memeluk Islam lalu memperelokkan keIslamannya, nescaya Allah akan menuliskan untuknya setiap kebaikan yang telah dia lakukan (sewaktu kufurnya dahulu) dan memadamkan daripadanya setiap kejahatan yang pernah dia lakukan dahulu. Kemudian sesudah itu akan digandakan pahala kebajikannya dengan yang selayak baginya. Setiap pahala kebaikan itu digandakan dengan sepuluh pergandaan yang setanding dengannya sehinggalah kepada tujuh ratus pergandaan. Manakala setiap kejahatan pula dibalas dengan yang sepertinya, kecuali jika Allah mahu memaafkannya.”  [HR al-Bukhari dan an-Nasa’ie dengan sanad yang sahih]

Daripada Hakim bin Hizam[1] r.a, beliau telah bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w dengan berkata:

أَيْ رَسُوْلَ اللهِ أَرَأَيْتَ أُمُوْرًا كُنْتُ أَتَحَنَّثُ بِهَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ مِنْ صَدَقَةٍ أَوْ عِتَاقَةٍ أَوْ صِلَةِ رَحْمٍ أَفِيْهَا أَجْرٌ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: أَسْلَمْتَ عَلَى مَا أَسْلَفْتَ مِنْ خَيْرٍ.

“Wahai Rasulullah, terangkan kepada saya tentang amalan yang saya menganggapnya ibadah di zaman jahiliah; adakah saya akan mendapat ganjaran daripadanya?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Anda masuk Islam bersama-sama dengan amalanmu yang baik sebelumnya.”[2] [HR al-Bukhari, Muslim dan Ahmad]

‘Aisyah r.a pula berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ، اِبْنُ جُدْعَان كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ يَصِلُ الرَّحِمَ، وَيُطْعِمُ الْمِسْكِينَ، فَهَلْ ذَلِكَ نَافِعُهُ؟ قَالَ: لَا يَا عَائِشَةُ إِنَّهُ لَمْ يَقُلْ يَوْمًا: رَبِّ اغْفِرْ لِيْ خَطِيْئَتِيْ يَوْمَ الدِّيْنِ.

“Wahai Rasulullah, Ibnu Jud‘aan pada zaman jahiliah telah menyambung silaturrahim dan suka memberi makan kepada fakir miskin, maka apakah amalannya itu bermanfaat baginya?” Jawab Rasulullah s.a.w: “Tidak wahai ‘Aisyah, sesungguhnya ia tidak pernah walau suatu hari pun menyebut: Ya Tuhanku, ampunkanlah kesalahanku di hari pembalasan.”  [HR Muslim dan Ahmad]

            Begitulah kesudahan Abdullah bin Jud‘aan, walaupun pada zaman jahiliyah beliau terkenal sebagai seorang yang baik kerana sangat suka menjamu orang-orang miskin, namun perbuatannya itu langsung tidak memberi manfaat kepadanya di akhirat nanti. Hal yang demikian adalah kerana beliau mati dalam keadaan kafir dan tidak beriman kepada hari kebangkitan dan perhimpunan yang agung di alam mahsyar nanti.

            Itulah kedudukan sebenar yang telah ditetapkan oleh dalil-dalil syarak yang sahih. Seorang yang kafir apabila dia memeluk Islam, maka amalan-amalannya yang baik sewaktu jahiliah dahulu dapat memberi manfaat kepadanya. Berlainan sekali dengan orang yang mati dalam kekufuran, segala amalan baik sewaktu hidupnya langsung tidak berguna kepadanya; malah semuanya menjadi sia-sia, gugur dan terbatal dengan sebab kekufurannya itu. Namun demikian, dia tetap akan menerima sedikit balasan terhadap amalannya yang baik di sisi syarak di dunia ini sahaja, kerana kebaikan-kebaikannya itu langsung tidak akan berguna lagi di akhirat nanti. Dia juga tidak akan diringankan daripada azab kerana amalan-amalan tersebut, apatah lagi dapat terselamat daripada azab dan seksa neraka kerananya.

        Jelaslah sekarang bahawa kata-kata sesetengah orang yang berpendapat bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani yang berakhlak mulia adalah lebih baik daripada sebahagian orang Islam yang keras hati dan buruk perangainya adalah satu pendapat yang salah! Mungkin di dunia ini kebaikan mereka membawa keuntungan kepada orang Islam sedangkan kejahatan orang Islam sendiri membawa kerosakan kepada umat Islam. Namun di sisi Allah dan di sisi syariat Islam, kedudukan orang Islam pastinya adalah lebih baik berbanding dengan kedudukan orang yang kafir dan musyrik.

          Begitu juga salahnya pandangan sebahagian orang Islam yang sanggup bersumpah mengatakan bahawa: “Demi Allah, tidak akan masuk neraka orang yang pertama menemui penisilin ataupun mencipta telefon, kerana sudah terlalu besar jasa mereka kepada manusia sejagat dalam memudahkan kehidupan mereka!”

            Keadaan yang sebenar bukanlah seperti yang mereka sangkakan. Bukankah Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan pada hari akhirat kelak dia tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi.”  [Surah Ali ‘Imran: ayat 85]

            Golongan yang kafir tersebut, tidak akan diterima oleh Allah apa jua amal baik mereka, kerana mereka telah mengecapi semua nikmat kesenangan mereka di dunia ini, sebagaimana yang telah disebutkan di dalam firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan (ingatlah), semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): "Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takabbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik". [Surah al-Ahqaf: ayat 20]



Sumber asal daripada buku "20 Perosak Pahala"
Oleh: As-Syeikh Salim bin 'Eid al-Hilali



[1] Hakim bin Hizam bin Khuwailid al-Qurasyi al-Asadi. Anak saudara Khadijah binti Khuwailid dan sepupu kepada az-Zubair bin al-‘Awwam. Memeluk Islam pada hari pembukaan kota Mekah dan amat baik keIslamannya. Turut menyertai peperangan Hunain dan peperangan Taif. Beliau merupakan seorang tokoh ternama Quraisy yang bijak, kaya dan pemurah sebelum Islam dan selepas memeluk Islam. [Muhammad Musa asy-Syarif , Tahzib Siyar ‘A’lam an-Nubala’ Lil-Imam az-Zahabi:1/329] –P
[2] Semua kebaikan di zaman jahiliah direkodkan pahalanya sedangkan semua dosanya pula terhapus. –P

No comments:

Post a Comment