Saturday, July 20, 2013

PEROSAK PAHALA #3: MENGUNGKIT KEBAIKAN DIRI DAN MENYAKITI ORANG YANG DIBERI BANTUAN



      Membelanjakan harta di jalan Allah merupakan antara perbuatan makruf yang boleh mendekatkan lagi diri seorang hamba kepada Tuhannya, serta memelihara diri daripada ditimpa keburukan.

            Allah S.W.T telah memuji hamba-hamba-Nya yang sentiasa berbelanja di jalan-Nya di dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” [Surah al-Baqarah: ayat 262]

           Dengan penjelasan al-Quran ini, yang datangnya terus daripada Tuhan Yang Maha Mengetahui tentang perkara-perkara ghaib, jelaslah kepada kita bahawa pahala mengeluarkan infaq dan sedekah hanya diberikan kepada orang yang ikhlas sahaja. Mereka itu adalah orang-orang yang tidak mengiringi pemberian mereka dengan ungkit-mengungkit dan tidak menyakitkan hati pihak yang menerima budinya kerana kedua-dua sikap tersebut akan menghilangkan pahala sedekah; sebagaimana yang difirmankan oleh Allah S.W.T yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membatalkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan mengungkit-ungkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riyak), dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riyak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” [Surah al-Baqarah: ayat 264]

            Oleh itu, berusahalah untuk mengeluarkan infaq, memberi makan dan menghulurkan sesuatu pemberian hanya semata-mata kerana Allah Taala. Janganlah menanti sesuatu apapun daripada manusia dan janganlah memandang kepada harta mereka, sebagaimana yang telah digambarkan di dalam firman Allah Taala yang bermaksud:
“Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan. (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah (demi mencapai keredaan Allah) semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih.”  [Surah al-Insaan: ayat 8-9]

            Apabila anda menghulurkan sesuatu kerana menuntut balasan daripada pihak yang menerima walau dalam apa jua bentuk sekalipun, maka anda sebenarnya tidak ikhlas dalam mencari ganjaran dan keredaan Allah. Kalaulah dia tidak melakukan sebagaimana yang anda harapkan itu, nescaya anda akan mengungkit-ungkit dan menyakiti hatinya pula. Begitulah juga seandainya anda berinfaq kerana terpaksa, demi melunaskan hutang diri, sama ada supaya dapat mengungkit kembali terhadap orang yang diberi itu, ataupun kerana sesuatu sebab yang lain seperti mahu memperoleh sesuatu atau selainnya.
 
            Allah S.W.T hanya akan menerima daripada orang-orang yang ikhlas sahaja, yang mana pemberian mereka adalah kerana Allah semata-mata dan tujuan mereka hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah jua. Mereka tidak suka dipuji tentang perbuatan mereka ataupun disebut-sebut tentang sumbangan mereka, kerana mereka sangat yakin bahawa perbuatan mengungkit-ungkit dan menyakiti hati orang yang menerima budinya itu boleh membinasakan amalan dan membatalkan pahala sedekah.

            Sabda Nabi s.a.w :

ثَلَاثَةٌ لَا يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنْهُمْ صَرْفًا وَلَا عَدْلًا: عَاقٌ، وَمَنَّانٌ، وَمُكَذِّبٌ بِالْقَدَرِ.

Maksudnya: “Tiga golongan yang tidak akan diterima oleh Allah apa jua amalan mereka yang fardu mahupun yang sunat iaitu anak yang derhaka, orang yang suka mengungkit-ungkit budinya dan orang yang mendustakan al-qadar (qadha dan qadar Allah).” [HR Ibnu Abi ‘Aasim dan At-Tabarani. Dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albaani (1785)]

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال :
" ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ ، وَلَا يُزَكِّيهِمْ ، وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ."
قَالَ : فَقَرَأَ رَسُولُ اللهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ .
قَالَ أَبُو ذَرٍّ : خَابُوا وَخَسِرُوا، مَنْ هُمْ يَا رَسُوْلَ اللهِ ؟
قَالَ : اَلْمُسْبِلُ ، وَالْمَنَّانُ ، وَالْمُنْفِقُ سِلْعَتَهُ بِالْحِلْفِ الْكَاذِبِ .

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Nabi s.a.w bersabda:
“Ada tiga golongan yang tidak akan diajak berbicara oleh Allah dengan mereka di hari kiamat (dengan bicara yang menunjukkan keredhaan), dan tidak akan dilihat oleh-Nya (dengan pandangan kerahmatan) dan tidak pula disucikan (yakni diampunkan).”
Kata Abu Hurairah: Rasulullah telah mengulangi kata-kata itu sebanyak tiga kali.
Lalu berkatalah Abu Dzar: “Sia-sia dan rugilah mereka itu. Siapakah mereka wahai Rasulullah?”
Baginda pun bersabda: “Orang yang melakukan isbal (lelaki yang melabuhkan pakaiannya untuk bermegah-megah), orang yang suka mengungkit-ungkit budinya dan orang yang menjual barangnya dengan sumpah yang dusta.”  [HR Muslim]

        Daripada Abdullah bin Umar radhiyallahu ‘anhu pula telah berkata: sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

ثَلَاثَةٌ لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ: اَلْعَاقُ لِوَالِدَيْهِ، وَالْمُدْمِنُ عَلَى الْخَمْرِ، وَالْمَنَّانُ بِمَا أَعْطَى.

Maksudnya: “Ada tiga golongan yang tidak dimasukkan ke dalam syurga: orang yang derhaka terhadap ibu bapanya, orang yang ketagih arak dan orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya.”  [HR an-Nasa’ie, al-Hakim, Baihaqi, al-Bazzar: Sahih]

            Alangkah bagusnya ucapan seorang yang berkata:

مَنْ مَنَّ بِمَعْرُوفِهِ سَقَطَ شُكْرُهُ، وَمَنْ أُعْجِبَ بِعَمَلِهِ حَبِطَ أَجْرُهُ.
Maksudnya: “Siapa yang mengungkit kebaikannya sendiri gugurlah pahalanya,
Dan siapa yang berasa takjub dengan amalnya sendiri terhapuslah pahalanya.

Ada pula yang berkata:

أَفْسَدْتَ بِالْمَنِّ مَا أَسْدَيْتَ مِنْ حَسَنٍ          لَيْسَ الْكَرِيمُ إِذَا أَسْدَى بِمَنَّانِ
Maksudnya: “Kamu merosakkan kebaikan yang kamu lakukan akibat suka mengungkit,
Bukanlah seorang yang mulia, ahli kebajikan yang suka membangkit.”

Manakala Abu Bakar al-Warraq pula berkata:
أَحْسَنُ مِنْ كُلِّ حَسَنٍ                          فِي كُلِّ وَقْتٍ وَزَمَنٍ
صَنِيعَــــــــــــــةٌ مَرْبُوبَـــــــــــــــــةٌ                            خَــــــــالِيَةٌ مِنَ الْمِنَنِ
Maksudnya: “Yang paling baik daripada segala yang baik saban waktu dan ketika,
Perbuatan yang jelas terpelihara, yang bersih daripada ungkit-mengungkit.”

        Dan siapakah lagi yang lebih benar perkataannya daripada Allah sendiri; di mana Dia telah berfirman yang bermaksud:
“(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyantun.”  [Surah al-Baqarah: ayat 263]



Sumber asal daripada buku 20 Perosak Pahala
Oleh: As-Syeikh Salim bin 'Eid al-Hilali

1 comment: