Jika diperhatikan pada asal khitab (perintah) syarak
berkenaan solat, maka hukum dan cara mengerjakan solat antara seorang lelaki
dan wanita tidak dinyatakan perbezaannya.
Ayat-ayat di dalam al-Quran al-Karim yang
memerintahkan agar mengerjakan solat menyebut berkenaannya secara umum tanpa
membezakan antara solat lelaki mahupun wanita.
Contohnya ialah firman Allah di dalam Surah Taha, ayat
14 yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.”
Juga firman-Nya di dalam surah al-Baqarah ayat 238
yang bermaksud: “Peliharalah
kamu akan segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar),
dan berdirilah kerana Allah dengan taat dan khusyuk.”
Begitu juga di
dalam surah al-A’la ayat 14-15 yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang
berusaha membersihkan dirinya (dengan melakukan ketaatan dan amal yang soleh),
dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta
mengerjakan sembahyang (dengan khusyuk).”
Kesemua ayat di
dalam al-Quran yang memperkatakan tentang sembahyang telah mengungkapkan kepentingan dan kedudukan
sembahyang secara umum yang melibatkan lelaki dan juga wanita.
Begitu juga dengan hadith-hadith yang dinilai sahih
oleh para ulama, tidak menjelaskan apa-apa perbezaan antara tatacara solat
lelaki dengan solat wanita. Antara yang paling utama ialah sabda Rasulullah
s.a.w yang telah direkodkan di dalam Sahih al-Bukhari (no. 631) yang bermaksud:
“Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersembahyang.” Perintah Rasulullah
s.a.w tersebut adalah umum bagi kaum muslimin dan muslimat agar semuanya mengerjakan
solat mengikut tatacara yang telah dilakukan oleh baginda s.a.w sendiri.
Hasil daripada itu, sebahagian ulama berpandangan
bahawa cara mengerjakan solat bagi wanita dan lelaki tidak ada perbezaannya. Sekiranya
terdapat perbezaan, maka sudah tentu ia akan dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w ataupun
para sahabat r.a dengan jelas. (Al-Muhalla bil Athar, jilid 3, hal. 39)
Namun bagi sebahagian ulama yang lain pula, mereka berpandangan
bahawa walaupun asal khitab al-Quran dan Sunnah yang sabit adalah umum kepada
golongan lelaki dan wanita, masih terdapat hujah yang tersendiri untuk
dijadikan sandaran yang dapat mengkhususkan beberapa tatacara pelaksanaan solat
bagi wanita. Hujah yang paling utama ialah wanita dalam setiap keadaan dituntut
untuk memelihara auratnya daripada tontonan umum. Maka begitulah juga dalam
mengerjakan solat. (Al-Mughni, jilid 1, hlm. 258, Sunan al-Baihaqi, jilid 2,
hlm. 222, Subul al-Salam, jilid 1, hlm. 289)
Sudut perbezaan antara lelaki dan wanita di dalam solat
Selain daripada perbezaan-perbezaan yang melibatkan
beberapa tatacara solat berjemaah serta hukum melakukan azan dan iqamah sebagaimana
yang telah disentuh di dalam dua siri Fiqh Muslimah yang lepas, berikut akan
dinyatakan beberapa perbezaan yang lain sebagaimana yang telah dinyatakan oleh
para ulama yang berpandangan sedemikian.
Pertama: Para muslimah digalakkan
agar merapatkan sesetengah anggota dengan yang lain dan tidak merenggangkan di
dalam solat mereka.
Ketika lelaki diperintahkan agar merenggangkan dua
sikunya dari dua rusuk ketika rukuk dan sujud, serta mengangkat perutnya dari
kedua pahanya ketika sujud, wanita pula digalakkan untuk merapatkan kedua siku
kepada dua rusuk ketika rukuk dan sujud, serta merapatkan perut dengan kedua
paha ketika sujud.
Ibn Qudamah di dalam kitab al-Mughni berpandangan
bahawa tidak merenggangkan anggota di dalam solat adalah lebih melindungi aurat
wanita. (Al-Mughni, jilid 1, hlm. 258)
Begitu juga dengan Imam al-Baihaqi di dalam Al-Sunan
al-Kubra. Beliau telah meriwayatkan dua buah hadith yang menyebut bahawa kaum
lelaki diperintahkan supaya merenggangkan anggota di dalam sujud, sedangkan
kaum wanita pula diperintahkan agar merapatkan anggota ketika sujud. (Sunan
al-Baihaqi, jilid 2, hlm. 222)
Hadith-hadith yang dikemukakan oleh Imam al-Baihaqi
tersebut walaupun dinilai dhaif oleh para ulama hadith, tetap dipegang oleh sebahagian
ulama di dalam hal ini kerana ia dianggap menepati kaedah umum tentang wanita
yang diperintahkan agar memelihara aurat dan melindungi diri dalam setiap
keadaan.
Kedua: Para muslimah dikehendaki
merendahkan suara agar tidak didengari oleh lelaki yang bukan mahram.
