Monday, July 22, 2013

PERIHAL AZAN DAN IQAMAH UNTUK WANITA

Azan merupakan lafaz khusus yang disyariatkan oleh Islam untuk mengumumkan masuknya waktu sembahyang fardhu dan menyeru orang-orang Islam supaya berkumpul mengerjakannya.

Manakala iqamah pula ialah seruan yang disyariatkan oleh Islam untuk menyatakan bahawa sembahyang tersebut akan didirikan supaya para jemaah bangkit untuk mengerjakan sembahyang.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apabila tiba waktu sembahyang, maka hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan orang yang paling tua di kalangan kamu menjadi imam.” HR Al-Bukhari (602) dan Muslim (674)

Imam Al-Bukhari (584) telah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah bersabda kepada Abi Said Al-Khudri r.a: “Sesungguhnya aku melihat kamu suka mengembala kambing dan suka pada kawasan padang belantara (tempat yang jauh). Oleh itu apabila kamu berada di tempat peliharaan kambing atau di padang pasir yang luas maka laungkanlah azan untuk sembahyang. Angkatlah suara kamu ketika seruan tersebut. Sesungguhnya jin, manusia dan segala benda yang mendengar sesayup suara orang yang azan akan menjadi saksi kepadanya pada hari kiamat.”

Hukum Wanita Melakukan Azan

Hampir keseluruhan ulama dahulu dan sekarang bersepakat bahawa tuntutan azan tidak dikenakan ke atas golongan wanita. Imam Nawawi menyebut di dalam Kitab Al-Majmu’ bahawa tidak sah azan yang umum melainkan oleh seorang lelaki muslim yang berakal, termasuk kanak-kanak yang mumayyiz. Adapun azan yang dilakukan oleh orang kafir dan gila adalah tidak sah kerana mereka bukan ahli ibadah.

Hadis-hadis yang menyebut berkenaan tuntutan azan adalah difahami untuk golongan lelaki sahaja, bukannya golongan wanita. Justeru itu, sekiranya azan tidak disyariatkan ke atas wanita, maka apakah hukumnya jika wanita melaungkan azan?

Jumhur ulama berpendapat bahawa tidak sah azan seorang wanita untuk jemaah lelaki, sebagaimana tidak sah wanita menjadi imam kepada kaum lelaki. Sekiranya wanita melaungkan azan bagi jemaah lelaki, maka ia berdosa kerana memperelokkan suara dengan tinggi sehingga didengari oleh lelaki yang bukan mahramnya. Azannya itu tidak sah, dan perlu diulang oleh seorang lelaki muslim yang mumayyiz.

Walau bagaimanapun, seandainya wanita tersebut melaungkan azan bagi jemaah wanita ataupun untuk solatnya bersendirian, maka mengikut pandangan jumhur, perbuatannya itu adalah elok kerana ia merupakan satu bentuk zikrullah. Wahab bin Kaisan meriwayatkan bahawa Abdullah Ibn Umar ditanya, “Adakah wanita boleh melaungkan azan?” Lalu Ibn Umar naik marah seraya berkata, “Adakah patut saya melarang daripada berzikir kepada Allah?” HR Ibn Abi Syaibah, Jld 1, hal. 203, no. 2328.

Justeru itu, hukum wanita melakukan azan adalah harus sesama mereka, dan sekiranya mereka tidak melakukannya juga tidak mengapa. Hal ini juga dapat diperhatikan pada dua perbuatan yang berbeza oleh Ummul Mukminin Aisyah r.a. Di dalam kitab Al-Muhalla, Ibnu Hazm merekodkan sebuah riwayat daripada Thawus bahawa Aisyah r.a pernah melakukan azan dan iqamah. Manakala di dalam kitab Al-Inayah ‘ala Al-Hidayah pula merekodkan sebuah riwayat lain daripada Raithah yang menyebut, “Kami pernah berjemaah sesama wanita. Aisyah telah mengimamkan solat kami tanpa azan mahupun iqamah.”

Syarat Azan Bagi Wanita

Imam Al-Haramain, Al-Ghazali, Al-Rafi’i dan Al-Qadhi Husein menyebut bahawa wanita diharuskan melakukan azan dengan syarat tidak menyaringkan suara. Sekiranya mereka mengangkat suara sehingga didengari oleh golongan lelaki yang ajnabi, hukumnya menjadi haram sebagaimana haramnya mendedahkan aurat di hadapan lelaki ajnabi. Justeru itu, bagi wanita yang ingin melakukan azan, hendaklah direndahkan suara sekadar yang boleh didengari oleh jemaah muslimah yang ada.

Walau bagaimanapun sekiranya dibimbangi timbulnya fitnah, mereka tidak digalakkan azan. Cukuplah dengan melakukan iqamah yang disunatkan bagi mereka untuk menyedarkan para muslimah yang hadir supaya bangkit bagi mendirikan sembahyang kerana pada iqamah tidak dinyaringkan suara seperti azan.

Menjawab Seruan Azan

Apa yang lebih penting bagi para muslimah ialah mereka tidak harus melepaskan peluang untuk mendapat ganjaran yang lumayan daripada Allah dengan mengucapkan sebagaimana yang dilafaz oleh bilal ketika azan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Apabila kamu mendengar seruan azan maka ucaplah sepertimana yang dilafazkan oleh muazzin (bilal)”. HR Al-Bukhari (586) dan Muslim (383)

Tetapi apabila bilal menyebut seruan حي على الصلاة dan   حي على الفلاح hendaklah dijawab dengan lafaz لا حول ولا قوة إلا بالله .

Ini adalah berdasarkan dalil daripada al-sunnah yang bermaksud:
“Apabila muazzin berkata: Marilah bersembahyang, ia hendaklah menjawab: Tidak ada upaya dan kekuatan kecuali milik Allah. Dan apabila disebut: Marilah menuju kejayaan, ia hendaklah menjawab: Tidak ada upaya dan kekuatan kecuali milik Allah.” HR Muslim (385)

Di akhir hadis pula disebut: “Sesiapa yang berkata demikian dari hatinya (yang ikhlas dan khusyuk) maka dia akan masuk syurga.”

Selepas selesai menyahut seruan azan, disunatkan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w dan seterusnya berdoa dengan doa yang maathur sebagaimana yang diketahui umum. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Apabila kamu mendengar muazzin (bilal) melaungkan azan maka sebutlah sebagaimana yang diucapkan. Kemudian berselawatlah ke atasku, sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh kali. Kemudian mintalah kepada Allah supaya aku ditempatkan di suatu tempat yang bernama al-wasilah iaitu suatu tempat dan kedudukan di dalam syurga. Ia tidak layak diduduki melainkan untuk seorang hamba daripada hamba-hamba Allah. Dan aku berharap akulah hamba yang mendapat kelebihan tersebut. Oleh itu sesiapa yang memohon kepada Allah supaya aku ditempatkan di tempat tersebut nescaya dia berhak dan wajib mendapat syafaatku.” HR Muslim (384)

            Disunatkan juga untuk memperbanyakkan doa di antara azan dan iqamah kerana ia termasuk di antara waktu yang mustajab. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Doa tidak ditolak antara azan dan iqamah.” HR Tirmizi (212) dan Abu Daud (517)

            Jika sudah berada di masjid, maka sebaik-baiknya tidak keluar dari masjid tersebut setelah azan berkumandang tanpa menunaikan solat berjemaah melainkan jika terpaksa. Abu Sya’tha’ menyebut, “Ketika kami duduk di dalam masjid bersama Abu Hurairah dan azan dikumandangkan, bangun seorang lelaki menghala keluar. Lalu Abu Hurairah memerhatikannya bangun sehingga keluar dari masjid. Beliau berkata : “Adapun lelaki ini, maka dia telah melanggar suruhan Abu Al-Qasim (Rasulullah) s.a.w.” HR Muslim (655) Justeru itu, Imam Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim menyebut bahawa hukumnya makruh untuk keluar dari masjid selepas azan sehingga menunaikan solat fardhu terlebih dahulu melainkan kerana sesuatu keuzuran.

Seruan Untuk Solat Sunat Berjemaah

Azan dan iqamah tidak disyariatkan melainkan bagi solat yang fardhu sebagaimana yang disebut oleh jumhur fuqaha salaf dan khalaf. Manakala solat-solat lain yang sunat dikerjakan secara berjemaah seperti solat sunat hari raya, solat sunat gerhana matahari dan bulan, solat sunat istisqa’ dan solat terawih, semuanya tidak disunatkan azan mahupun iqamah, tetapi seruannya ialah dengan menyebut:
الصلاة جامعة
Ertinya: Sembahyang yang menghimpunkan.

Lafaz ini dikiaskan kepada lafaz yang digunakan untuk solat sunat gerhana matahari sebagaimana yang disebut di dalam hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amru bin Al-As r.a katanya:
“Apabila berlaku gerhana matahari di zaman Rasulullah s.a.w lalu diseru dengan lafaz
الصلاة جامعة

            Manakala untuk solat-solat sunat yang lain pula tidak sunat melakukan azan mahupun menyebut الصلاة جامعة. Wallahu a’lam.


Bahan Rujukan:
Kitab Al-Majmu’(Jld 3), oleh Imam Al-Nawawi
Kitab Al-Mughni (Jilid 1), oleh Ibnu Qudamah
Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bayt al-Muslim (Jilid 1), oleh Dr. Abdul Karim Zaidan
Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (Jilid 1), oleh Dr. Wahbah Al-Zuhayli

No comments:

Post a Comment