Thursday, July 18, 2013

PERSEDIAAN MUSLIMAH MENYAMBUT RAMADHAN

Oleh: Nurul Akma bt Mohamed @ Sheikh Mohd Amin

Kita sudah pun berada di awal bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan barakah, rahmat dan keampunan daripada Allah S.W.T. Ramadhan merupakan penghulu kepada segala bulan lantaran ia berbeza daripada bulan-bulan yang lain.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah memfardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Pintu-pintu syurga dibukakan, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan dibelenggu. Terdapat padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa yang diharamkan daripada memperoleh kebaikannya, maka ia benar-benar tidak bernasib baik.” (H.R Ahmad, no. 6851)

Dalam suasana yang begitu istimewa ini, segala amalan baik dijanjikan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda oleh Allah S.W.T. Peluang yang sebegini luas terbuka tidak harus dilepaskan oleh kita semua, malah perlu dinanti-nantikan dengan penuh harapan dan persediaan. Bagi golongan muslimah yang merupakan suri, isteri dan ibu, sudah tentu persediaan menyambut Ramadhan bukan hanya untuk meningkatkan ibadah bagi diri sendiri, malah peranannya amat penting sebagai nadi yang menghidupkan keharmonian Ramadhan di dalam sesebuah keluarga dan rumahtangga muslim. Justeru itu, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil berat oleh para muslimah dalam menyambut Ramadhan al-Mubarak.

1.         Sebelum masuknya bulan Ramadhan, para muslimah hendaklah mula merujuk kembali hukum hakam berkenaan puasa, perkara-perkara yang membatalkan mahupun yang tidak membatalkan puasa, adab-adab berpuasa serta kelebihan-kelebihan berpuasa dan beribadah di bulan Ramadhan. Muslimah juga hendaklah memastikan bahawa puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan yang lepas sudah pun diganti sebelum tiba bulan bulan Ramadhan yang berikutnya. Sekiranya masih berlaku keuzuran dalam menggantikannya, maka hukum hakam berkenaan fidyah puasa pula yang harus diketahui.

2.         Bagi diri seorang muslimah, matlamat taqwa yang ingin dicapai selesai Ramadhan menuntut agar mengisi setiap saat daripada bulan tersebut dengan beberapa program tarbiah rohani yang amat penting. Antara program khusus di bulan Ramadhan ialah berpuasa di siang hari, mengerjakan solat terawih dan qiamullail di malam hari, memperbanyakkan zikir dan istighfar, memperbanyakkan sedekah, memperbanyakkan tilawah dan bertadarus al-Quran, beriktikaf, memperbanyakkan doa memohon syurga dan memohon perlindungan daripada azab neraka. Program-program tersebut seandainya dilakukan dengan paling ikhlas, sempurna, penuh terancang dan istiqamah pasti akan menyediakan hati para muslimah untuk lebih hampir kepada Allah S.W.T sepanjang Ramadhan. Justeru itu, para muslimah hendaklah melengkapkan diri dengan persediaan yang diperlukan untuk melaksanakan program-program tersebut sebelum kedatangan bulan Ramadhan lagi.

3.         Bentuk tarbiah Ramadhan bukan hanya mendidik seorang muslimah agar mengisi masa dengan ibadah, bahkan juga agar meninggalkan perkara-perkara yang haram dan yang harus pada selain Ramadhan. Justeru itu, amat penting sekali bagi muslimah bukan hanya mementingkan amalan yang baik tetapi juga menetapkan azam untuk meninggalkan segala amalan yang buruk dan sia-sia seperti mengumpat, berkata kotor dan dusta, mencerca, bertengkar, menghabiskan masa di hadapan rancangan televisyen yang tidak berfaedah, mendengar lagu-lagu yang melalaikan hati, melayari internet tanpa tujuan yang baik dan seumpamanya. Dalam erti kata yang lain, para muslimah hendaklah menjaga kesemua pancaindera yang dikurniakan oleh Allah daripada melakukan dosa dan maksiat kerana perkara sedemikian boleh mengurangkan kesempurnaan ibadah dan mengurangkan kualiti puasa di bulan yang mulia ini.

            Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila tiba hari seseorang di antara kamu itu berpuasa, maka janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seseorang atau dilawan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya saya sedang berpuasa.” (Muttafaq ‘alaih)

            Nabi s.a.w bersabda lagi: “Barang siapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan tidak pula meninggalkan kelakuan dengan dasar dusta, maka tidak ada keperluan bagi Allah dalam ia meninggalkan makan dan minumnya.” (H.R al-Bukhari)

4.         Muslimah juga perlu mengambil peluang untuk mengerjakan solat terawih di masjid kerana ia merupakan perkara yang sangat digalakkan di bulan Ramadhan. Namun adab-adab ke masjid hendaklah dijaga sebagaimana yang pernah dijelaskan di dalam tajuk-tajuk sebelum ini. Sekiranya ada anak-anak yang dibawa bersama, maka menjadi tanggungjawab para muslimah untuk memastikan agar perilaku mereka tidak mengganggu solat para jemaah yang lain. Amat baik sekali jika pihak jawatankuasa masjid mengambil peluang untuk mengedarkan risalah-risalah ringkas tentang adab-adab ke masjid dan hukum hakam yang melibatkan wanita kepada para muslimah yang hadir untuk mengerjakan solat terawih di masjid sepanjang bulan Ramadhan.