Ketika lelaki disunatkan menyaringkan bacaan di dalam
solat-solat yang dibaca dengan nyaring, para muslimah pula hanya dibolehkan
untuk menyaringkan suaranya apabila tiada lelaki yang bukan mahram berhampiran
dengan mereka. Sekiranya terdapat lelaki yang bukan mahram, maka mereka
dituntut agar merendahkan suara mereka agar tidak didengari oleh lelaki
tersebut kerana dibimbangi berlaku fitnah.
Firman
Allah S.W.T di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 32 yang bermaksud: “Oleh itu
janganlah kamu berkata-kata dengan lemah lembut (lunak) sehingga boleh
menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya.”
Ini menunjukkan bahawa suara perempuan itu
kadang-kadang boleh membangkitkan fitnah dan dianggap sebagai aurat yang perlu
dijaga. Oleh itu ia dituntut supaya merendahkan suara ketika berada di khalayak
lelaki yang bukan mahramnya termasuk di dalam solatnya. (Al-Fiqh al-Minjahi,
jilid 1, hlm. 170)
Ketiga: Apabila berlaku sesuatu di
dalam solat dan seorang muslimah ingin menyedarkan orang lain, maka dia
hendaklah menepuk dengan memukul belakang tapak tangan kirinya menggunakan
tangan kanannya.
Sedangkan bagi lelaki pula, apabila berlaku sesuatu di
dalam solat, dia disunatkan bertasbih dengan suara yang nyaring.
Ini berdasarkan kepada
apa yang diriwayatkan oleh Bukhari (hadis no. 1201) dan Muslim (hadis no. 421) daripada
Sahl bin Sa’ad r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang merasa ragu terhadap sesuatu perkara (yang perlu diingatkan)
ketika sembahyang, maka hendaklah ia bertasbih, kerana sesungguhnya apabila ia
bertasbih, perkara yang diragukan itu akan diberikan perhatian. Manakala
menepuk tangan hanyalah bagi golongan perempuan.”
Harus dinyatakan di
sini bahawa sekiranya wanita dibenarkan untuk bertasbih sekiranya bersembahyang
tanpa kehadiran lelaki yang bukan mahram. Di dalam Sahih al-Bukhari (hadis no.
1053) dan Muslim (hadis no. 905), Asma’ binti Abi Bakar r.a menyebut: “Aku
telah pergi menemui Aisyah ketika berlaku gerhana matahari, lalu aku melihat
orang ramai sedang berdiri melakukan sembahyang dan beliau juga sedang berdiri
melakukan sembahyang. Aku bertanya, “Ada apa dengan semua orang?” Lalu Aisyah
menunjukkan isyarat tangannya ke langit dan menyebut, “Subhanallah”.
Keempat: Seluruh tubuh wanita adalah
aurat, kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Manakala aurat lelaki adalah di
antara pusat dengan lutut, di mana jika ia bersembahyang dalam keadaan hanya
menutup antara pusat dengan lutut, maka sah sembahyangnya.
Justeru itu, solat
wanita boleh dikerjakan dengan apa jua pakaian yang menutup keseluruhan aurat
wanita sehingga ke kaki. Ummul Mu’minin Ummu Salamah r.a telah meriwayatkan
bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi s.a.w: “Adakah seseorang perempuan itu
boleh bersembahyang dalam keadaan memakai baju dan tudung kepala sahaja, tetapi
tidak memakai kain sarung?” Rasulullah s.a.w menjawab: “ Boleh, jika bajunya
itu labuh sehingga menutup zahir (bahagian atas) kedua kakinya.” (H.R Abu Daud,
no. 640 dan al-Baihaqi, jilid 2, no. 232)
Hadith tersebut
bermaksud bahawa apabila pakaian itu menutup zahir kedua kaki wanita ketika
berdiri dan rukuk, ia pasti akan menutup tapak kakinya ketika duduk dan sujud
disebabkan berhimpunnya anggota-anggota tubuh yang lain ketika duduk dan sujud.
Kesimpulan
1. Sememangnya secara umum berpandukan kepada
hadith-hadith sahih, solat lelaki dan wanita sama sahaja dari segi
pergerakannya.
2. Namun sebahagian ulama masih mencadangkan
beberapa tatacara untuk wanita demi memelihara diri wanita daripada tontonan
umum ketika solat.
3. Justeru itu, boleh disimpulkan bahawa terdapat
dua pandangan ulama dalam hal ini yang boleh diguna pakai serta diterima sebagai
khilaf dalam perkara cabang.
Suka
untuk saya rakamkan di sini kesimpulan yang telah disebut oleh Syeikh Mustafa
al-Adwi di dalam kitabnya Jami’ Ahkam al-Nisa (jilid 1, hlm. 378) bahawa
sesiapa yang tidak membezakan tatacara solat lelaki dengan perempuan dalam
semua pergerakan kerana berpegang dengan dalil yang asal, maka pandangan
tersebut adalah lebih tepat dan lebih kuat, khususnya apabila wanita
bersembahyang secara sendirian.
Adapun
mereka yang berpandangan bahawa wanita perlu berbeza daripada lelaki dalam
sesetengah pergerakan (hai’ah) kerana wanita sememangnya diperintahkan untuk
memelihara dan menyembunyikan aurat mereka dalam setiap keadaan, maka golongan
tersebut juga mempunyai sandaran yang tersendiri. Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment