Thursday, July 18, 2013

KERISAUAN PARA SALAFUSSOLEH TERHADAP PAHALA AMALAN YANG GUGUR TANPA DISEDARI

Saudaraku dalam iman – semoga Allah memberi cahaya kepada hatimu dengan hidayah-Nya –, ketahuilah bahawa ganjaran yang banyak dan pahala kebaikan yang menyeluruh sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada hamba-hamba-Nya hanya akan diberikan kepada mereka yang beramal dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran Allah semata-mata.

            Ibnu al-Qayyim rahimahullah telah berkata:

“Sesungguhnya setiap amalan mestilah mempunyai dasar dan matlamat yang jelas. Sesuatu amalan tidak akan menjadi satu ketaatan yang dapat menghampirkan diri kepada Tuhan sehinggalah asasnya didasari oleh keimanan. Pencetus kepada amalan tersebut ialah iman semata-mata; bukannya adat, bukan hawa nafsu, bukan juga mencari pujian atau pangkat kedudukan dan seumpamanya. Malah tidak dapat tidak, ia mestilah tercetus daripada keimanan. Matlamatnya pula ialah semata-mata untuk memperolehi ganjaran daripada Allah Taala dan mencari keredhaan-Nya iaitu al-ihtisab.

            Justeru itu, kita dapati bahawa kedua-dua asas ini seringkali digandingkan bersama. Contohnya di dalam sabda Nabi s.a.w:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا ...
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan al-ihtisab (mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah semata-mata)…”  [HR al-Bukhari dan Muslim daripada hadith Abu Hurairah r.a]

Dan juga sabda baginda s.a.w:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا ...
Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan al-ihtisab (mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah semata-mata)…”  [HR al-Bukhari dan Muslim]

Begitu juga dengan hadis-hadis lain yang seumpama dengannya.”  [Ar-Risalah at-Tabukiyyah: hal. 45-46]

            Sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis baginda yang sahih bahawa hati para hamba Allah sebenarnya berada di antara dua jari ar-Rahman[1]; Dialah yang berkuasa membolak-balikkannya sebagaimana yang Dia kehendaki. Justeru itu, adakalanya seorang insan terdedah kepada perkara-perkara yang boleh merosakkan keikhlasan niatnya sehingga dia terhalang daripada mendapat pahala sebagaimana yang telah dijanjikan tanpa disedarinya. Ini adalah kerana sesuatu amalan tidak akan diberikan pahala melainkan mengikut kadar keikhlasannya dalam melakukan amalan tersebut.
           
            Lantaran itu, sesiapa yang mempelajari sirah para salafussoleh sama ada melalui ucapan mahupun perbuatan mereka akan mendapati bahawa para salafussoleh sentiasa berada di antara rasa takut (al-khawf) dan harap (ar-roja’) kepada Allah S.W.T [2]. Allah telah berfirman dalam menerangkan sifat-sifat manusia yang paling baik:


Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka. Dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Tuhan mereka. Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhan mereka. Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka.  [Surah al-Mukminun: ayat 57-60]

Tentang ayat ini, Aisyah r.a telah berkata: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang ayat ini:

Maksudnya: “Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar…”

Tanya Aisyah: “Adakah mereka itu yang minum arak dan mencuri?”

Lalu baginda s.a.w pun bersabda: “Tidak wahai puteri as-Siddiq! Akan tetapi mereka adalah orang-orang yang berpuasa, bersolat  dan bersedekah sedangkan mereka masih tetap takut andainya amalan tersebut tidak diterima daripada mereka. Mereka itulah orang-orang yang sentiasa bersegera dalam melakukan kebaikan.”  [HR al-Tirmizi, Ahmad dan al-Hakim: Hasan]

            Allah S.W.T telah menggambarkan orang-orang mukmin yang bersegera melakukan kebaikan dengan sifat-sifat mereka yang paling utama. Meskipun mereka melakukan ibadah dengan sebaik mungkin, mereka masih berasa takut seandainya amalan-amalan mereka itu tidak diterima oleh Allah Taala.

            Sebenarnya rahsia di sebalik rasa takut itu bukanlah kerana khuatir seandainya Allah tidak memenuhi janji-Nya untuk memberikan pahala. Tidak! Allah sekali-kali tidak akan memungkiri janji-Nya. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka…” [Surah Aali ‘Imraan: ayat 57]

            Malah lebih daripada itu, Allah menambah dan menggandakan lagi kurniaan dan ganjaran-Nya melebihi apa yang dijanjikan itu sebagai tanda limpah kurnia, ihsan dan kemurahan daripada-Nya. Allah telah berfirman yang bermaksud:
“Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurnia-Nya…” [Surah Faathir: ayat 30]

