Antara perkara penting yang perlu dirancang
dalam menyambut Syawal ialah untuk berpuasa sunat sebanyak enam hari di
bulan Syawal. Puasa tersebut hukumnya adalah sunat menurut mazhab Syafie dan
tidak disyaratkan untuk dilakukan secara berturut-turut, bersandarkan kepada
sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia
mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka ianya seperti berpuasa
sepanjang tahun.” (H.R. Muslim no. 1164)
Oleh
sebab 1 Syawal merupakan hari raya Aidil Fitri yang diharamkan berpuasa
padanya, maka puasa enam ini boleh dimulakan seawal 2 Syawal lagi. Untuk
mendapat ganjaran berpuasa sepanjang tahun, maka para muslimah hendaklah
menetapkan keazaman untuk berpuasa dan merancang hari-harinya yang tertentu
agar tidak terlepas daripada memperoleh ganjaran yang besar ini.
Kadangkala
kedengaran beberapa alasan para muslimah yang akhirnya tidak sempat untuk
menghabiskan puasa sebanyak enam hari kerana sibuk dengan majlis-majlis rumah
terbuka, menghadiri kenduri-kenduri perkahwinan yang banyak diadakan selepas
hari raya dan kemudiannya didatangi haid yang diharamkan pula untuk berpuasa
padanya. Oleh yang demikian, para muslimah yang bijak akan membuat perancangan
yang baik dan menetapkan keazaman untuk menyelesaikan ibadah sunat yang amat
besar pahalanya ini.
Seterusnya
apabila berbicara tentang puasa enam hari di bulan Syawal, antara perkara yang
selalu menjadi persoalan oleh para muslimah ialah adakah puasa sunat enam hari
itu boleh dilakukan bersekali dengan puasa qadha Ramadhan? Sabda Rasulullah
s.a.w menyebut bahawa: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia
mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa
sepanjang tahun.”
Dalam
hal ini, telah berlaku khilaf di kalangan ulama dalam menentukan sama ada puasa
qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal ini boleh digabungkan atau tidak.
1. Sebahagian besar ulama berpendapat tidak boleh
menggabungkan niat puasa sunat dengan puasa fardu yang lain, atau dengan puasa
sunat yang lain. Sekiranya dicampurkan maka puasanya tidak sah, tidak bagi yang
fardu dan tidak juga bagi yang sunat.
2. Sebahagian ulama di dalam mazhab Syafi’e
pula berpendapat bahawa pahala puasa enam hari di bulan Syawal akan tetap
diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha pada bulan Syawal sekalipun ia
hanya berniat puasa qadha sahaja. Namun pahala yang diperolehi adalah kurang
daripada pahala puasa mereka yang melakukan kedua-duanya secara berasingan.
(Mughni al-Muhtaj, jilid 2, hlm. 184)
Setelah dikaji hujah-hujah mereka, didapati
bahawa pandangan ulama yang mengharuskan puasa sunat bersekali dengan yang
qadha adalah tidak bersandarkan kepada mana-mana dalil al-Quran dan Sunnah.
Mereka mengatakan bahawa amalan sebegitu diberikan pahala kepada kedua-duanya
hanya kerana ia kebetulan berpuasa qadha di bulan Syawal.
Oleh yang demikian, penulis berpandangan
bahawa pendapat yang menganjurkan puasa sunat dan qadha secara berasingan
adalah lebih kuat untuk diamalkan. Wallahu a’lam.
Seterusnya, timbul satu lagi persoalan yang
lain iaitu adakah harus untuk melaksanakan puasa sunat enam hari di bulan
Syawal sedangkan puasa qadha bulan Ramadhan belum lagi dilangsaikan? Sedangkan
Rasulullah s.a.w menyebut di dalam hadis tadi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian
dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia
berpuasa sepanjang tahun.”
Hadis tersebut adalah kuat untuk
menunjukkan bahawa tidak boleh melaksanakan puasa sunat sebelum selesai
melaksanakan puasa yang wajib. Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w mensyaratkan
berpuasa Ramadhan terlebih dahulu sebelum mengiringinya dengan enam hari dari
bulan Syawal. Oleh itu, puasa sunat enam hari dari bulan Syawal hanya boleh
dilaksanakan sesudah seseorang itu menyelesaikan qadha puasa Ramadhannya.
Pandangan ini menepati kaedah yang menganjurkan agar bayaran hutang yang wajib
hendaklah didahulukan daripada pemberian sedekah yang sunat.
Namun di sana terdapat sebahagian ulama
yang berpandangan bahawa puasa sunat enam hari di bulan Syawal ini harus
dilakukan walaupun masih belum selesai mengqadhakan puasa Ramadhan. Mereka
berpegang kepada dalil yang menyebut bahawa Aisyah r.a pernah mengakhirkan
hutang puasa Ramadhannya sehingga ke bulan Syaaban. Aisyah r.a sendiri berkata: “Aku memiliki hutang puasa Ramadhan. Aku
tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Syaaban.” (H.R al-Bukhari no. 1950,
dan Muslim no. 1146) Seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa’id
menjelaskan bahawa ia adalah “kerana sibuk melayani Rasulullah s.a.w”.
Para ulama yang bersandar kepada hadis
tersebut berhujah bahawa sudah tentu tidak mungkin bagi Aisyah r.a selaku
isteri Rasulullah s.a.w untuk tidak melaksanakan puasa enam hari dari bulan
Syawal. Justeru itu, tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan
Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekalipun puasa qadha
masih belum diselesaikan.
Melihat kepada kedua-dua pandangan
tersebut, maka boleh disebutkan di sini bahawa sekiranya seseorang muslimah
tidak berkesempatan untuk mengqadha puasa Ramadhan yang ditinggalkan lebih
dahulu dan kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal,
sedangkan dia berkeyakinan akan sempat menyelesaikan puasa qadha sebelum datang
Ramadhan yang berikutnya, maka pendapat yang kedua iaitu harus menunaikan puasa
sunat terlebih dahulu boleh diamalkan berdasarkan apa yang telah dilakukan oleh
Aisyah r.a.
Imam Nawawi menyebut bahawa menurut
pandangan empat mazhab serta jumhur ulama salaf dan khalaf, “Qadha puasa
Ramadhan bagi mereka yang meninggalkan puasa kerana uzur seperti kedatangan
haid dan musafir, maka kewajipan untuk berpuasa qadha adalah secara bertangguh (‘ala
at-tarakhi), tidak disyaratkan untuk qadha terus apabila boleh
melakukannya.” (Syarah Sahih Muslim, jilid 8, hlm 22)
Namun begitu Al-Khatib as-Syarbini
di dalam Mughni al-Muhtaj pula berpendapat bahawa, “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat
mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi mereka yang belum
menyelesaikan puasa qadha Ramadhan untuk melakukan puasa sunat.” Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment