Asas-asas Islam terbahagi kepada 3 bahagian
penting:
- Akidah
- Syariah
- Akhlak
Akidah ialah konsep kepercayaan yang akan membentuk
iman kepada Allah SWT, para Rasul, para malaikat, hari akhirat serta Qada’ dan
Qadar.
Asas-asas kepercayaan inilah yang menjadi
punca keimanan seseorang individu atau masyarakat terhadap Islam sebagai agama
yang diwahyukan oleh Allah SWT menerusi Nabi Muhammad s.a.w. kepada seluruh
umat manusia.
Akidah berperanan sebagai tunjang yang
membentuk kerangka falsafah hidup bagi setiap muslim yang menjelaskan hubung
kait kewujudan dirinya dengan Tuhan dan alam. Akidah Islam menjelaskan tentang
tanggungjawab individu manusia dan misi hidupnya di alam ini.
Syariah merupakan peraturan hidup yang digariskan
oleh Islam bersumberkan wahyu dan sunnah nabi untuk diamalkan oleh setiap
manusia.
Tujuan syariah digubal bagi memelihara lima
perkara asas dalam kehidupan. Tujuan-tujuan inilah yang dikenali sebagai Maqasid
Syariah.
Secara umumnya bidang-bidang syariah ini
meliputi beberapa perkara seperti di bawah:
a.
Ibadat
b.
Muamalat
1. Ibadat
Dari segi bahasa perkataan “ibadat”
bermaksud “penyembahan dan ketaatan kepada Allah”. Ia diambil dari bahasa Arab
yang berasal dari perkataan “ ‘abada”, “ya’budu”, “‘ibadatan” bermaksud
merendah atau mengabdikan diri, tunduk, patuh dan taat. Kemudian dari perkataan
ini lahir perkataan ‘abid (hamba Allah) yang ada padanya nilai-nilai ketaatan,
kepatuhan, dan pengabdian kepada segala perintah Allah Taala.
Manakala dari segi istilah syarak, “ibadat”
bermaksud upacara pengabdian seseorang hamba Allah kepada Allah Taala sahaja,
atau upacara ketaatan, pematuhan serta penyerahan diri kepada Allah yang
disertai dengan perasaan kecintaan, kepatuhan, dan ketakutan kepada-Nya
semata-mata demi untuk mendapat keredhaan-Nya dengan mengikuti cara-cara yang
diajar oleh Rasulullah s.a.w. Justeru, dapat difahami bahawa ibadat dari segi
syarak meliputi ruang lingkup yang amat luas. Kerana itu segala tindakan,
perlakuan, atau aktiviti dalam kehidupan seharian manusia akan tergolong
sebagai ibadat sekiranya dilakukan semata-mata kerana Allah selagi mana
perbuatan itu dalam sempadan yang diizinkan oleh al-Quran dan sunnah Rasul-Nya.
Amal ibadat ini adalah amalan
yang menerangkan cara dan peraturan atau undang-undang bagaimana manusia
sebagai hamba hendak melakukan penyembahan kepada Allah Tuhan Pencipta alam.
Ibadat Dan Pembahagiannya
Ibadat terbahagi kepada dua ketegori, iaitu
ibadat khusus dan ibadat umum.
Ibadat khusus ialah ibadat yang telah ditentukan nama, syarat dan
peraturan serta hukum halal haram, batal, sah, wajib, sunat dan sebagainya oleh
al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. dan oleh para ulama. Bidang ibadat khusus
ini adalah merangkumi kesemua perkara rukun Islam yang lima perkara, iaitu
mengucap dua kelimah syahadah, sembahyang lima waktu yang wajib dilaku setiap
hari, juga termasuk yang sunat seperti sembahyang-sembahyang sunat, berzikir,
beristighfar, membaca al-Quran dan sebagainya. Mengeluarkan zakat-zakat yang
wajib dan yang sunat termasuk berderma dan memberi bantuan kepada fakir miskin,
anak-anak yatim dan lain-lain lagi. Menunaikan puasa wajib sebulan bulan
Ramadham dan puasa-puasa sunat yang lain. Menunaikan fardu haji bagi mereka
yang berkuasa (yang ada wang yang cukup untuk pergi ke Mekah dan balik
daripadanya dan juga sihat tubuh badan), juga melakukan sunat umrah. Semua
perkara ini telah dijelaskan dengan panjang lebar dalam kitab-kitab fekah dari
keempat-empat mazhab; mazhab Syafi’e, Maliki, Hanafi dan Hanbali.
Solat atau sembahyang umpamanya apabila ada mempunyai rukun dan
syaratnya yang tertentu. Setelah ia dilakukan dengan sempurna segala rukun dan
syaratnya, barulah aktiviti solat tersebut dianggap sah dan diterima oleh
Allah, jikalau tidak maka solat itu dianggap batal dan tidak sah dan perlu
dilakukan semula. Demikianlah juga dengan ibadat puasa atau zakat ia perlu
dilakukan denga memenuhi segala rukun dan syaratnya, barulah ia dianggap sah,
kalau tidak ia dianggap batal dan tidak sah.