            Walau bagaimana pun, seandainya keadaan tidak mengizinkan para muslimah untuk turut sama mengerjakan solat terawih di masjid, maka usahlah dilepaskan peluang untuk melaksanakannya secara bersendirian atau berjemaah di rumah. Ini adalah kerana solat terawih merupakan satu solat sunat khusus yang tidak disyariatkan melainkan pada bulan Ramadhan sahaja.

5.         Bagi muslimah yang uzur syar’ie sama ada didatangi haid atau nifas dalam tempoh yang lama pula, barakah Ramadhan sebenarnya adalah untuk semua. Masih banyak amal ibadah yang boleh dilakukan selain berpuasa dan mengerjakan solat dan qiam. Melalui bacaan zikir terutama di waktu pagi dan petang, doa-doa yang maathur, bertadabbur al-Quran dan membaca buku-buku tentang hukum puasa dan sebagainya, penjernihan hati dan jiwa masih tetap boleh dilakukan. Para suri dan ibu yang menyediakan juadah berbuka kepada ahli keluarga juga akan turut mendapat pahala puasa orang yang berbuka tersebut walaupun dalam keadaan ianya tidak berpuasa. Begitulah pemurahnya Allah S.W.T. untuk hamba-hamba-Nya.

Dalam isu ini adalah penting untuk para muslimah memahami bahawa kita dituntut melaksanakan sesuatu ibadah kerana Allah, dan meninggalkan sesuatu bentuk ibadah pada waktu yang ditegah juga kerana Allah. Sehubungan itu, para ulama menyatakan bahawa penggunaan pil atau ubat-ubatan untuk menahan kedatangan haid semata-mata untuk melaksanakan ibadah puasa, solat dan membaca al-Quran pada setiap hari di bulan Ramadhan adalah tidak digalakkan. Apatah lagi jika ubat yang diambil boleh mendatangkan kesan sampingan yang memudharatkan di masa hadapan. Ini adalah kerana kedatangan haid itu sendiri merupakan tanda kesihatan dan kesuburan yang baik sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T kepada kaum wanita.

6.         Muslimah selaku suri dan ibu juga mesti berperanan menghidupkan suasana “mesra ibadah” di dalam keluarga terutamanya di bulan Ramadhan dengan memberikan galakan kepada anak-anak kecil untuk berpuasa, membaca al-Quran bersama-sama, mengadakan pertandingan khusus sempena Ramadhan, mengadakan kawalan waktu menonton televisyen, dan menghidupkan rumahtangga dengan alunan zikir dan bacaan al-Quran. Muslimah berperanan menggalakkan ahli keluarga untuk bangkit di waktu sahur sepanjang Ramadhan sebagai satu cara mencari keberkatan daripada Allah S.W.T untuk seisi keluarga. Pada waktu yang sama, setiap ahli keluarga perlu diberikan galakan untuk mencari kelebihan lailatul qadar dengan melakukan qiamullail di malam hari. Para suami pula perlu diberikan galakan untuk beriktikaf di masjid-masjid terutama pada sepuluh hari atau malam terakhir daripada Ramadhan, kerana melakukan iktikaf tersebut merupakan kemuncak bekalan yang disediakan di dalam bulan Ramadhan, dengan mengasingkan diri daripada kesibukan duniawi untuk menghadap hati sebagai tetamu Allah di bulan yang mulia.

            Antara cara membentuk suasana yang “mesra ibadah” di dalam rumah tangga di bulan Ramadhan juga ialah dengan menetapkan peraturan khusus sepanjang bulan Ramadhan kepada diri dan seluruh ahli keluarga agar bersabar, tidak menyebut kata-kata yang kesat, tidak bertengkar atau bertegang leher. Dengan cara tersebut, seluruh ahli keluarga akan dapat merasai ketenangan yang memancar dan membentuk suasana yang kondusif untuk meningkatkan ibadah masing-masing. Lebih baik lagi sekiranya keadaan tersebut akan terus berkekalan pada bulan-bulan yang lain selepas tamatnya Ramadhan.

7.         Para muslimah juga hendaklah merancang untuk menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan untuk berjimat cermat dalam aspek penyediaan makanan, supaya bajet makan tersebut boleh disalurkan pula ke bahagian infaq fi sabilillah dan membantu golongan yang susah. Para muslimah selaku isteri dan ibu harus bijak menguruskan perbelanjaan sepanjang Ramadhan agar ianya benar-benar mendatangkan keberkatan kepada keluarga dan masyarakat Islam seluruhnya. Budaya membeli belah secara berlebihan sehingga menjadi bulan pesta makan dan minum yang berakhir dengan pembaziran tidak wajar dibiarkan berlaku di dalam sebuah rumah tangga muslim.

Justeru, di sinilah peranan seorang muslimah yang solehah membantu seluruh ahli keluarga mencapai ketakwaan sebaik mungkin melalui tarbiah Ramadhan.




Rujukan:

1.     Abdul Karim Zaidan. (1994). Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bayt al-Muslim. Beirut: Mu’assasah al-Risalah. Jld. 2.
2.      Ali al-Hashimi. (2002). Syakhsiyyatul Mar’ah al-Muslimah. Beirut: Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah.
3.      Akram Ridha. (2001). Buyutuna fi Ramadhan. Giza: Sama’ Li al-Nasyr.
4.     A’idh bin Abdullah al-Qarni. (1410H) Thalathun Darsan Li al-So’imin. Sana’a: Maktabah al-Irsyad.

No comments:

Post a Comment