((Nota Ringkas Pengajian Islam))
Tasawwur Islam memberi gambaran umum dan
menyeluruh tentang ciri-ciri utama yang menjadikan agama Islam begitu istimewa dan tetap relevan untuk memandu kehidupan sepanjang zaman. Secara umum, ciri-ciri utama
bagi agama Islam boleh disimpulkan kepada beberapa ciri yang penting
seperti berikut:
- Ketuhanan (Rabbaniyyah)
- Lengkap (Syumuliyyah)
- Realistik (Waqi’iyyah)
- Sejagat (‘Alamiyyah)
- Tetap tetapi anjal (Al-Thabat wa Al-Murunah)
- Seimbang (Al-Tawazun)
- Sederhana (Wasatiyyah)
Rabbaniyyah bermaksud segala hukum, konsep, prinsip,
nilai dan peraturan yang terdapat dalam Islam adalah secara mutlak daripada
Allah SWT.
Di antara prinsip-prinsip Rabbaniyyah ialah:
- Islam adalah wahyu Allah, bukan ciptaan makhluk.
- Islam bersih daripada kekurangan, kejahilan dan dorongan hawa nafsu.
- Islam dan seluruh makhluk adalah kepunyaan Allah.
- Allah SWT sebagai pemberi peraturan hidup.
Berpegang dengan Syariah 'Rabbaniyyah' ini adalah sumber
kebahagiaan diri sekiranya manusia itu berpegang dengan hukum yang diturunkan
oleh Allah, Tuhan langit dan bumi, berusaha untuk mencapai keredhaan-Nya dan
beriman bahawa semua yang terkandung di dalam agama ini adalah dari Allah dan
untuk Allah S.W.T.
Syumuliyyah bermaksud ajaran Islam adalah sempurna dan
menyeluruh yang mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia.
Di antara prinsip-prinsip syumuliyyah ialah:
- Kesempurnaan itu hanya milik Allah SWT.
- Islam menyediakan peraturan hidup yang mencakupi segenap aspek kehidupan.
- Al-Quran merupakan sumber utama yang mencakupi semua bidang ilmu pengetahuan.
- Segala peraturan yang dibawa oleh Islam adalah sesuai dengan fitrah manusia.
- Peraturan dan perundangan Islam adalah seimbang dan memudahkan.
Waqi’iyyah bermaksud agama Islam bersifat praktikal dan
sesuai diamalkan dalam kehidupan seharian manusia.
Di antara prinsip-prinsip waqi’iyyah ialah:
- Ajaran Islam adalah praktikal, bukan utopia.
- Islam mampu menyelesaikan sebarang masalah dan persoalan.
- Islam memberi ruang kepada perkembangan fikiran yang melahirkan tamadun ilmu.
‘Alamiyyah bermaksud Islam adalah agama yang sesuai
kepada semua manusia tanpa mengira bangsa, tempat dan zaman.
Di antara prinsip-prinsip ‘alamiyyah ialah:
- Islam memuliakan manusia.
- Nilai keadilan Islam bersifat sejagat.
- Islam sentiasa menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.
- Islam menjamin hak asasi manusia.
- Islam sentiasa mengutamakan keamanan dan perdamaian.
Al-Thabat wa al-Murunah bermaksud Islam itu thabat, tetapi pada
waktu yang sama, ia murunah. Ianya keras tetapi boleh dilembutkan, tegap tetapi
boleh dilentur, tidak berubah tetapi boleh disesuaikan.
Bentuk-bentuk
al-thabat wa al-murunah dapat disimpulkan seperti berikut:
1.
Kemantapan Islam adalah pada tujuan dan
matlamatnya. Kelenturan pula pada pendekatannya.
- Tegap pada prinsip asal dan hukum-hukum qat’inya, tetapi lembut pada ranting dan cabangnya.
- Kukuh dan istiqamah pada urusan dengan Allah, lunak dan boleh disesuaikan pada urusan keduniaan.
Al-Tawazun bermaksud ajaran Islam tidak berat sebelah.
Ia mempunyai pertimbangan dan keseimbangan yang amat sesuai dengan kehidupan
manusia.
Antara bentuk-bentuk al-tawazun dapat dilihat pada keseimbangan
dalam perkara-perkara berikut:
1.
Seimbang antara dunia dan akhirat.
- Seimbang antara roh dan jasad.
- Seimbang antara hak pemimpin dan rakyat.
- Seimbang antara hak individu dan jamaah.
- Seimbang pada tegahan dan perintah.
- Seimbang pada penciptaan semesta alam.
Al-Wasatiyyah bermaksud Islam adalah agama yang sederhana
dan menitik beratkan kesederhanaan. Umat Islam juga adalah umat yang sederhana
dan umat pertengahan.
Kesederhanaan Islam jelas dilihat pada
akidahnya, syariatnya, syiarnya dan malah pada ibadatnya. Ia menolak sebarang
bentuk ekstrimisme, sama ada yang terlampau ketat dalam melaksanakan agama,
mahupun yang terlampau longgar sehingga mengabaikan suruhan agama.
No comments:
Post a Comment