            Namun perasaan takut tersebut sebenarnya timbul kerana mereka terlalu bimbang dan khuatir andaikata mereka ada melakukan kekurangan dan kepincangan dalam menunaikan hak-hak Allah, ataupun tidak memenuhi syarat-syarat dan kriteria ibadah yang ingin dipersembahkan itu sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Yang Maha Agung. Mereka langsung tidak dapat memastikan bahawa mereka telahpun menunaikan segala amalan yang menepati kehendak Allah. Malah mereka sentiasa menganggap bahawa mereka telah melakukan kekurangan demi kekurangan dalam pengabdian diri mereka kepada Allah S.W.T. Lantaran itu, mereka sentiasa diselubungi rasa risau dan takut andainya amalan mereka tidak diterima; dan lantaran itulah juga mereka semua berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan demi kebaikan dan bersaing dalam mengerjakan amal yang soleh.

Justeru itu, setiap hamba Allah wajib merenung perkara ini sedalam-dalamnya, agar kesungguhan untuk memperbaiki segala bentuk ibadah akan bertambah. Dengan itu, akan bertambahlah juga ketekunannya untuk beramal dengan penuh ikhlas kerana Allah dan mengikut ajaran Rasulullah s.a.w.

            Para sahabat Rasulullah s.a.w sangat bimbang seandainya amalan mereka tertolak dalam keadaan mereka tidak menyedarinya. Mereka merasakan demikian lantaran kesempurnaan iman yang dimiliki oleh mereka. Firman Allah Taala yang bermaksud:
“…Kerana sebenarnya tidak ada yang berasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.” [Surah al-A’raaf: ayat 99]          

            Abdullah bin ‘Ubaidillah ibn Abi Mulaikah rahimahullah, seorang yang thiqah (dipercayai) lagi faqih (mendalam ilmunya) telah berkata: “Saya berkesempatan hidup sezaman dengan 30 orang sahabat Nabi s.a.w Kesemuanya sangat takut kiranya sifat munafik ada pada diri mereka. Tidak ada seorang pun yang sanggup berkata: Ianya beriman sebagaimana berimannya malaikat Jibril dan Mika’il”. [Fathul Baari: 1/109 dan Tarikh Damsyik: 1367]

            Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalaani rahimahullah di dalam kitab Fathul Baari telah menyebut:

“Para sahabat Nabi s.a.w yang sempat hidup sezaman dengan Ibnu Abi Mulaikah, yang utama di antara mereka ialah Aisyah, kakaknya Asma’, Ummu Salamah, keempat-empat al-‘Abadilah[3], Abu Hurairah, ‘Uqbah bin al-Harith dan al-Miswar bin Makhramah radhiyallahu ‘anhum. Mereka semuanya merupakan para sahabat yang sempat beliau mendengar hadis-hadis yang diriwayatkan oleh mereka. Beliau juga telah sempat hidup sezaman dengan segolongan para sahabat yang sangat hebat seperti Ali bin Abi Talib dan Saad bin Abi Waqqas.

Kesemua riwayat bersetuju bahawa mereka semua sangat takut andainya sifat-sifat munafik menyelinap masuk ke dalam amalan mereka, dan tidak ada satu riwayat pun yang mengatakan hal yang sebaliknya. Perkara ini seolah-olah sudah menjadi satu ijma' ulama yang telah disepakati terhadap mereka.

Dan memang beginilah sepatutnya keadaan seorang mukmin, acapkali ia merasakan bahawa amalannya telah bercampur-aduk dengan sesuatu perkara yang menyalahi keikhlasan yang tulen. Kekhuatiran itu tidak semestinya timbul kerana mereka betul-betul telah menyimpang. Akan tetapi perasaan sedemikian itu terbit kerana mereka terlalu menitik beratkan persoalan warak dan ketakwaan yang sebenar. Semoga Allah meredhai mereka.”

            Benarlah kata-kata al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah. Betapa generasi rabbani tersebut telah mencela diri mereka sendiri di hadapan keagungan Zat Ilahi, sehingga mereka menjadi begitu hampir kepada Allah S.W.T berkali-kali ganda daripada apa yang dapat dicapai oleh orang lain melalui amal usaha mereka.

            Golongan para siddiqin ini telah memerhatikan hak-hak Allah ke atas diri mereka dengan begitu teliti, lalu Allah pun mengurniakan kepada mereka rasa marah dan benci kepada nafsu mereka sendiri. Mereka sangat tahu bahawa keselamatan yang hakiki tidak akan tercapai melainkan dengan memperoleh keampunan, maghfirah dan rahmat Allah semata-mata. Ini adalah kerana mereka begitu sedar bahawa hak Allah ke atas para hamba adalah untuk ditaati dan tidak diderhakai; diingati dan tidak dilupai; disyukuri dan tidak dikufuri.