Manakala ibadat umum ialah segala
kerja baik yang tidak ditentukan sifat, syarat dan peraturannya secara khusus
oleh al-Quran atau hadis Rasululllah s.a.w.,
bahkan kerja itu diredhai oleh
Allah dan dilakukan dengan ikhlas kerana-Nya serta tidak menyebabkan meninggal
ibadat-ibadat khusus yang disebut di atas, seperti tidak meninggalkan solat dan
tidak melakukan perkara-perkara yang diharamkan. Antara contoh ibadat umum ini
seperti makan, minum, tidur, bertani, berkebun, bercucuk tanam, bekerja di pejabat,
mencari rezeki secara yang halal untuk diri sendiri, untuk anak isteri dan
sebagainya. Kerja-kerja dan amalan-amalan tersebut dianggap ibadat apabila
dilakukan kerana Allah dan perkara itu bukannya perkara yang diharamkan oleh
agama. Kemudian sewaktu melakukan kerja tersebut tidak menyebabkan tertinggal
perkara wajib, tidak menipu, tidak merasuah, tidak menzalimi orang dan tidak
melibatkan perkara-perkara haram yang lain. Ibadat khusus ini sangat banyak, boleh
dilakukan oleh setiap muslim pada bila-bila masa yang dia suka dan di mana-mana
sahaja.
Syarat-syarat Penerimaan Ibadat
Setiap ibadat yang dilakukan oleh seorang
manusia sebagai hamba Allah, ada yang diterima oleh Allah dan ada yang tidak
diterimanya. Ibadat yang diterima oleh Allah ada syarat-syaratnya, iaitu;
1. Beriman kepada Allah Taala.
2. Ikhlas kepada Allah.
3. Ittiba’ (mengikuti ajaran atau sunah Rasulullah s.a.w.).
Iaitu undang-undang yang ditetapkan oleh
syarak untuk mengatur urusan antara individu dengan pihak yang lain. Menurut
Dr. Abdul Karim Zaidan, bahagian muamalat meliputi beberapa bahagian
iaitu :
- Undang-undang kekeluargaan atau munakahat, meliputi pertunangan, perkahwinan, mahar, pembubaran perkahwinan, talak, khuluk dan fasakh, nafkah, hak penjagaan anak dan lain-lain lagi.
- Undang-undang muamalat, kewangan dan harta benda. Bahagian ini meliputi jual beli, wadiah, mudharabah, hibah, wakaf, ihya al-mawat dan sebagainya.
- Undang-undang kehakiman, melibatkan tatacara pendakwaan, persaksian dan sumpah
- Polisi dalam negeri, yang menyususn hubungan antara golongan muslim dan non-muslim di dalam negara Islam
- Polisi luar negara, sama ada dalam keadaan aman mahupun dalam suasana perang
- Undang-undang berkenaan politik bernegara yang menyusun atur hak-hak rakyat dan pemimpin
- Polisi kewangan dan ekonomi negara, melibatkan sumber, agihan, pengurusan dan tanggungjawab rakyat dan pemerintah.
- Undang-undang jenayah, yang melibatkan hukuman hudud, qisas, diyat dan takzir.
Akhlak ialah peraturan-peraturan berhubung nilai baik dan buruk antara manusia sesama manusia, di antara manusia dengan semua makhluk yang lain dan juga di antara manusia dengan Tuhan. Ia merupakan suatu nilai yang merentasi seluruh aspek kehidupan manusia.
Akhlak bermaksud adab, tingkah laku, budi
pekerti atau etika yang dihayati dan diamalkan oleh seseorang Islam dalam
kehidupan harian mereka untuk diri sendiri dan untuk urusan dengan sesama
manusia, dengan binatang dan dengan alam seluruhnya. Akhlak adalah pendorong
dan penggerak yang mempengaruhi seseorang supaya melakukan pekerjaan baik yang
disuruh oleh agama atau sebaliknya melakukan pekerjaan jahat yang ditegahnya.
Akhlak Islam bersumberkan daripada ajaran
al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Allah Taala berfirman maksudnya;
“Dan sesungguhnya kamu (wahai Muhammad)
berakhlak (budi pekerti) yang mulia”. (Surah al-Qalam, ayat; 4)
Para ulama membahagikan akhlak kepada dua
jenis iaitu; pertama, akhlak terpuji (mahmudah). Iaitu akhlak yang dituntut
supaya setiap muslim menghayatinya, seperti ikhlas, jujur, amanah, menunaikan
janji, sabar, tolong bantu membantu sesama manusia dan lain-lain lagi. Kedua,
akhlak buruk dan tercela (mazmumah), iaitu akhlak yang dilarang dan kita
dituntut menjauhinya, seperti sifat sombong diri, dengki, iri hati, takabur,
rasuah, zalim, bercakap bohong, tidak amanah dan sebagainya.
Akhlak terpuji terbit daripada penghayatan jitu
seseorang terhadap ajaran kerohanian Islam. Ianya dapat dipupuk melalui tarbiah
atau pendidikan yang berterusan dan seimbang.
Keistimewaan akhlak Islam
Akhlak Islam mempunyai beberapa keistemewaan
yang tidak ada pada sistemm akhlak agama-agama lain. Di antara keistemewaan itu
ialah;
1. Tetap dan tidak berubah.
2. Penjelasannya secara jelas dan nyata.
3. Penjelasan secara menyeluruh (syumul).
4. Ada balasan.
Ada beberapa faktor penting terbentuknya
akhlak seseorang individu muslim, antaranya;
1. Warisan (keturunan).
2. Alam persekitaran.
3. Teman dan sahabat handai.
4. Adat resam dan budaya.
5. Undang-undang dan peraturan.
6. Ilmu tentang akhlak Islam.
Akhlak yang mulia memelihara manusia daripada terjebak
dengan amalan hidup yang menyalahi fitrah kehidupan. Apabila seseorang individu
sudah tidak lagi mampu mengawal akhlaknya, barulah undang-undang mengambil
peranan menghukum tindakannya sebagai pengajaran kepada individu yang lain.
No comments:
Post a Comment