Wednesday, July 24, 2013

'AMRAH BINTI ABDUL RAHMAN AL-NAJJARIYYAH~ ULAMA WANITA HASIL DIDIKAN 'AISYAH R.A.

Ulama merupakan pewaris para nabi yang menyampaikan ilmu dan petunjuk sepanjang zaman. Istilah ulama dilihat begitu sinonim dengan golongan lelaki yang memiliki ilmu yang mendalam serta akhlak yang terpuji. Jarang sekali masyarakat dihidangkan dengan bibliografi ulama wanita sepanjang sejarah Islam sedangkan di dalam lipatan sejarah sejak zaman para sahabiyyat memang ada merakamkan biodata ulama wanita yang menjadi mutiara yang bergemerlipan di dasar lautan ilmu.

 Antara para ulama wanita yang boleh disebutkan di sini ialah Syeikhah Khadijah al-Qairawaniyyah, anak kepada Imam Suhnun Al-Maliki, Sitti al-Wuzara al-Tannukhiyyah, Fatimah binti Al-Mahdi Li Dinillah, Zulaikha binti Ismail bin Yusof Al-Syafi'e dan ramai lagi.

Ruangan kali ini akan memaparkan biodata seorang ulama wanita yang faqih lagi ulung, iaitu ‘Amrah binti Abdul Rahman Al-Najjariyyah.

 ‘Amrah binti Abdul Rahman bin Sa'ad bin Zurarah bin ‘Udus al-Ansariyyah al-Najjariyyah al-Madaniyyah al-Faqihah merupakan murid dan hasil didikan Ummul Mukminin Saidatina ‘Aisyah r.a.

Telah diriwayatkan bahawa bapa beliau merupakan sahabat Rasulullah s.a.w. Datuk beliau iaitu Sa’ad pula merupakan antara sahabat yang paling awal dan juga saudara lelaki kepada As'ad bin Zurarah, salah seorang nuqaba’ yang masyhur di kalangan para Ansar di Madinah.

Beliau telah meriwayatkan hadis-hadis daripada Saidatina Aisyah, Ummu Salamah, Rafi' bin Khudaij dan kakaknya Ummu Hisham binti Harithah binti al-Nu'man. Hadis-hadis tersebut telah diriwayatkan kemudiannya pula oleh anak-anak beliau iaitu Abu al-Rijal Muhammad bin Abdul Rahman, Harithah dan Malik; anak saudara beliau iaitu Al-Qadhi Abu Bakar bin Hazm, cucu saudara beliau Abdullah dan Muhammad Al-Zuhri, serta oleh Yahya bin Said Al-Ansari dan lain-lain.

Namun begitu para ulama berselisih pendapat tentang tarikh kewafatan ‘Amrah. Ada yang mengatakan bahawa beliau telah wafat pada tahun 98 hijriyah dan ada juga pandangan yang mengatakan pada tahun 106 hijriyah.


Pengiktirafan para ulama terhadap beliau

Ibn Abi Maryam merekodkan pengiktirafan Ibn Ma’in terhadap ‘Amrah binti Abdul Rahman sebagai seorang yang thiqah lagi dipercayai dan kata-kata beliau dipegang sebagai hujah.

Al-‘Ajli juga telah merekodkan tentang beliau sebagai seorang yang thiqah dari kalangan para tabi'in di Madinah.

Ahmad bin Muhammad bin Abi Bakar al-Miqdami pernah mendengar Ibn al-Madini memuji ‘Amrah dengan begitu tinggi sekali apabila menyebut tentang beliau.

Ibn Hibban mengatakan bahawa ‘Amrah merupakan orang yang paling arif tentang hadis-hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah, manakala Sufyan pula menyebut bahawa hadis ‘Aisyah yang paling sabit ialah yang telah disampaikan oleh ‘Amrah.

Ibn Syihab telah menyebut bahawa beliau telah disapa oleh Al-Qasim bin Muhammad, "Wahai pemuda, saya melihat kamu bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Adakah kamu mahu jika saya tunjukkan padamu bekasnya?"

"Tentu sekali", jawabku.

Beliau menyebut,"Hendaklah kamu menemui ‘Amrah. Dia telah dewasa dalam didikan Aishah."

Aku pun telah pergi menemuinya untuk menuntut ilmu, dan sungguh, beliau umpama lautan ilmu yang tidak bertepi!

Ibnu Sa’ad di dalam kitab Al-Tabaqat merekodkan kisah daripada Abdullah bin Dinar bahawa ‘Umar bin Abdul Aziz telah menulis surat kepada Abu Bakar bin Muhammad bin ‘Amru bin Hazm supaya menghimpun serta menulis kembali hadis-hadis Rasulullah s.a.w, sunnah yang telah lalu mahupun hadis ‘Amrah binti Abdul Rahman. Beliau khuatir hilangnya ilmu dengan hilangnya para ahli ilmu, dengan menyebut nama ‘Amrah secara khusus.

Syu'bah pula telah menyampaikan kata-kata Umar bin Abdul Aziz daripada Muhammad bin Abdul Rahman bahawa tidak ada sesiapa pun yang lebih arif tentang hadis ‘Aisyah daripada ‘Amrah dan baginda sendiri merujuk beliau berkenaan hadis-hadis tersebut.

Benarlah pujian Al-Imam Al-Zahabi yang mengatakan bahawa ‘Amrah binti Abdul Rahman al-Ansariyyah merupakan seorang tokoh ulama wanita yang alim, faqih dan diterima sebagai hujah. Hadis-hadis yang telah diriwayatkan oleh beliau adalah ibarat mutiara yang berkerlipan di dalam kitab-kitab rujukan Islam.


Sumber rujukan: Muhammad Khayr Yusuf (1414H), Faqihat Alimat(Ulama Wanita Yang Faqih), Riyadh: Dar Tuwaiq.


No comments:

Post a Comment