            Sesiapa yang memerhatikan hak Pencipta ke atas dirinya sebagaimana yang telah disebutkan tadi, nescaya dia akan tahu dengan ilmu yang yakin, bahawa dia tidak mungkin mampu untuk memenuhi hak Allah sebagaimana yang sepatutnya. Justeru itu, sudah tidak ada jalan lain baginya melainkan dengan memohon kemaafan dan keampunan Allah Taala. Bahkan seandainya dia dituntut oleh Allah berdasarkan amalan dan kemampuan dirinya sendiri, maka dia memang sudah pasti akan binasa, dan tidak mungkin layak untuk menghuni syurga.

            Inilah perkara yang menjadi perhatian orang-orang yang ikhlas kepada Allah! Inilah juga yang telah menjadikan mereka berputus asa daripada bergantung harap kepada diri mereka sendiri. Mereka hanya menggantungkan harapan mereka sepenuhnya kepada keampunan Allah dan rahmat-Nya semata-mata.

            Namun begitu amat menyedihkan sekali apabila kita dapati bahawa keadaan manusia di zaman ini adalah cukup berlainan sekali. Manusia zaman sekarang lebih banyak memerhati dan mengambil berat tentang hak mereka ke atas Allah, dan bukannya tentang hak Allah ke atas mereka. Dari sinilah hubungan mereka terputus daripada Allah; hati-hati mereka menjadi terhijab daripada mengenali-Nya, daripada rasa cinta kepada-Nya, daripada rasa rindu untuk bertemu dengan-Nya dan daripada kelazatan berzikir mengingati-Nya. Inilah kesudahan bagi kejahilan insan terhadap Tuhannya dan juga terhadap dirinya sendiri.

            Ketahuilah – moga Allah merahmati kita semua – bahawa perkara asas dalam “perniagaan” yang tidak akan rugi ini ialah penelitian para hamba terhadap hak-hak Allah, kemudian pemerhatiannya tentang apakah dia telah pun melaksanakan hak-hak tersebut sebagaimana yang sepatutnya dilakukan. Perkara inilah yang akan membawa seseorang hamba untuk meningkat naik ke maqam para siddiqin yang rabbani, yang mencampakkan hati mereka ke pangkuan Tuhan dengan rasa hina-dina dan tunduk patuh, rasa begitu lemah yang hanya boleh dikuatkan oleh Allah, dan rasa begitu faqir dan berhajat, yang hanya boleh dipenuhi dan dikayakan oleh Allah jua.



Ya Allah, hati-hati kami ini berada di dalam tangan-Mu,
dan amalan-amalan kami tidak tersembunyi sedikit pun daripada pengetahuan-Mu.
Maka tetapkanlah hati-hati kami di atas jalan-Mu yang lurus:
iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat ke atas mereka
 dari kalangan para nabi, para siddiqin, para syuhada' dan para solihin,
dan mereka itulah sebaik-baik teman.


Sumber asal daripada buku "20 Perosak Pahala"
Oleh: As-Syeikh Salim bin 'Eid al-Hilali
Terjemahan: Nurul Akma bt Mohamed @ Sheikh Mohd Amin


[1] Ahli Sunnah wa al-Jama’ah telah sepakat mengatakan bahawa Allah S.W.T tidak menyerupai sesuatu pun sama ada pada zat-Nya, sifat-Nya mahupun perbuatan-Nya. Kita wajib beriman bahawa Allah S.W.T itu memiliki sifat-sifat dan nama-nama, tanpa kita membuat sebarang penafian dan penyerupaan; dan kita menyifatkan Allah sebagaimana Dia menyifatkan zat-Nya sendiri. Justeru itu, kita mesti beriman kepada segala sifat dan nama yang terkandung di dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah sebagaimana yang disebutkan dengan mengithbatkan mata, tangan, jari, istiwa’, ketawa, ta’ajub dan lain-lain tanpa mempersoalkan dan tidak membahaskan keadaan sifat-sifat-Nya itu, kerana tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui pengertian dan hakikatnya yang sebenar melainkan Allah S.W.T juga. Dalam masa yang sama, kita tetap meyakini bahawa Allah S.W.T adalah Maha Suci daripada menyerupai segala sesuatu.  Inilah mazhab para salaf yang jelas lebih selamat dalam mengimani sifat-sifat Allah Taala. -P
[2] Iaitu rasa takut sekiranya amalan mereka tidak diterima, serta takutkan azab dan kemurkaan Allah Yang Maha Perkasa; tetapi pada masa yang sama mereka tetap berharap agar Allah menerima amalan mereka, dan bergantung harap kepada sifat Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
[3] Yang dimaksudkan dengan al-‘Abadilah ialah empat orang sahabat Nabi s.a.w yang bernama Abdullah  iaitu  Abdullah bin ‘Umar, Abdullah bin ‘Abbas, Abdullah bin al-Zubair dan Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas. -P

No comments:

Post a Comment