Saturday, July 20, 2013

PANDANGAN PARA SALAFUSSOLEH TENTANG PERKARA-PERKARA YANG MEROSAKKAN PAHALA AMAL KEBAIKAN

            Kelompok Qadariah[1] – iaitu satu kumpulan yang menyalahi Ahli Sunnah wa al-Jama’ah – berpendapat bahawa dosa-dosa akan membatalkan pahala amalan kebaikan sehingga keimanan langsung tidak berguna dengan adanya maksiat. Lantaran itu mereka menyamakan orang yang berbuat maksiat dengan orang yang kafir, iaitu dengan menganggap semua amalannya terbatal dan menghukumnya kekal di dalam neraka jahannam buat selama-lamanya.

            Kelompok Murji’ah[2] pula – iaitu satu kumpulan yang sesat juga – berpendapat yang sebaliknya. Mereka mengatakan bahawa tidak perlu khuatir tentang maksiat apabila sudah terdapat iman di dalam hati.

            Pandangan para salafussoleh rahimahumullah merupakan pandangan yang pertengahan di antara kedua-dua pandangan yang melampau tadi; di mana mereka menetapkan bahawa gugurnya pahala amalan secara hakiki adalah pembatalan yang disebabkan oleh kekufuran, syirik, murtad dan sifat munafik terhadap iman[3].

            Adapun sesetengah ibadah yang terbatal pahalanya kerana disebabkan oleh sesetengah maksiat; ataupun pahala dan ganjaran amal soleh yang berkurangan kerana sesuatu sebab; ataupun manfaat amalan kebaikan yang tergantung seketika pada waktu ia berhajat; maka kesemua fenomena ini merupakan perosak dan pemusnah pahala amalan secara nisbi[4] yang tidak membatalkan asas keimanan.

            Justeru itu para salafussoleh telah menetapkan mengikut nas-nas yang jelas bahawa iman itu adalah ucapan dan perbuatan; ia boleh bertambah disebabkan ketaatan dan akan berkurangan disebabkan maksiat.

            Kita memohon kepada Allah S.W.T agar menambah keimanan kita terhadap Allah dan Rasul-Nya, dan semoga Dia mematikan kita di atas landasan Islam dan sunnah Nabi-Nya, dan menghimpunkan kita di akhirat nanti bersama orang-orang yang soleh.



Sumber asal daripada buku "20 Perosak Pahala"
Oleh: As-Syeikh Salim bin 'Eid al-Hilali



[1] Merupakan sebuah mazhab ilmu kalam yang menolak adanya qadar dan takdir dalam perbuatan dan usaha manusia. Mazhab ini berpandangan bahawa sekiranya Allah S.W.T menentukan terlebih dahulu nasib manusia, maka Allah S.W.T itu zalim. Oleh itu bagi mereka, manusia mesti merdeka dalam memilih perbuatannya, mencipta dan menguasai segala perbuatannya secara mutlak. Mazhab ini muncul pada zaman pemerintahan Abdul Malik bin Marwan (65H-86H). -P
[2] Merupakan satu mazhab ilmu kalam yang muncul pada abad pertama hijrah. Kelahiran mazhab ini adalah sebagai reaksi terhadap orang Khawarij, Syi’ah dan pendukung kerajaan Umaiyah yang saling mengkafirkan antara mereka. Golongan ini berpandangan bahawa orang Islam tidak boleh dikafirkan walaupun mengerjakan dosa besar. Iman seseorang terletak di hati,sekalipun pada lahirnya ia melakukan sesuatu yang menyerupai orang kafir. -P
[3] Sifat munafik terhadap iman bermaksud menzahirkan keimanan dan menyembunyikan kekufuran. -P
[4] Iaitu secara relatif dan tidak mutlak; di mana pengurangan pahala dan imannya adalah bergantung kepada besar atau kecilnya kesalahan yang dikerjakan oleh seseorang. -P

No comments:

Post a Comment